Featured Post

COLOURs

Setelah sekian lama, blog ini dibiarkan bersawang. Alhamdulillah kalini diberi peluang dan kerajinan dalam menitipkan satu pengalaman. Pen...

Sunday, July 19, 2026

#BUDDIES 1 - HAZARUL

 Assalamualaikum.


Tadi masa tengah layan memandu, banyak benda random terfikir dalam otak. Tiba-tiba dapat idea nak kongsi kenangan dan pengalaman bersahabat masa sekolah dulu. Rasa nak cerita sorang-sorang punya peribadi dari sudut pandang aku. Kenangan dalam bersahabat.

Sekarang sebab hampir semua dah berkeluarga, ada anak-anak, ada kerjaya, nak jumpa pun sukar juga. Ramai circle sekarang adalah circle yang berada di tempat kerja, kalau ada circle dalam NGO, jiran, geng Surau dan sebagainya. Tapi rasanya takkan pernah rapat sepertimana sahabat di sekolah dahulu. Ni apa yang aku rasa lah, orang lain mungkin berbeza.

Geng Kelas Bestari

Segala yang aku kongsi ni random je, mungkin cerita tentang peribadi dia, macam mana kenal, etc2.
Just a random things of my buddies.
....................................

Untuk yang pertama, aku rasa yang deserve to be told first adalah sahabat bernama Hazarul Aswad, dulu macam konfius sebab ada gak kenalan perempuan, jiran kampung, sekolah sama tapi nama hampir sama dengan Zarul. Hajarul Aswad nama dia, beza satu huruf.

Aku rasa start kenal Hazarul masa darjah 4 kut, memang rapat. 

Hazarul duduk kampung bersebelahan dengan kampung aku masa kecik dulu, seorang yang jenis pendiam, anak sulung dalam keluarga dia, aura abang-abang tu memang terasa. Aku boleh anggap dia sebagai mentor aku dalam pelajaran juga. Dulu selalu seberang sungai dan kampung menuju Kampung Pasir terletaknya rumah Hazarul, selalu mintak dia ajar math, aku tak pandai math.

Kalau pergi rumah dia, selalu dapat makan telur, tak telur mata, telur dadar, mak ayah dia kerja so masak sendiri-sendiri je masa tu. Selalu juga lalu rumah Hazarul sebab nak hantar adik aku ke tadika.

Aku dengan Hazarul dulu memang rapat betul, beli basikal pun sama jenis warna biru ada gear, pergi sekolah set sama-sama, tunggu dekat dengan Shell masa otw ke sekolah, jenis datang awal, sebelum pukul 7 mesti dah sampai. 

Kitorang agak lama berada dalam 1 kelas yang sama, sampai PMR, masuk dalam kelas Bestari, ada tahun dapat duduk bersebelahan, selalu aku cop kerusi depan, walaupun tak rajin belajar tapi sebab dapat berkat guru kot. Selalu mengantuk je sebenarnya.

Dengan Hazarul, kitorang pun geng main bola sama-sama, ada dengan beberapa orang sahabat yang lain juga. Weekend mesti setup main bola kat padang sekolah.

Masa sekolah dulu pun satu geng dalam Kadet Remaja Sekolah(KRS), kawad sama-sama, kena pumping sama-sama. 

Hazarul memang sahabat aku yang tenang, tak banyak cakap, tapi kadang-kadang buat lawak. Dulu masa sekolah badan chubby, latest kurus betul, aq lak yang dah naik kaw2 berat.

Lepas habis PMR, Hazarul pindah masuk sekolah Teknik, aku pi MRSM. Sekarang agak lama juga tak jumpa dan contact,last jumpa terserempak dekat Giant Setapak rasanya. 

Hazarul ni mmg masuk definition Childhood Bestfriends. Rindu kan zaman sekolah dulu.



Inilah Hazarul






Thursday, April 10, 2025

LELAH

 


Jika ada nasihat yang perlu diberi kepada adik-adik, anak-anak yang bersekolah, bagi menghadapi cabaran dan realiti dunia luar sekolah atau alam pekerjaan, maka aku rasa nasihat Imam Syafiee ini antara yang boleh di ambil.

Bertugas di klinik, berjumpa ramai dengan anak-anak muda lingkungan usia awal 20-an, ada yang setiap bulan hadir dengan sebab sakitnya badan bekerja, ada yang kerja berat di kilang, boleh difahami, ada yang kerja hanya perlu berdiri lama di bawah penyaman udara tetapi mendatangkan sakit badan, tulang belakang dan kaki. 

Ada yang menyebut, setiap orang badannya berbeza, ya benar, tetapi secara umum, masih muda, masih bertenaga, jika pakcik-pakcik yang berumur 40-an ke atas boleh difahami, tetapi kamu?

Kini kamu sedar dunia pekerjaan bukan mudah, kerjanya ada yang sukar, ada yang nampak mudah tapi memenatkan, tetapi itulah jalan yang telah kita pilih, maka hadapilah dengan tabah. Memang sukar, tapi bertabahlah sepertimana ayah-ayahmu dulu tabah membesarkan diri kamu dengan kudratnya.

...

Berbalik kepada nasihat Imam Syafie, pengalaman di atas menyebabkan aku terfikir, bagi mereka yang masih di sekolah, bersungguhlah dalam menuntut ilmu, capai kejayaan, berpenat dalam belajar supaya pilihan kita lebih luas.

Mungkin pekerjaan yang akan kita dapat adalah memenatkan, tapi sekurang-kurangnya pekerjaan itu mendatangkan hasil yang lebih baik disebabkan ilmu yang dituntut sebelum ini.

Kadang-kadang, mungkin ada yang berkata, Doktor bolehlah cakap, kerja duduk sahaja, rileks. Tetapi harus anda sadar, pengorbanan dalam perjalanan menggapai segulung ijazah kedoktoran.

Jika di sekolah, hampir pasti, mereka ini tidak pernah ponteng sekolah, tidak pernah skip kelas, sentiasa berusaha dan tidak bermalasan, dihantar ke kelas tambahan siang dan malam. Maka usaha tidak mengkhianati hasil, man jadda wa jadda. 

Akhirnya adalah doa, kerana yang mengizinkan kejayaan tersebut adalah Allah swt jua.

Jadi jika ada nasihat kepada adik-adik, inilah yang akan saya berikan, biar berpenat menuntut ilmu, supaya kita tidak perit menanggung kebodohan.

Tuesday, October 15, 2024

BERKAT

6pm

Kamu datang dengan sakit kepala mula dari pagi tadi, sakitnya dah berkurang, kamu melangkah dengan muka happy. Minta untuk diberi MC.

Datang pula selepas habis waktu kerja, sedangkan waktu masuk dari pagi.

Kata kamu sakit kepala mungkin sebab tak cukup tidur, maka kamu tidur dari pagi sampai ke petang, sebabtu baru datang.

Bila tanya kenapa tak cukup tidur, bagusnya kamu jujur, kata sebab tengok movie sampai ke pagi.

Kamu sendiri tahu salah sendiri, cari masalah sendiri.

Datang pada Doktor kamu push untuk MC.

Kes macam ni kalau tak bagi, 1 bintang hinggap di gugel nanti.

'kan saya bayar khidmat doktor, MC hak saya'..mungkin dalam fikiran sesetengah orang macamni.

Kalau suuzhon aku, kau bukan sakit kepala pun, sebab kau dah terlajak tidur, maka datang alasan sakit kepala tu, boleh jadi kan?

