Thursday, January 28, 2021

Hidup Sukar Jiwa Besar



Minggu lepas saya di hubungi Dr Gie dari IMedik Pusat untuk menyantuni sebuah keluarga yang memerlukan bantuan di Dungun.

Diberi kesempatan beberapa hari yang lepas untuk menyantuni Puan Timah dan anaknya En Daus yang tinggal berdekatan bersama teman Imran Hakimi.

Sepertimana keluarga yang lain, beliau sekeluarga sangat terkesan dengan pandemik yang berlaku sekarang.

Puan Timah mempunyai 7 orang anak dimana beberapa orang telah berkahwin dan mereka juga bukan orang senang.

Kini beliau tinggal bersama dengan 2 orang anak iaitu En Daus sendiri dan adiknya. Suaminya telah meninggal dunia dan meninggalkan rumah pusaka lama dari kayu untuk mereka sekeluarga.

Puan Timah, kebanyakan masa hanya berada di atas katil disebabkan penyakit saraf dan tulang yang dihadapinya, selain dari penyakit kencing manis juga darah tinggi.

Kemampuan beliau bergerak agak terbatas, sehinggakan anak beliau menebuk satu lubang  di tepi katil untuk beliau membuang hajat, beliau terpaksa mengesot untuk bergerak.

Setiap hari yang dihadapi juga bukan mudah kerana kadang-kadang mereka berkongsi rezeki yang ada atas ehsan jiran-jiran yang baik hati. Selain dari mereka juga menerima bantuan bulanan dari JKM.

Anaknya, En Daus juga mempunyai beberapa isu kesihatan dan tidak mampu berdiri lama kini sedang berusaha untuk membuka gerai burger.

Satu jam masa diluangkan dengan mereka, tidak ada yang keluar dari mulut Puan Timah melainkan alunan tazkirah bahawa ini hanyalah ujian Allah swt dan dia redha dengannya.

IMedik dan Yayasan Maghfirah telah dihubungi En Daus kerana dia memerlukan bantuan untuk ibunya itu dari sudut kelengkapan perubatan.

Ziarah yang pertama ini telah kami berikan beberapa bentuk keperluan asas. Terutama untuk menghadapi PKP selama 2 minggu tanpa ada peluang pekerjaan yang boleh dilakukan.

InsyaAllah kami akan datang lagi membantu.

Di akhir perbualan, saya menyatakan kekaguman kepada Puan Timah.

Rupa-rupanya, anaknya En Daus merupakan salah seorang ahli RelawanMuda ISMA yang sebelum ini turut sama membantu dan menyampaikan sumbangan dari Yayasan Maghfirah sendiri untuk mangsa banjir di Dungun.

Beliau tidak pernah menyatakan kesusahannya kepada kami sehinggalah saya dihubungi Dr Gie dan menziarahi rumahnya.

Benarlah janji Allah.

Intansurullaha yansurkum...
Barakallahufik wahai En Daus.
Semoga terus bersemangat menjadi Relawan dan kami juga akan terus bersemangat membantu mereka yang memerlukan.

#yayasanmaghfirah #imedik #skimiqbalkhalid
#bantuanperubatan #pkp #relawanmuda