Sunday, June 21, 2015

DIari Ramadhan 1436H "MINYAK" "IMAN" "TAQWA"

Segala puji bagi Allah, tuhan yang telah mengurniakan kepada kita nikmat yang cukup berharga sebagai bekalan dan gunaan dalam sepanjang hidup di dunia. Nikmat Iman dan Islam yang cukup bernilai di akhir zaman ini dan ditambah pula kepada kita umur yang cukup panjang untuk menghirup udara Ramadhan 1436H.

Beberapa perkara yang terlintas dalam fikiran penulis sejak beberapa hari bermulanya bulan mulia ini. Bulan ini boleh diibaratkan festival yang dikurniakan Allah untuk kita mengutip sebanyak mungkin pahala dan mengejar keampunan dan mencapai derajat ketaqwaan yang tinggi.

Firman Allah swt

A183
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa



Orang yang beriman mempunyai jiwa yang sensitif. Sepertimana sensitifnya lapisan kulit terhadap sentuhan yang diberikan. Segala kejadian dan peristiwa yang berlaku di sekelilingnya pasti akan diambil pengajaran dan dijadikan muhasabah kepada diri sendiri dan disemat dalam jiwa sebaiknya sebagai panduan di hari yang mendatang.

Kita lihat banyak peristiwa samada sebelum dan semasa ramadhan yang berlaku pada tahun ini. Satu demi satu peristiwa dan rahsia Allah telah terungkap lalu menunjukkan betapa parahnya keadaan umat Islam sekarang di seluruh dunia dan tidak ketinggalan di Malaysia. 

Jiwa umat Muhammad masa ini cukup rosak. Ditelan nilai-nilai jahiliyyah yang tidak mengenal erti penat dan berterusan menodai jiwa dan jasad  secara tersusun dan terancang. Proses dalam melunturkan akidah umat Islam dijalankan musuh islam dan boleh kita katakan mereka berjaya melakukannya.

Kita lihat apa kata Khalifah Umar B Abd Aziz apabila melihat umat dibawah pimpinannya ditelan nikmat keduniaan dan kemewahan dunia pada satu ketika dahulu.

" Sesungguhnya aku sedang merawat satu urusan yang tidak seorang pun dapat menolongnya kecuali Allah. Sesungguhnya di atasnya telah mati orang tua, orang yang kecil telah membesar, orang ajam telah mahir berbahasa Arab dan Arab Badwi telah berhijrah sehingga mereka memandang sesuatu yang bukan agama sebagai agama. Mereka tidak melihat kebenaran selain dari itu."

Bagaimana pula dengan jiwa kita sebagai seorang beriman? Adakah kita mengambil pelajaran dari bala dan bencana yang menimpa umat Islam ketika ini? Apakah yang sedang berlaku?

Saya yakin, ramai antara kita mempunyai sebuah kereta. Mahupun tidak memilikinya pasti semua yang hidup di zaman ini tahu apa itu kenderaan yang mempunyai 4 tayar, pintu dan ciri-ciri lainnya.
Dan ramai yang tahu kereta memerlukan minyak untuk bergerak dan menjalankan fungsinya.

Itu analogi yang boleh saya berikan untuk dikaitkan kepada kita sebagai manusia. Jika minyak menggerakkan kereta dan tanpanya kereta tersebut hanya tersadai di tepi jalan tanpa dapat menjalankan fungsinya, maka 'minyak' bagi seorang hamba dalam memenuhi fungsinya di dunia adalah iman.

Tanpa iman manusia tidak mahu menjadi hamba kepada Tuhan sekalian alam. Malah suka menjadikan benda ciptaanNya pula sebagai tujuan. Malah ditambah pula manusia di zaman ini gemar menjadikan pemikiran-pemikiran songsang sebagai panduan. Agama Islam disalah ertikan. Muzik dan hiburan menjadi ikutan, gejala seks bebas menjadi keseronokan. Semua berubah menjadi tuhan.

Maka saya bertanya kepada diri saya dan pembaca. Dimana Iman?

Apabila menelusuri sirah ar Rasul. Betapa kita insafi usaha gigih Rasulullah saw dalam membina iman para sahabat selama 13 tahun di Mekah. Keluarnya mereka dari Madrasah Al Arqam B Abi Arqam itu menjadi titik tolak tersebarnya kebahagiaan dan keadilan ke seluruh dunia. Mereka mampu melakukan ini kerana adanya iman yang kukuh dan utuh kepada Allah Azza wa jal.

Adakah lagi pemuda masa ini yang mampu mencapai derajat ketaqwaan sepertimana mereka? Yang akhirnya mampu menjadi pembuka jalan kemenangan sepertimana mereka?

Saya cabar diri saya dan anda semua. Bermula dari ramadhan ini. Akhir sekali sedikit pesanan untuk kita amati.

Wahai hamba kepada dunia, insaflah diri, kejarlah taqwa dan redha. Ingatlah function kita di dunia. Allah mengingatkan kita sepertimana firmanNya dalam ayat dibawah. 


A030
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya"


Ramadhan Kareem.