Aku tahu, ko nak guna MC sebab tanak kene tolak gaji, tapi tak terfikirkah dimana keberkatan dalam gaji tersebut?

Adakah tak pernah terfikir bahawa kerja, apa2 pun adalah amanah?

Sigh...


#dilemaDrGP

Wednesday, August 14, 2024

Profesionalisme

 POV Pelakon:

Kami buat adegan buka aurat, adegan ranjang hanya sekadar memenuhi profesionalisme sebagai pelakon sahaja, tak lebih dari tu.

POV Atlet:

Kami main sukan yang perlu berbaju ketat, buka aurat hanya sekadar memenuhi profesionalisme sebagai atlet sahaja, tak lebih dari tu.

.....

Kita jauh dah tenggelam dalam sistem yang dicipta taghut, dan dipaksa atau secara rela dalam keadaan sedar atau tidak sedar untuk berada di dalamnya.

Segala alasan yang digunakan ni, harapnya boleh digunakan di hadapan Allah swt satu hari nanti.

Atau semoga dikurniakan hidayah dan sama-sama kita sempat bertaubat atas apa jua pelanggaran terhadap hukum yang telah Allah swt tetapkan.

Saturday, August 10, 2024

Cacamerba Sebuah Surau

Berlaku pada satu hari..

Mesyuarat Agung Tahunan sebuah Surau..

Dalam ramainya ahli kariah, datang nya dalam 15 orang.

Macam biasa perbincangan dan pembentangan tahun sebelumnya.

Di akhiri dengan pemilihan AJK, jawatan ngam-ngam 15.

Maka sukarela(paksarela pun ada sebenarnya) semua yang datang tu jadi AJK.

Tak kira la yang datang nak tengok-tengok, dengar-dengar sahaja pun.

Dah itu je yang ada pun.

Kebiasaan dalam satu organisasi, ada pemikir ada pelaksana.

Dalam kes ni, beberapa orang mampu jadi pemikir, tu pun apa yang mampu difikirkan.

Pelaksana secara sukarela.

Nama pun sukarela, maka masing-masing ada kesibukan kerjanya.

Bukan semua full timer( in fact memang semua )

Takde gaji, takde elaun.

Lillahitaala.

Jadi berusaha lah mereka yang ada ini untuk mengimarah dan mengurus Surau.

Dengan apa yang ada, kadang ada hari yang ni free, ada hari yang tu free.

Ada beberapa orang mampu beri lebih pada biasa, diberi lebih pada biasa.

Ada tu mampu hujung minggu, maka hujung minggu pun jadilah.

Apa yang ada.

Bila meeting, Bendahari keluarkan penyata, duit tinggal sikit ni ja.

Penggunaan utiliti dan program tinggi, sudah pening kepala semua AJK.

Infaq Surau tak banyak, bukan macam masjid.

Kalau ada yang datang satu dua sof masa solat, ada beberapa orang yg suka infaq.

Maka itu ja yang ada, 'masyuk' sikit kalau tiba masa Ramadan.

Boleh lah masuk lebih pada biasa, duit lebihan memang jadi simpanan kecemasan untuk setahun.

Tu pun, dah makin menipis, nak tunggu Ramadan akan datang lama lagi.

Ada lagi pelbagai isu pengurusan Surau sebenarnya.

Cerita panjang-panjang apa poin aku?

..........................................

1. Jom sumbang tenaga untuk Surau.

2. Jom solat berjemaah di Surau.

3. Jom infaq untuk Surau.

*Rasa macam faham sangat bila berlaku kes serangan bersenjata di sebuah Surau yang mana CCTV tak berfungsi bertahun, rasanya takde orang pun yang nak amek tanggungjawab bantu uruskan dari sudut tu. Pengerusi banyak lagi benda lain nak fikir, nak letak PIC pun kena cari orang yang sanggup sukarela jaga.

Siapa lagi? Anda laaa...




Wednesday, April 17, 2024

PADI


RESMI PADI, SEMAKIN BERISI SEMAKIN TUNDUK KE BUMI


Bila masuk ke rumah orang, 
Bukan dengan Hidung Tinggi,
Bukan Dengan Dagu Mendongak Langit.

Bila masuk ke rumah orang,
jadi seperti resmi padi,
Salam dihulurkan
Nama diperkenalkan.

Tidak kiralah siapa kita.





















Tuesday, January 30, 2024

MAKIN BESAR NOMBOR MAKIN ???

 


Bila ditanya, dah berapa orang anak dah Indra.

"Alhamdulillah, 4 .." dibalas ringkas

Bila fikir makin besar pula nombornya.

Bila fikir dalam lagi, makin besar pula tanggungjawab.

Pesanan Allah swt untuk orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka.

Jadikanlah mereka qurratul a'yun dan pemimpin orang beriman.

Wednesday, January 24, 2024

SAHABAT

 


Sahabat.
Rasanya istilah tersebut hanya kau jumpa bila disekolah dahulukala.
Sudah dewasa ini, mungkin kau ramai kawan, tapi berapa ramai kau mampu jadikan sahabat.
Itupun sahabat dahulukala sukar untuk berjumpa, bila telah dewasa.
Benarkan?




KEJAR

 



Dunia dewasa.

Fokus kebanyakan kita pada alam pekerjaan dan mencari pendapatan, keluarga isteri dan anak-anak.

Masing-masing membesar dengan komitmen tersendiri.

Rat race dipanggil orang putih.

Kejar-mengejar untuk terus hidup.

Tapi untuk apa kita hidup?

Thursday, September 8, 2022

PILIHAN ATAS KITA

Dalam hidup ni, terpulanglah kepada pilihan kita. 

Sebelum nak masuk bebelan tentang pilihan, kita semua tahu, mati itu bila-bila masa. Nyawa kita boleh ditarik bila-bila masa. Muda atau tua, kaya atau miskin. Benda normal dalam kehidupan.

Kullu nafsin zaa iqatul maut...

Bila kita buat pilihan dalam melakukan sesuatu, bila-bila masa dalam keadaan pilihan tersebut Allah swt tarik nyawa kita.

Kita boleh pilih untuk lewatkan solat, samada dengan sengaja atau tidak, tertidur ke, tengah meeting ke, tengah belajar ke, kemudian Allah tarik nyawa, apa kita bersedia nak menjawab kenapa mati dalam kelalaian(lewatkan solat)?

Kita boleh pilih untuk pergi ke concert artis barat yang menyokong agenda sonsang yang menyesatkan, atas alasan mencintai seni atau apa jua sebabnya. Kita pun terkinja-kinja melompat sambil mendengar nyanyiannya. Lalu Allah swt tarik nyawa kita pada masa itu, adakah Allah akan Redha?

Kita boleh pilih untuk duduk dating dengan pakwe/makwe berdua-duaan di tempat gelap mahupun terang tanpa rasa malu berpegang-pegang yang mana risiko untuk zina berlaku tinggi disebabkan bisikan syaitan, lalu Allah tarik nyawa dalam keadaan kita lalai, lantas takkan nak salahkan syaitan? 

Fa'alhamaha fujuuraha wa taqwaha..

Jika kita pernah ambil tahu isi Al Quran, Allah swt telah lama ingatkan bahawa taqdir itu Allah swt telah tentukan, tapi atas pilihan kita sendiri juga samada kita mahu mengambil jalan taqwa atau jalan dosa.

Berhati-hatilah kita semua, kerana Nabi saw sendiri ada memberi peringatan.

Boleh jadi yang dahulunya baik dengan amalan ahli syurga, pengakhirannya di neraka oleh kerana amalan akhirnya.

