Saya yakin rata-rata netizen mengambil tahu insiden baru-baru ini yang ditularkan di media sosial. Kemalangan maut yang mengorbankan nyawa seorang pemuda, seorang tentera laut yang dilanggar seorang wanita yang memandu laju dan cuai. Ia juga mengakibatkan kecederaan kepada seorang warga emas dan pemandu wanita tersebut.
Takziah diucapkan kepada ahli keluarga yang terlibat dan semoga diberi ketabahan dan kekuatan dalam menjalani dugaan yang berat ini.
Ujian yang dijalankan terhadap pemandu wanita itu didapati dirinya positif dadah dan kemungkinan besar dia memandu dalam keadaan khayal dan mabuk. Hal ini boleh menjadi punca kepada pemanduan secara melulu dan cuai sehingga terkorban nyawa seseorang yang tidak bersalah.
Ketagihan Bahan
Bila berbicara tentang ketagihan bahan, ia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, samada ia adalah substan(dadah, alkohol, rokok) ataupun bukan substan(internet, permainan video dsbgnya). Ada antara substan itu pula yang dibenarkan oleh undang-undang dan ada yang tidak dibenarkan.
Substan yang tidak dibenarkan seperti dadah jenis ganja, opiod, amphetamine atau methamphetamine yang diberikan nama dan gelaran pelbagai dan diketahui oleh mereka yang terlibat dalam dunia dadah.
Substan yang dibenarkan pula seperti alkohol dan rokok dimana penjualannya kadang-kadang terlalu bebas sehingga boleh didapati di kedai-kedai runcit di kawasan perumahan. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja untuk tujuan pembelian dan konsumsi.
Bahan-bahan ini selalu diambil atas beberapa sebab seperti ajakan rakan, ataupun mereka yang ingin melarikan diri sebentar dari masalah kehidupan, ataupun disebabkan isu-isu sosial yang menjadi norma biasa kehidupan.
Pengambilan berterusan menjadikan ketagihan dan akhirnya menyebabkan keterikatan kepada bahan-bahan tersebut dan seseorang menjadi tidak keruan jika tidak dapat menelan bahan-bahan tersebut.
Kita semua tahu secara umum, bahan-bahan ini pasti memberikan kesan buruk, samada kepada kesihatan diri malah dalam kes ini, sekali lagi ketagihan menyebabkan kematian.
Stigma Bangsa
Malaysia merupakan sebuah negara istimewa, di dalamnya terdapat pelbagai bangsa dengan pelbagai karakter. Tetapi kadang-kadang kita memandang sesuatu bangsa dengan stigma negatif yang tertentu.
Stigma ini patut kita hapuskan dalam diri kita, tidak kira warna kulit atau sesiapa. Sebagai contoh.
Orang Melayu selalu dikaitkan dengan dadah, rempit, pusat serenti.
Orang Cina selalu dikaitkan dengan judi.
Orang India selalu dikaitkan dengan kaki botol.
Dan pelbagai contoh stigma negatif yang merosakkan hubungan kaum sesama kita.
Percayalah, ketagihan tidak mengenal bangsa. Samada dadah, arak, alkohol, rokok, ia melibatkan semua bangsa. Dan semua bangsa di Malaysia ini adalah orang kita, bangsa Malaysia.
Buang semua persepsi atau stigma negatif dan kita jadi bangsa Malaysia yang sayang sesama kita tidak kira kaum. Ini yang sepatutnya berlaku, bukan mengecam sesuatu kaum apabila berlaku sesuatu perkara yang menjurus kepada stigma tersebut.
Yang salah adalah pengambilan bahan atau bahan tersebut, bukan warna kulit.
Bantuan Ketagihan
Saya memuji tindakan yang diambil Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK) yang mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) dalam membantu rakyat Malaysia dalam menangani isu ketagihan.
Sebelum ini kita telah menawarkan bantuan ketagihan dengan membuka Klinik Methadone bagi merawat ketagihan kepada beberapa jenis substan. Untuk rekod, ramai yang berjaya pulih dari ketagihan bahan-bahan terlarang ini.
Kini AADK dan KKM mengambil satu langkah kedepan dengan menawarkan perkhidmatan One Stop Center For Addiction(OSCA) yang menawarkan perkhidmatan ketagihan kepada hampir semua jenis ketagihan Substan dan Bukan Substan.
Bantuan dari sudut perubatan dan kaunseling ditawarkan, malah program-program Outreach juga dijalankan dengan niat membebaskan rakyat Malaysia dari ketagihan. Ia boleh didapati di beberapa Klinik Kesihatan Kerajaan di setiap negeri.
Bantuan Masyarakat
Usahasama ini tidak akan berjaya jika tiada kerjasama dari akar umbi masyarakat. Kita memerlukan bantuan dan keprihatinan masyarakat dalam usaha menyelesaikan masalah ketagihan dadah, alkohol, rokok dan lain-lain yang memberi kesan besar kepada ekonomi keluarga, sosial dan kesihatan.
Sebagai masyarakat, elakkan meletak stigma dan lebih baik adalah dengan membantu agensi penguatkuasaan dan kementerian kesihatan dalam mempromosi bantuan ketagihan kepada yang memerlukan.
Saya memuji tindakan-tindakan badan-badan bukan kerajaan yang berusaha memberi promosi dan menekan pembuat polisi dalam isu-isu seperti penjualan arak, yang membantu promosi dalam mengekang ketagihan dadah, yang membantu menyelesaikan isu sosial dalam masyarakat dan sebagainya.
Islam Ajar
Islam mengajar umatnya dari meletakkan diri dari kebinasaan. Allah swt berfirman:
"Jangan campakkan diri kamu dalam kebinasaan.." (Al Baqarah : 195)
"Jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat kasih kepada kamu"(AnNisa : 29)
Islam mengajar kita mencegah lebih baik dari mengubati. Jika dizaman wabak ini kita elakkan diri kita dari terkena wabak dengan cara memakai pelitup muka, penjarakan sosial, keluar bila perlu, elak ke kawasan wabak adalah semata-mata untuk mencegah diri dari terkena virus.
Begitulah juga dadah, alkohol, rokok yang diketahui kesan buruknya wajib dielakkan samada dengan medium pendidikan dan nasihat, mahupun penegasan undang-undang.
Mari kita sama-sama menginsafi peringatan yang diberikan Allah swt sejak 1400 tahun dahulu yang mana ia masih dan akan kekal relevan sehingga hari kiamat.
Semoga masalah ketagihan ini dapat dirawat dan tidak ada lagi yang menjadi mangsa disebabkan perkara ini. Kita sudah serik dengan banyak kemalangan pada tahun ini disebabkan dadah dan alkohol, cukup-cukuplah.
Wallahualam.
Dr Indra Putra Bin Asrar
Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia
(I-Medik) cawangan Dungun.