Teringat sebuah video yang pernah tular beberapa tahun dahulu. Seorang lelaki Melayu, penunggang motosikal sedang membawa kenderaannya melalui sebuah taman di satu tempat. Tersorok di sebuah tempat dalam taman itu, sepasang pemuda-pemudi sedang hanyut dibuai perasaan. Tampak gaya bukan seperti pasangan sudah berkahwin, masih bujang tetapi kemesraannya melebihi orang yang sudah mendirikan rumah tangga.
Seingat saya, dalam video itu penunggang motosikal itu menjerit lebih kurang ayatnya begini.
"...oi, korang buat apa tu, tak malu ke, korang ni Melayu..buat pula maksiat disini(siang-siang hari)..buat malu bangsa, agama lah korang ni.."
Saya yakin, teguran tersebut merupakan hasil kesedaran dan sensitiviti yang ada pada masyarakat pada masa itu. Saya yakin lelaki itu bukanlah ada gelaran pendakwah, pencetus ummah, imam muda dan sebagainya, hanya lelaki biasa yang ada kesedaran dan sayang pada bangsanya sendiri.
Video ini tular lebih lima tahun yang lalu, pada zaman Facebook sedang naik rating penggunaannya. Lelaki ini menjalankan perkara yang ramai dari kata sukar lakukannya, iaitu Nahi Mungkar. Komponen menjadi bangsa yang hebat telah Allah nukilkan dalam Al Quran Surah Ali Imran Ayat 110.
كُنۡتُمۡ خَيۡرَ اُمَّةٍ اُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَاۡمُرُوۡنَ بِالۡمَعۡرُوۡفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ الۡمُنۡكَرِ وَتُؤۡمِنُوۡنَ بِاللّٰهِ
Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (karena kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah...
Ada antara kita yang selesa menjalankan Amar Ma'ruf tetapi mengenepikan konsep Nahi Mungkar. Sedangkan kedua ini saling melengkapi. Ditambah pula apabila kata-kata jangan dikacau tepi kain orang menyebabkan terbentuk sifat individualistik secara tidak sedar.
"...tidak mengapalah, biarlah mereka berbuat maksiat, bukan masalah aku pun.."
Disebabkan perkara ini, maka kejahilan semakin berleluasa dan mereka rasa makin selesa.
Arus Pemikiran Yang Merosakkan.
Kali pertama saya mendengar tentang Liberalisme, Sekularisme ketika berada di tingkatan 4/5 di sekolah menengah. Lebih kurang 10 tahun yang lalu. Kedengaran pertubuhan-pertubuhan seperti IFC yang menuntut pelbagai hak tidak masuk akal seperti membenarkan murtad, memberi kuasa penuh kepada anak-anak untuk memilih agama mereka sendiri dan pelbagai lagi tuntutan yang merosakkan akidah.
Bagi yang masih belum tahu, arus ini di tempah khas dari barat sejak sekian lama.
Kini dengan perkembangan pesat media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan pelbagai medium lain menyebabkan perjuangan sesat yang dicedok barat menjadi semakin popular. Ditambah pula dengan pejuang-pejuang hak asasi dan demokrasi melampau yang berlandaskan nafsu menjadi semakin popular dalam remaja dan belia kita.
Akibatnya, pegangan akidah, akhlak, sopan santun dan budaya berlandaskan Islam tidak lagi mejadi pegangan. Pasak akidah menjadi longgar dan kita semua patut risau akan perkara ini.
Sebak rasa di dada apabila melihat ciapan Twitter yang dikongsi di Facebook pada raya haji tahun ini melihatkan beberapa orang Melayu berpikiran liberal agaknya, mempermainkan ibadah haji dengan menawarkan untuk menjadi cosplay Nabi Ibrahim dan Isa, Jibril dan sebagainya.
Bagi golongan liberal di barat, mempermainkan agama mereka adalah biasa. Adakah kita mahu mengikut jejak langkah mereka juga?
Kita lihat apa yang telah di khabarkan oleh Rasulullah saw 1400 tahun dahulu.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sungguh, kalian benar-benar akan mengikuti kebiasaan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun kalian pasti akan mengikuti mereka.” Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?”
(HR Muslim)
Jahil Berleluasa Maksiat Biasa
Arus yang dibawa oleh barat ini cukup hebat dan telah meresapi bukan sahaja pemikiran tetapi juga jiwa anak muda di Malaysia. Ia adalah arus atau gelombang kuat yang sukar untuk ditapis oleh masyarakat kita di Malaysia.
Hal ini kerana perkhidmatan internet hanya di hujung jari sahaja. Ibu bapa harus sedar, masalah akidah dan akhlak adalah cabaran besar yang mereka harus hadapi jika tidak mahu anak-anak mereka menjadi mangsa liberalisme, humanisme, hak asasi manusia dan sebagainya.
Jika trend ini berterusan. Jangan terkejut jika 10 tahun lagi, anak anda membawa pasangan di rumah dan bermaksiat di depan mata, atas alasan ini adalah hak asasinya. Jangan terkejut jika maksiat tidak lagi dilakukan secara sembunyi-sembunyi malah di siang hari.
Didiklah anak anda mengikut acuan Islam dan norma budaya ketimuran walaupun nampak asing dimata orang lain pada zaman ini. Kenapa ia kelihatan asing, janggal atau apa sahaja istilah yang sesuai? Kerana masalah pemikiran yang merosakkan ini terlalu berleluasa. Sehingga bila dididik anak dengan acuan Islam pun akan dipandang serong.
Walaupun begitu, saya berpendapat di Malaysia, kesedaran dan sensitiviti agama orang Melayu majoritinya masih tinggi. Tetapi arus pemikiran songsang yang sedang menjalar juga amat membimbangkan.
Saya risau, yang kita nampak adalah hanya permukaan bongkah ais, tetapi sebaliknya, di lautan yang dalam tersimpan pelbagai masalah yang belum lagi timbul di permukaan. Anda pergilah ke dunia Twitter dan anda akan lihat perkara yang saya maksudkan.
Jangan dibiarkan kejahilan berleluasa, maka maksiat akan menjadi biasa.
Jadilah seperti lelaki Melayu diatas, penunggang motosikal yang tidak dikenali, menegur hanya kerana beliau sayangkan bangsanya, agamanya. Sebagai penutup, saya mengajak kita semua mengamalkan pesanan Rasulullah saw dalam hadis berikut.
"Barangsiapa antara kamu menjumpai kemungkaran, maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, apabila tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan jika masih belum mampu hendaklah ia mencegah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman."
(HR Muslim)
Jaga sahaja tepi kain orang, tapi jangan sampai mengaibkan.
(HR Muslim)
Jaga sahaja tepi kain orang, tapi jangan sampai mengaibkan.
Wallahua'lam.