Boleh jadi yang dahulunya buruk dengan amalan ahli neraka, pengakhirannya adalah syurga kerana amalan akhirnya.

Poin dia, selagimana sempat untuk bertaubat, menjaga ibadah dengan kesungguhan, elak perkara melalaikan, menjalankan amar makruf nahi mungkar, maka buatlah.

Semoga diampunkan dosa kita semua.
Dan memperoleh pengakhiran yang baik dan di redhai Allah swt.

Tuesday, July 19, 2022

MONOLOG RENTETAN KETIDAKJUJURAN

Nak jadi jujur susah, susah sangat zaman ni, kadang apabila bersikap jujur kita akan dipandang asing, boleh jadi dipulaukan, boleh jadi diperlekehkan, boleh jadi kena tegur dengan orang atasan kenapa berkira untuk tidak jujur dalam hal-hal yang bagi mereka dipandang kecil.

Ada satu kisah, nak jujur itu susah.

Seorang Pakcik datang untuk buat medical checkup untuk urusan lesen kenderaan berat.

Apabila dilihat dalam borang yang di isi, ditanda tiada penyakit apa-apa.

Lumrah tugas, kita akan laksanakan sebaik mungkin.

Ditanya semula, sebelum ini memang tiada apa-apa penyakit kronik?

Baru dia mengaku ada penyakit darah tinggi, kencing manis...

Bila ditanya jika ada risiko penyakit tidur berdengkur, dinafikannya..

Walhal first impression sahaja kita tahu dia ada risiko tersebut, badan yang besar, leher yang tebal...

Tapi..tapi..tapi

Jangan confuse, bukan kejujuran Pakcik ini yang ingin dipersoalkan sangat

Tapi kejujuran diri sendiri.

Kalau ikut, Pakcik tu boleh nego-nego untuk kita sign sahaja borang tersebut dengan mengatakan seolah-olah dia tiada penyakit.

Tapi iman yang nipis ni kata, Indra what u will be doing is wrong...

Bagi sesetengah orang, mungkin mereka akan kata, ala sign jela, ok je, ok je, takde masalah la etc etc

Sebab boleh jadi, it is good for their bussiness.

Tapi ada terfikir, katakanlah aku sign juga borang, walaupun tahu dia ada darah tinggi dan kencing manis yang tak pasti terkawal ke tak, some more pakai insulin, ada risk hyper/hypo glycemia. 

Lepastu pakcik ni bawa kenderaan berat dan menyebabkan kemalangan dan kematian orang lain, do these guys even care? Unless family sendiri yang kena kan...some more borang tu juga turut tanya tentang penyakit berdengkur malam, takut senang doozing off masa memandu. 

Asbab tak jujur, maka kita telah menyebabkan musibah kepada orang lain, of course ada share saham dosa juga. Tak jujur punya pasal.

Sebabtu kadang-kadang nak jujur ni, kena pegang sungguh-sungguh prinsip, ibarat genggam bara api, panas macam mana pun ko tak lepas, kalau terkena tumpahan minyak, kebakaran lebih besar akan berlaku.

Sebab boleh jadi, dengan menjadi jujur orang akan condemn ko, kacau bisnes, orang komen jahat dan sebagainya.

Apa nak buat?

Ittaqillah.


Friday, May 6, 2022

BULI

' Indra bukcle up please..'
' Dik awak ni bodoh ke..'
' Dik please buckle up..'
' Oi Mangkuk, stupid, bodoh punya Houseman..'
' What the F...'

Ayat-ayat ni pernah buat aku tacing banyak kali, rasa tak gune, tak pandai, sampai macam ada PTSD kalau dengar perkataan buckle up(terutamanya). Memang confirm air mata jantan mengalir setiap kali MO ucapkan perkataan tu.

The thing is, u asked us to buckle up, tapi tak ajar how to. Please do, and better that way. Just saying buckle up, u're leaving us di kayangan, tak tahu apa yg salah, apa yg betul. Rasa dah buat betul tapi rupanya salah, then just say the word, without guidance.

When u said we are stupid, bodoh, mangkuk, jangan hanya tahu nak keluarkan foul words without guidance, again. Ada yg extreme jenis baling fail pesakit, yg ketuk kepala, yg threaten nak extend. Amendela.

Tapi tak semua busuk, ada MO yang baik hati, macam sorang Dr ni, Dr Aiman Zainal, dia tahu aku tak pandai review, dia ajar satu-satu, explain sebab dan sebagainya. Alhamdulillah, I am very grateful to you.

Mungkin sebab orang-orang baik ni aku bertahan.

We can be garang, tapi bertempat, with guidance, bukan garang tak tentu pasal dan banyak mencarut. And I understand it really well, sometimes kena ada MO/Specialist yang garang sbb kita deal dengan nyawa.

Garang itu perlu, tapi jangan sampai membuli. Samada perkataan atau perbuatan.

Stop with this culture, create a better environment.

#stopbullying

Tuesday, August 31, 2021

COVID-19 : Obesiti Jangan Di Pandang Ringan

COVID-19 DAN OBESITI

Kini hampir setahun tujuh bulan kita masih lagi bergelut dalam melawan pandemik Covid-19 di Malaysia. Tanda-tanda sinar untuk kes menurun masih lagi kita harapkan. Kes dalam masa beberapa minggu ini masih lagi berada dalam sekitar 20 000 kes dan kadar kematian masih lagi mencatatkan angka ratusan. 

Apapun, keadaan terkini terutama di kawasan Lembah Klang, penurunan kes yang memerlukan rawatan rapi dan kemasukan ke ICU nampaknya semakin berkurangan, dengan kebanyakan kes adalah dari gejala ringan seperti yang dikongsikan Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisyam Abdullah. 

Kita mengharapkan dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan dengan kepatuhan seluruh rakyat Malaysia kepada prosedur operasi standard yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) mampu menurunkan lagi kes, kadar kematian dan morbiditi terhadap pesakit Covid-19.

Kesemua kita tahu, kesan wabak ini lebih teruk kepada mereka yang mempunyai penyakit sedia ada sepertimana kencing manis, darah tinggi, masalah jantung dan lain-lain. Pesakit yang datang dengan kategori 1 atau 2 mampu berubah sekelip mata kepada tahap 3 dan keatas yang mana mereka memerlukan kemasukan ke hospital untuk dipantau dengan lebih dekat. Hal ini termasuklah mereka yang mempunyai masalah obesiti.

Obesiti adalah salah satu komorbiditi yang tidak harus dipandang ringan. Kerana ramai orang muda yang bergejala teruk dan memerlukan bantuan pernafasan adalah dari mereka yang mempunyai masalah ini. Obesiti sangat kerap dikaitkan dengan masalah kesihatan lain termasuklah Covid-19. Jika di Amerika Syarikat, 900, 000 pesakit yang dimasukkan sejak permulaan pandemik sehingga November 2020, 30 peratus dari pesakit tersebut mempunyai masalah obesiti.

Rawatan dan pengurusan pesakit yang mempunyai masalah obesiti juga agak sukar seperti yang dikongsikan petugas-petugas ICU.

Anda dikatakan mempunyai masalah obesiti apabila BMI anda melebih 30kg/m2 dan mempunyai masalah berlebihan berat badan apabila BMI anda melebihi bacaan 25kg/m2. 

Berdasarkan kajian yang dijalankan Obesity Review, mereka yang mempunyai masalah obesiti mempunyai peratusan sebanyak 113% untuk dimasukkan ke Hospital, 74% dimasukkan ke ICU dan 48% kadar kematian berbanding dengan mereka yang mempunyai BMI yang normal.

MENGAPA OBESITI BERISIKO TINGGI

Pesakit Covid-19 yang mempunyai masalah obesiti merupakan dari golongan yang berisiko tinggi kerana lemak dalam badan meyukarkan pergerakan otot pernafasan, lantas menyebabkan kemampuan untuk paru-paru mengembang sepenuhnya sukar dan mengurangkan proses penggantian oksigen dan karbon dioksida.

Tambahan lagi, mereka dengan masalah obesiti asalnya mempunyai kecenderungan untuk berlakunya pembekuan/penggumpalan darah dalam salurannya. Ditambah lagi dengan bendasing seperti virus ini menyebabkan dinding sel mudah cedera dan memudahan proses pembekuan darah tersebut.

Selain itu, sistem imuniti badan juga menjadi lemah dan kurang efektif disebabkan tisu lemak menyelaputi atau mengganti tisu limpa, tulang sum-sum, thymus yang mengeluarkan sel-sel imuniti badan.

Akhir sekali, mereka juga menghadapi masalah keradangan kronik disebabkan tisu lemak yang banyak dan bilamana mereka dijangkiti Covid-19, masalah ini bertambah serius dan menyebabkan kekacauan dalam sistem badan.

OBESITI DI MALAYSIA

Malaysia merupakan juara obesiti di Asia Tenggara. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh World Population Review 2019. Malaysia merupakan negara yang mempunyai prevalen tertinggi dengan 15.9 peratus dan di ikuti oleh Brunei dan Thailand.

Berdasarkan laporan dari Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, 30.4% populasi dewasa adalah berat berlebihan dan 19.7% adalah obese yang menunjukkan kadar kenaikan dari tahun-tahun sebelumnya.

Ditambah pula dengan musim Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejak awal pandemik, menyebabkan kadar pengambilan makanan yang tidak sihat, juga kurangnya pergerakan dan ativiti luar mungkin menjadi cabarannya tersendiri bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti. Yang mana bila mereka dijangkiti Covid-19, risiko untuk mendapat simptom yang teruk adalah tinggi. 

BELUM BOLEH LEKA

Sekarang negara sedang berhadapan dengan Variant Of Concern(VOC) seperti Varian Delta yang mana kadar jangkitannya 2 kali ganda lebih pantas dan mampu merebak dalam masa 15 saat di ruang yang tertutup. 

Mereka yang menghidap varian ini pula mempunyai gejala yang teruk terutama pada orang muda, lebih-lebih lagi mereka yang tidak sempat divaksin. Obesiti pula menjadi masalah utama apabila pesakit muda ini tidak mempunyai masalah kesihatan yang lain.

Pengalaman penulis sendiri sepanjang menjaga Pusat Kuarantin, sudah beberapa kali kami merujuk ke Hospital mereka yang mempunyai masalah obesiti, dari tahap 2 menjadi tahap 4 pada bila-bila masa, ia ibarat bom jangka.

Kita mengharapkan agar tiada kemasukan VOC lain seperti Delta Plus dan Lambda yang kini menjadi igauan di beberapa negara lain. Jadi belum masanya kita leka.

Ambil peluang dalam keterbatasan pergerakan untuk tetap menjaga kesihatan. Memilih makanan yang berkhasiat, mengamalkan diet suku-suku-separuh dan terus kekal aktif dirumah dengan melakukan senaman dan regangan untuk membakar kalori.

Negara sekarang sudah bertukar status kepada Pelan Pemulihan Negara yang mana semua fasa membenarkan untuk kita keluar beriadah dengan SOP yang tertentu, ambillah peluang ini untuk mendapatkan BMI yang ideal. Rancang penurunan berat badan dan berdisiplin dalam pengamalannya.

Amalan mencegah lebih baik dari mengubati sudah sebati dan lama diajarkan dalam Islam. Kisah Umar Al Khattab yang melarang sahabat dari mempunyai perut boroi dan juga saranan dari hadis Nabi Muhammad saw dalam menjadi mukmin yang sihat harus kita insafi.

Islam mengambil asbab dan musabab dalam setiap perkara termasuklah dalam penyakit Covid-19. Selain menjaga pemakanan dan senaman. Jangan lupa untuk mengambil vaksin sebagai langkah pencegahan, teruskan pengamalan SOP supaya kita tidak menjadi punca penyakit kepada orang lain.

Tanggungjawab mencegah penyakit berjangkit adalah tanggungjawab kita bersama. Semoga kita saling berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesihatan.


Dr Indra Putra Asrar
Ahli Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia
(I-Medik)
Pegawai Perubatan PKRC UNI Klinik






Tuesday, July 20, 2021

CHANCES OR GAMBLES

14 Julai 2021

Tarikh keramat aku meletakkan jawatan sebagai Pegawai Perubatan UD 43 Kontrak di Kementerian Kesihatan Malaysia. Keputusan yang aku kira diambil agak drastik dalam sekelip mata. 

24 hour notice.

Sesiapa yang ada dalam medical fraternity tahu isu yang menghantui Pegawai Perubatan Kontrak yang mana tiada halatuju atau jalan yang jelas dalam peluang menyambung pelajaran, ketidakadilan yang berlaku kepada rakan-rakan kontrak di tempat lain, dan antara isu besar adalah penyerapan secara tetap kedalam Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Hampir 5 tahun, kami tak tahu apa yang dibincangkan di peringkat atasan, sehingga perkara ini menjejaskan halatuiu hampir 23 000 pgawai perubatan kontrak di KKM. Untuk nota, rakan-rakan di bidang lain telah merasai peritnya di terminate sepertimana ahli farmasi, doktor gigi.

Sehingga satu tahap, ada satu inisiatif untuk mengadakan hartal(mogok) doktor kontrak yang dijangkan akan dilakukan pada 26hb Julai ini. Ada yang menyokong ada yang menentang.

Berbincang panjang dengan senior-senior akhirnya aku faham perlunya kepada exitplan dan kearah alternative/atypical pathway untuk keluar dari masalah ini memandangkan hampir mustahil KKM akan menyerap semua pegawai menjadi tetap.

Aku batch pertama kontrak, Disember 2016. Pada awalnya dahulu, kedengaran pelbagai janji seperti akan diserap tetap setelah menjadi Medical Officer, kemudian janji yang jika ada paper akan diserap, dan penuh harap aku ambil juga peperiksaan Medex, Alhamdulillah lepas tetapi sebab status kontrak tak kemana jua.

Dalam sebulan dua kebelakangan ini, aku ada apply beberapa buah universiti hospital dan klinik swasta. 

13 Julai 2021

Sehari sebelum letak jawatan, aku dapat panggilan interview dari Klinik Swasta, UNI Klinik Bangi. Interview pukul 4 petang. Pada tengah malam aku peroleh mesej.

"Assalamualaikum Dr Indra. Terima kasih kerana sudi untuk join interview petang tadi. Setelah berbincang dengan pihak pengurusan, kami bersetuju untuk mengambil doktor sebagai pegawai perubatan bagi kami punya pkrcs dan pcac bertempat di shah alam dan juga petaling jaya.


Gaji yang ditawarkan adalah sebanyak RM xxxx . dan kontrak sehingga hujung tahun 2021. sekiranya bagus based on performance, kami akan serapkan ke salah satu cawangan uniklinik yang terlibat"

Tersentak sekejap dapat mesej ni, tak sangka dapat jawapan balas secepat ini. Bincang dengan wife, family, tanya pendapat Bos. Akhirnya aku buat keputusan untuk letak jawatan di KKM walaupun kontrak tamat Disember ini dan ditawarkan pula one off contract setahun lagi. Memandangkan khidmat wajib pun dah cukup 2 tahun, maka tiada masalah untuk letak jawatan.

15 Julai 2021

Dengan keputusan sedrastik itu, baru dapat properly beritahu rakan-rakan sekerja, staf-staf klinik yang lain di Klinik Kesihatan Paka. Mereka seumpama keluarga, sedih sangat sebenarnya kena tinggalkan tempat ni. PKD Dungun dalam banyak-banyak PKD lain yang member2 lain bawangkan, sangatlah terbaik semua stafnya, dari Tuan PKD sendiri sampai lah ke staf-staf yang lain.

Jadi hari-hari terakhir wajiblah bergambar dengan semua staf. Terima kasih atas pengalaman dan ilmu yang dicurahkan. Sumpah takkan lupa KK Paka. Sedih wooo nak tinggalkan tempat ni, tapi untuk masa depan yang tak pasti, aku ambil juga langkah yang menjadi taruhan, ataupun langkah yang boleh jadi peluang. Aku mengharap ia adalah peluang. Mohon doakan.

Jadi aku nak abadikan gambar-gambar perpisahan dengan staf disini. Supaya tidak lupa.


Kemas barang.
Candid by Dr Fadhlin

Bilik 4 MCH.
Harap hiasan belakang kekal sampai 10 tahun.

Deskmate.
Dr Fadhlin yang suka membantu.

Team akak Misi Zon 2.
Kak Norlia, Kak Maria, Kak Azie, Kak Zainie, Kak Sal, Kak Na
Dr nak discuss kes boleh?

Team Pusat Kuarantin PSMZA.
IK Yoe, MA Padil, IK Azrol, Misi Sabariah, Dr Aqeela, MA Wes(Tiada dalam Gambar)

Candid FMS dan MO KK Paka.

Best Team.
Dr Asma, Dr Amirah, Dr Fatimah, Dr Fadhlin, Dr Fadhli, Dr Hafiiz, Dr Sarah, Dr Nadia, Dr Mohammad, Dr Maisarah. 
Tiada dalam gambar, Dr Hidayah(PPV), Dr Alia(PPV), Dr Raudhah(Kemana?)

Orang kuat optimis KK Paka
JM Zanariah


Lab tempat lepak pilihan.
JTMP Atiya, JTPM Nadiah, JTMP Azrai, JTMP Fiza

Kalau ajak jarang tolak.
MA Pijo

Team MA KK Paka.
MA Zul, MA Sham, MA Naim, MA Luqman, MA Farah(tiada dalam gambar), MA Matjeng(pindah KKKD)


Team NCD KK Paka.
Kak Farizan, MA Sham, Kak Intan, Kak Za

Team PPK UPL.
Bang Nuar, Kak Dah, Adik Hasif, Kak Zu(tiada dalam gambar)

Farmasi, tempat lepak pilihan.
Sampai kesudah tak inform Hamid aku dah pindah.
Pn Zu, Pn Nabila, Pn Jaja, Cik Leong.



Dr Hidayah merangkap penjaga PPV UITM.
Tahniah dapat diserap tetap tetapi terpaksa ke Sarawak.
Moga dipermudahkan urusan disana.

Dr Alia merangkap incaj PPV Politeknik.

Sister Suzana incaj PPV Politeknik

Geng-geng Paka di PPV Politeknik.
Tak dengar dah ngilaian Kak Lela nanti.

Pilot Ambulans KK Paka.
Geng-geng futsal belaka.
Joe, Zuan, Nasir, Fahmi.

Hadiah dari Misi-misi KK Paka.
Terima kasih semua ya.

Setahun 8 bulan kerja di KK Paka adalah pengalaman yang beharga, belajar banyak benda, bersyukur ditempatkan disini. Memohon doa kalian agar dapat terus berikan yang terbaik dimana jua aku berada.


End of Chapter.

Jadi seterusnya kemana?


Doakan







Monday, May 17, 2021

Luahan Kekecewaan dan Kemarahan

Harini rasa kecewa, marah pun ada. Nak luah, tapi kat tempat yang tak ramai orang baca, kira macam membebel sendiri jela. Sebab kalau tak tulis, nanti terpendam dalam jiwa, nak gila rasa.

Kes 1.
Semakhluk ni, datang klinik atas satu urusan, dibuat saringan ke atasnya, dapat tahu baru balik beraya dari Kedah, siap pakej bersalam-salaman, esok nak terus masuk kerja, tak bagitahu bos pun balik zon merah, kita nasihat kuarantin kendiri, tanya pula mana keluar pekeliling takleh masuk kerja bagai kalu dari redzone, kau faham tak kuarantin kendiri?, Bila kita minta buat RTKAG, tanya takleh ke buat sekarang je, nak cepat, esok nak masuk keje gak, kau ingat kitorang robot, request on the spot terus pakai PPE amek swab. Padahal pagi2 dah berjeruk amek sample close contact, ape punya level kayangan ko ni. Dah la balik raya, bilamana org nasihat takyah balik, bila balik konfem la tak jaga SOP dengan keluarga, takkan la tak peluk cium bagai kan. Tapi takpela, mungkin ko balik sebelum arahan PKP lagi, tapi bila ko balik sini, orang bagi nasihat ko punya lagak level kayangan sungguh. Memang orang kata tak bertanggungjawab la gini, pastu ko ingat kalu amek RTKAG pastu negatif, ko bebas Covid, dan boleh jamin ko tak sebarkan kat orang lain? Kalu viral load ko still rendah, xboleh detect pun awal2 ni. Alahai, nasib ko bukan artis je la. Kalu x viral dah ko ni.

Kes 2.
Baru lepas berjeruk ambil sampel kat Pusat Kuarantin(PK). Datang famili member di hari raya pertama. Datang dengan rasa tak puas hati, isteri die kene kuarantin dkt PK, ada rakan sekerja kepada isteri dia dikuarantin dirumah. Banyok die bertanya kenapa buleh gitu, aq kate r, bukan keje aq tentukan benda tu, bilik gerakan yg tentukan, aq xleh jawab. Lepastu yg buat si suami ni lagi tak puas hati, yg rakan sekerja bini die tu, dah pakai gelang, boleh pula potong pastu gi keje cam bese, Bos pun xtahu die dikuarantin. Tup2 result positif, kene angkut gi Pusat Kuarantin, ape cite gelang die, bagi alasan apa, aq xtahu. Aq cakap ngan suami die, gi report polis jela. Nampak tak, ni bukan artis ke, bukan menteri ke, yg buat perangai macam ni, sebab ko tak popular je, kalu tak viral dah.

Kes 3.
Tengok dekat FB orang share bertapa berpusu-pusu laluan pantai timur, org nak masuk KL Selangor. Semua PJJ ke, semua ada bisnes ke? Ahh, artis ke ni, menteri ke ni, eh .. fikir lah sendiri.

Kes 4.
Kes balik beraya jugak. Lantak ko la labu. Kes naik kitorang hadap gak, sampai la tak terdaya, dan sampai la tahap kitorang cakap, ICU penuh dah ni, alat bantuan pernafasan kami bagi yg ke org muda2 ya, yg ada harapan lebih sikit. Yg lain cube la hirup mana2 udara yg ada.

Jadi nak kata, doksah tuding jari r, artis ke, menteri ke, marhaen ke, sama je kite ni, tanggungjawab atas kita la. 

Masalahnya penyakit berjangkit ni, kalu kene ke kite sorang je takpe, masalahnya ko sebar kat org lain gak. 

K tu je kbye.


Wednesday, March 31, 2021

Tanya Tutor Bantu Calon SPM

Tanya Tutor merupakan satu inisiatif yang dijalankan oleh Kelab Remaja ISMA(KRIM) Dungun sejak tahun 2020 bagi membantu pelajar SPM memahami subjek-subjek tertentu dalam menghadapi SPM.

Program ini merupakan satu bentuk cara bantu mengajar ala-ala tuisyen yang dijalankan dengan jumlah pelajar yang terhad supaya dapat memaksimumkan pembelajaran secara tutoring oleh pengajar setiap minggu.

Semenjak program ini dijalankan, beberapa subjek fokus ditawarkan secara percuma dengan fokus kepada pelajar B40 yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan khidmat tuisyen berbayar.

Subjek yang ditawarkan buat masa ini adalah subjek Matematik Moden, Matematik Tambahan dan juga Bahasa Arab. Pengajar adalah dalam kalangan Sukarelawan yang mempunyai pengalaman mengajar dalam subjek tersebut.

Sejak tahun lepas, beberapa pelajar dari sekolah sekitar telah bersama menyertai program ini terutama dari sekolah berdekatan seperti SMK Balai Besar dan SMK Intan Zaharah di Dungun.

Batch yang pertama dari pelajar SPM Promax 2020 baru sahaja menamatkan peperiksaan mereka baru-baru ini. 

Kini KRIM Dungun mula memberikan fokus kepada pelajar SPM tahun 2021 dengan kelas pertama yang juga dijalankan secara percuma berjalan pada 1 April 2021.

Menurut Pengarah Kelab Remaja ISMA Dungun, Dr. Indra Putra Asrar. Inisiatif ini bermula apabila kita melihat kesukaran pelajar untuk mengulangkaji pelajaran di musim pandemik yang mana banyak kelas dijalankan secara dalam talian pada masa itu.

Menurutnya lagi, Tanya Tutor diharap dapat membantu pelajar SPM memahami subjek dan topik sukar dengan lebih baik. Banyak topik yang disentuh adalah topik yang susah untuk difahami terutama untuk subjek yang melibatkan pengiraan dan formula seperti matematik.

'Perancangan kedepan, kami berharap dapat membuka kelas untuk subjek lain dengan membuka peluang kepada sesiapa yang sanggup mendaftar sebagai Sukarelawan Mengajar.' katanya lagi.

Kelas dijalankan dengan mengikut SOP yang diberikan Majlis Keselamatan Negara, buat masa ini dengan kapasiti 50 peratus dari luas kelas/dewan. 

Selain membantu dari sudut akademik, Kelab Remaja ISMA juga banyak melibatkan remaja dalam aktiviti pembentukan sahsiah, akhlak, kepimpinan dan kesukarelawanan dengan menyentuh isu-isu semasa dan motivasi remaja dalam Program Usrah Mega, Skuad KRIM dan sebagainya.

Pembinaan jatidiri remaja Muslim adalah fokus utama Kelab ini bagi menyediakan remaja untuk mejadi pimpinan berwibawa pada masa depan.

Pelajar yang berminat untuk menyertai Tanya Tutor boleh menghubungi aktivis Kelab Remaja ISMA Dungun saudara Sofi Abdullah di talian 019 520 5782 atau boleh mengikuti halaman FB dan Instagram KRIM Dungun untuk maklumat lanjut.

Pelajar SPM Promax 2020, saudara Hassan tekun mendengar.

Antara Sukarelawan Tutor, saudara Saufi Zaini yang merupakan pensyarah Kejututeraan di sebuah universiti.

Konsep tutor yang memudahkan pelajar memahami subjek sukar.

Thursday, March 18, 2021

Inilah Kelemahan KKM...

Sejak pandemik Covid19 berlaku, staf-staf kesihatan bertungkus lumus berusaha membendung penularan penyakit.

Staf yang sedikit ini ditarik untuk penambahan bebanan kerja membendung Covid 19 sedangkan tugas2 sedia ada terus berjalan.

Pelbagai SOP dan usaha kesihatan awam diperkenalkan. Tapi harini agak terkesan(more kepada sakit hati) bila seorang pesakit menuturkan...

'...inilah kelemahan KKM..'

Kisahnya hanya pada isu durasi  di kuarantin. Semua sedia maklum, tempoh kuarantin yang diumumkan KKM sekarang ini hanya 10 hari.

Pesakit ini diminta untuk menjalani saringan pada tarikh sekian dan diminta untuk kuarantin dirumah terlebih dahulu.

2 hari kemudian surat dikeluarkan untuk dia dikuarantin di Pusat Kuarantin dan menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari. Dia tidak berpuas hati. 

Nampaknya dia memahami konsep perlu kuarantin 10 hari, ia menjadi isu apabila dia sudah kuarantin kendiri selama 2 hari dirumah.

Apabila ke pusat kuarantin, dia terpaksa menjalani 10 hari tambahan kerana mengikut tarikh pada surat arahan kuarantin yang baru dikeluarkan.

Di situ isunya bermula, seolah dia menyalahkan staf/Inspektor Kesihatan yang lambat keluarkan surat menyebabkan dia terpaksa kuarantin lebih lama.

Maka dia mengeluarkan ucapan tidak puas hati '...inilah kelemahan KKM...' dan minta untuk consider tarikhnya dikuarantin.

Ya, ia mungkin kelemahan di pihak kami. 

Tapi satu perkara saya nak luahkan, yang mana saya tak dapat nak luahkan di talian tadi(nanti kata staf kesihatan kurang ajar pula).

Setahun dah kami bertungkus lumus dengan staf sedia ada.

Bila kes menaik, banyak atau sikit, staf itu jugalah yang ditarik dari melaksanakan tugasan biasa(yg terpaksa dicover rakan) untuk bendung penularan wabak.

Kluster yang terbaru ini, Kluster Ladang Bukit menaik mendadak kesnya setelah Dungun berjaya menjadi zon hijau hanya selama seminggu.

Inspektor Kesihatan dan staf lain terpaksa follow up ramai orang dari kes-kes positif.
Jadi kadang-kadang ada perkara akan delay seperti pemberian surat arahan kuarantin. Tugas mereka bukan hanya nak bagi surat sahaja ya.

Nak pergi rumah ke rumah, nak telefon sorang-sorang suruh kuarantin. Nak kena siasat siapa lagi kontak rapat, tiba-tiba dapat tahu ada lagi kes positif, jadi kena ulang proses yang sama. Kami bukan robot boleh kerja 24 jam straight untuk selesaikan semua tu.

Senang dia kata '...inilah kelemahan KKM...'

Ikutkan perasaan, ingin saya tanya semula, punca kluster Ladang Bukit ni dari mana? SOP tempat kerja staf-staf dia ikut ke tak. 

Mudah bicara '...inilah kelemahan KKM...'

Sedangkan punca kluster dari mana, siapa pencetus? Saya bukan niat nak wujudkan stigma ya. Cuma kadang-kadang geram.

Saya sarankan jika tidak berpuas hati, anda sentiasa boleh ke laman web SISPAA untuk buat aduan. Mana tahu kalau sangkut, ada peluang pihak kementerian tambah staf permanent ke. Tapi janganlah seolah merendahkan usaha kami. 

Penat tau setahun hadap benda ni. Dan akan masih menghadap kalau ada yang sentiasa nak rentas negeri dari zon merah pergi majlis. Ada yang ada simptom tapi masih pergi kerja, ada yang gelang pakai ditangan tapi babil keluar juga dari rumah.

Teringat kluster awal tahun ni, yang puncanya sedara mare dari zon merah datang majlis Aqiqah.

Habis kena angkut satu keluarga, lepastu sanggup dia ungkapkan

'..korang duduk goyang kaki je kat bawah tu ke..' aw kama qal

Sebabnya, barang yang keluarga hantar untuknya lambat dibawa naik.

Sedangkan kami ada masa-masa tertentu sahaja untuk naik hantar barang. Semata-mata untuk membazir baju PPE untuk hantar barang tersebut sangatlah tidak berbaloi.

Baru tahu peritnya dikuarantin. Rasa nak marah, rasa stress sampai ada yg nak bunuh diri dan sebagainya.

Sikap kita yang tidak bertanggungjawab dan mengambil mudah pada SOP menyebabkan kesukaran pada orang lain. Termasuk staf KKM yang terpaksa menadah telinga menerima cacian dari keluarga dan kenalan anda.

Dia hadap kes di Terengganu, delay arahan kuarantin 2hari sahaja. Nasib baik tak duduk KL. Kat sana hanya Allah yang tahu betapa delaynya urusan-urusan untuk cari kontak rapat, nak dapat result.

Mak Ayah saya sendiri yang jadi kontak rapat adik, hampir seminggu kuarantin kendiri. Kemudian KKM panggil, kena kuarantin lagi 10 hari sebab baru dapat surat arahan kuarantin. Kalau ikut nak dekat 7 hari dah kuarantin sendiri. 

Kalau dia duduk sana tak tahu la apa dia nak ungkap pada KKM.

Kesimpulannya.

Anda bertanggungjawab terhadap diri anda sendiri, anda lihat sendiri kesan kepada orang lain akibat sikap take for granted, irresponsible dan sebagainya yang kita tunjukkan. 

KKM keluarkan guidelines untuk jaga diri, follow lah dengan baik. Berilah chance kami staf KKM berehat kejap. 

Kalau nak kata kecewa, kami juga kecewa. Kerana perkara sama yang berulang. 

Buat majlis ramai-ramai dengan yang dari Redzone bercampur sekali.

Tak jaga SOP di tempat kerja ke macam mana...
Kluster Santong Paka
Kluster Bukit Tengah
Kluster Ladang Bukit
Ni dari geng sama sebenarnya, yang tahu tahulah. Tak leh cerita detail.
Berulang, tak ambil pengajaran ke macam mana. 

Cukuplah kut, sampai sini bebelan. Boleh bebel penulisan je, kalau ada yang menyakitkan hati lagi, mungkin bebelan depan-depan je nanti. 

Sekian. Moga ada sinar.

Thursday, March 4, 2021

KONGSI KENANGAN SEKOLAH

Harini takde poin, saje2, tulis pun bahasa xformal. Saje teringat kenangan dari sekolah rendah sampai menengah.

1997-Tadika
*Pernah tertoreh tangan kanan dengan pisau lipat baru beli masa member berebut pisau tu. Terbelah jugalah masa tu. Lepas jahit dekat klinik Ustazah belanja donat. 

1998-Darjah 1
*Dapat ketua kelas garang, tulis nama kat papan hitam dan kena denda dengan cikgu. Sebab? Pandang belakang.

1999-Darjah 2
*Pernah kena denda dgn cikgu sebab tulisan buruk. 

2000-Darjah 3
*Masa ni duduk kelas nombor 3, dapat nombor 1 dalam exam dan dapat anugerah cemerlang. Masa ni ada peluang nak lompat tahun tapi tak lepas, sedih tapi bersyukur. Ada hikmah.

2001-Darjah 4
*Masa ni berpeluang naik kelas nombor 1. Tapi memang struggle. Selalu jadi pelajar belakang2 masa exam. Pandai2 budak2 kelas ni.

2002-Darjah 5
*Turun kelas ke tiga balik, tak ingat sangat memori masa ni. 

2003-Darjah 6
*Naik kelas 6 Gemilang, masa ni baru je tukar sistem nama kelas. Teringat cikgu Khairuddin, dia bagi nama anak dia Irsyaduddin, budak paling pandai dalam kelas masa tu. Punya sayang cikgu kat dia sampai bagi namanya kat anak.

2004-Tingkatan 1
*UPSR dapat result ok, try apply Asrama Penuh tak lepas, MRSM pun sama, try SMAKL, tak lepas gak. Masuk ZonR1. Teringat masani kena batuk kuat, cikgu bagi Fisherman. 

2005-Tingkatan 2
*Masa ni kisah2 tipikal zaman remaja sangat banyak. Taknak cite. Haha

2006-Tingkatan 3
*Selalu compete dengan Fahmi, masa ni anggap dia seteru utama dalam pelajaran. Kalu jumpa, mesti dia tanya tak puas hati apa. Teringat juga Cikgu Khadijah, orang yang buat aku minat sejarah. Teringat cikgu Sabariah, cikgu BM. Memori paling manis masa ni adalah masa amek result PMR. Tak expect apa2 sbb rasa biase2 dan bukan budak pandai. 

2007-Tingkatan 4
"Singgah TiKL jap, sebulan lepastu pindah MRSM Alor Gajah. Paling best duduk asrama ni rasanya masa nak pulang ke kampung. Aq suka balik sendiri baik bas, lrt sampai rumah. Best pengalaman tersebut, acah berdikari. Ada kenangan kena denda cium pokok oleh cikgu Jamilah sebab tak siap kerja addmath.

2008-Tingkatan 5
*Masa ni kelas2 baru dapat nama formal, masuk kelas yg ada subjek akaun, 5 Pharmacology. Nama yg aq bole sebut, Rafiq, Nad, Syazwi. Teammate study. Rafiq dgn Nad skrg Doktor, Syazwi tak pasti, huhu sorry xupdate. Tp yg penting jd orgla belake. 

Ni antara kenang kenangan, byk lg tp malas tulis panjang2. Pasni nk tulis cikgu tg dikenang plak ah. Tgok igt ke x igt. 

Kita igt kita akn stay budak2 remaja sentiasa, tp masa terus berjalan. Dan kita berada dimana kita berpijak skrg. Tinggal ia sebagai kenangan.


Monday, February 8, 2021

MENJADIKAN MEDIA SOSIAL LAPANGAN YANG TENANG

Pertamakali mendaftar sebagai ahli di lamanweb Facebook(FB) bertahun yang lalu, saya tertarik dengan satu tema yang diuar-uarkan aplikasi ini.

Connecting People.

Saya yakin hampir semua yang ada akaun media sosial ini mengetahuinya. Aplikasi yang masih popular digunakan sehingga ke hari ini. Termasuk aplkasi lain yang popular adalah Twitter, Instagram, We Chat dan sebagainya.

Kita pernah diperkenalkan dengan aplikasi yang hampir serupa tujuannya dahulu, iaitu myspace dan friendster malahan juga yahoo messenger jika kita ingat.

Berfokus kepada medium FB. Tema yang diguna pakai benar-benar direalisasikan dimana kita dapat menjalinkan hubungan silaturahim dengan rakan-rakan, saudara-mara, dan kenalan yang baru. 

Walaupun hubungan tersebut secara maya. Banyak kemaskini kenalan yang dapat kita tahu.

Ia benar-benar memperhubungkan kita. Akan tetapi, sedar atau tidak, hingga kini setelah bertahun menjadi aplikasi popular saya dapati beberapa sudut di FB, letusan-letusan pergaduhan sesama kita kerap juga berlaku. 

Pergaduhan mulut(menaip) akhirnya membawa kepada renggangnya perhubungan sesama manusia, salah faham, lahirnya sikap tidak menghormati yang tua, hilangnya sikap menyayangi yang muda.

Satu kelemahan yang kita semua sebenarnya tahu, kita tidak tahu dengan siapa kita lontarkan komen, umurnya, statusnya, dan akhirnya melalui satu-satu komen itu, ia menjadi medan perbalahan sesama kita.

Boleh jadi yang melontarkan komen adalah setaraf ibu bapa kita umurnya, ataupun yang memberikan komen adalah setaraf anak-anak kita. Bila kita tidak berhati-hati pelbagai perkataan tidak enak didengari. 

Adakah di dunia nyata, samada tua atau muda, anda akan bersikap kasar dengan ucapan anda? 

Bagi saya tidak ada beza dalam sudut hormat-menghormati, sayang menyayangi samada di dunia maya atau nyata. Jika anda membezakan kedua dunia ini maka ada masalah hati yang perlu kita sama-sama muhasabah.

Kenapa? Supaya jiwa kita akan kekal tenang pabila berada di laman sosial. Saya yakin Nabi Muhammas SAW, pasti sedih jika melihat umatnya berantakan disebabkan perselisihan pendapat.

Berselisih pendapat perkara biasa, cuma bagaimana kita mengawal diri kita agar sentiasa menjaga akhlak dan tuturkata, tuturkekunci(istilah sendiri) terutama di media sosial. 

Allah swt sendiri telah merakamkan sendiri di dalam Al Quran bahawasanya diciptakan manusia ini, lelaki dan perempuan untuk saling mengenali. Berbuat baik sesama sendiri, bukan berbalah memperli tidak berkesudahan.

Mungkin ada beberapa tip yang boleh kita sama-sama amalkan apabila melayari media sosial untuk mendapat jiwa yang tenang. 

1. Memulakan apa-apa pekerjaan seharian termasuk buka FB dengan mengingati bahawa kita adalah hamba Allah swt. Ada malaikat kiri dan kanan yang mencatat amalan. 
2. Memulakan dengan membaca Basmallah, sekali lagi saya tekankan, kita hidup bertuhan.
3. Melapangkan dada dan jiwa, supaya setiap posting walaupun yang seakan provokasi mampu kita lalui dengan senyuman.
4. Komen bila perlu. Saya suka jika kita ambil pendekatan sepertimana yang Nabi SAW ajar.
'Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka berkatalah dengan baik ataupun diam' (HR Bukhari)
Dalam ertikata lain, kalau komen kita rasanya tidak membawa manfaat atau akan mengeruhkan keadaan, adalah lebih baik kita senyap.
Sukar, pada saya juga sukar, tapi inilah yang Nabi ajar. Tidak mungkin kita akan berkasar dengan orang yang sama tua dengan ibu ayah kita jika kita tahu kan.

Kelemahan di FB, kita tidak tahu dengan siapa kita berbicara. Maka ambillah nasihat Nabi ini.
5. Jika perlu komen, adab Islam mengatasi segala isi jiwa, bara di hati. Tulislah dengan berhemah dan berhikmah dengan perkataan yang baik.
6. Jika komen anda dibalas dengan buruk, tinggalkanlah, serahkan urusan tersebut kepada Allah swt. 
7. Akhirnya kita tahu bahawa tulisan/komen di media sosial adalah satu bentuk perhubungan tidak berperasaan walaupun ada emoji disediakan. Lebih baik kita keluar ke dunia realiti, log out sebentar dan bergaullah dengan jiran dan masyarakat sekeliling. Ia lebih baik.

Saya bukanlah orang yang terbaik dalam memberi nasihat tetapi jiwa saya berasa pilu melihatkan tandusnya akhlak dan adab dalam pergaulan kita di media sosial.

Tiada erti hormat-menghormati, sayang menyayangi apabila sesuatu isu atau perbalahan berlaku. 

Jauh lari dari apa yang Allah swt dan Nabi ajar.

...berpegang teguhlah dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah...( Ali Imran : 103)

Wallahualam.

Thursday, January 28, 2021

Hidup Sukar Jiwa Besar



Minggu lepas saya di hubungi Dr Gie dari IMedik Pusat untuk menyantuni sebuah keluarga yang memerlukan bantuan di Dungun.

Diberi kesempatan beberapa hari yang lepas untuk menyantuni Puan Timah dan anaknya En Daus yang tinggal berdekatan bersama teman Imran Hakimi.

Sepertimana keluarga yang lain, beliau sekeluarga sangat terkesan dengan pandemik yang berlaku sekarang.

Puan Timah mempunyai 7 orang anak dimana beberapa orang telah berkahwin dan mereka juga bukan orang senang.

Kini beliau tinggal bersama dengan 2 orang anak iaitu En Daus sendiri dan adiknya. Suaminya telah meninggal dunia dan meninggalkan rumah pusaka lama dari kayu untuk mereka sekeluarga.

Puan Timah, kebanyakan masa hanya berada di atas katil disebabkan penyakit saraf dan tulang yang dihadapinya, selain dari penyakit kencing manis juga darah tinggi.

Kemampuan beliau bergerak agak terbatas, sehinggakan anak beliau menebuk satu lubang  di tepi katil untuk beliau membuang hajat, beliau terpaksa mengesot untuk bergerak.

Setiap hari yang dihadapi juga bukan mudah kerana kadang-kadang mereka berkongsi rezeki yang ada atas ehsan jiran-jiran yang baik hati. Selain dari mereka juga menerima bantuan bulanan dari JKM.

Anaknya, En Daus juga mempunyai beberapa isu kesihatan dan tidak mampu berdiri lama kini sedang berusaha untuk membuka gerai burger.

Satu jam masa diluangkan dengan mereka, tidak ada yang keluar dari mulut Puan Timah melainkan alunan tazkirah bahawa ini hanyalah ujian Allah swt dan dia redha dengannya.

IMedik dan Yayasan Maghfirah telah dihubungi En Daus kerana dia memerlukan bantuan untuk ibunya itu dari sudut kelengkapan perubatan.

Ziarah yang pertama ini telah kami berikan beberapa bentuk keperluan asas. Terutama untuk menghadapi PKP selama 2 minggu tanpa ada peluang pekerjaan yang boleh dilakukan.

InsyaAllah kami akan datang lagi membantu.

Di akhir perbualan, saya menyatakan kekaguman kepada Puan Timah.

Rupa-rupanya, anaknya En Daus merupakan salah seorang ahli RelawanMuda ISMA yang sebelum ini turut sama membantu dan menyampaikan sumbangan dari Yayasan Maghfirah sendiri untuk mangsa banjir di Dungun.

Beliau tidak pernah menyatakan kesusahannya kepada kami sehinggalah saya dihubungi Dr Gie dan menziarahi rumahnya.

Benarlah janji Allah.

Intansurullaha yansurkum...
Barakallahufik wahai En Daus.
Semoga terus bersemangat menjadi Relawan dan kami juga akan terus bersemangat membantu mereka yang memerlukan.

#yayasanmaghfirah #imedik #skimiqbalkhalid
#bantuanperubatan #pkp #relawanmuda