Connecting People.
Saya yakin hampir semua yang ada akaun media sosial ini mengetahuinya. Aplikasi yang masih popular digunakan sehingga ke hari ini. Termasuk aplkasi lain yang popular adalah Twitter, Instagram, We Chat dan sebagainya.
Kita pernah diperkenalkan dengan aplikasi yang hampir serupa tujuannya dahulu, iaitu myspace dan friendster malahan juga yahoo messenger jika kita ingat.
Berfokus kepada medium FB. Tema yang diguna pakai benar-benar direalisasikan dimana kita dapat menjalinkan hubungan silaturahim dengan rakan-rakan, saudara-mara, dan kenalan yang baru.
Walaupun hubungan tersebut secara maya. Banyak kemaskini kenalan yang dapat kita tahu.
Ia benar-benar memperhubungkan kita. Akan tetapi, sedar atau tidak, hingga kini setelah bertahun menjadi aplikasi popular saya dapati beberapa sudut di FB, letusan-letusan pergaduhan sesama kita kerap juga berlaku.
Pergaduhan mulut(menaip) akhirnya membawa kepada renggangnya perhubungan sesama manusia, salah faham, lahirnya sikap tidak menghormati yang tua, hilangnya sikap menyayangi yang muda.
Satu kelemahan yang kita semua sebenarnya tahu, kita tidak tahu dengan siapa kita lontarkan komen, umurnya, statusnya, dan akhirnya melalui satu-satu komen itu, ia menjadi medan perbalahan sesama kita.
Boleh jadi yang melontarkan komen adalah setaraf ibu bapa kita umurnya, ataupun yang memberikan komen adalah setaraf anak-anak kita. Bila kita tidak berhati-hati pelbagai perkataan tidak enak didengari.
Adakah di dunia nyata, samada tua atau muda, anda akan bersikap kasar dengan ucapan anda?
Bagi saya tidak ada beza dalam sudut hormat-menghormati, sayang menyayangi samada di dunia maya atau nyata. Jika anda membezakan kedua dunia ini maka ada masalah hati yang perlu kita sama-sama muhasabah.
Kenapa? Supaya jiwa kita akan kekal tenang pabila berada di laman sosial. Saya yakin Nabi Muhammas SAW, pasti sedih jika melihat umatnya berantakan disebabkan perselisihan pendapat.
Berselisih pendapat perkara biasa, cuma bagaimana kita mengawal diri kita agar sentiasa menjaga akhlak dan tuturkata, tuturkekunci(istilah sendiri) terutama di media sosial.
Allah swt sendiri telah merakamkan sendiri di dalam Al Quran bahawasanya diciptakan manusia ini, lelaki dan perempuan untuk saling mengenali. Berbuat baik sesama sendiri, bukan berbalah memperli tidak berkesudahan.
Mungkin ada beberapa tip yang boleh kita sama-sama amalkan apabila melayari media sosial untuk mendapat jiwa yang tenang.
1. Memulakan apa-apa pekerjaan seharian termasuk buka FB dengan mengingati bahawa kita adalah hamba Allah swt. Ada malaikat kiri dan kanan yang mencatat amalan.
2. Memulakan dengan membaca Basmallah, sekali lagi saya tekankan, kita hidup bertuhan.
3. Melapangkan dada dan jiwa, supaya setiap posting walaupun yang seakan provokasi mampu kita lalui dengan senyuman.
4. Komen bila perlu. Saya suka jika kita ambil pendekatan sepertimana yang Nabi SAW ajar.
'Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka berkatalah dengan baik ataupun diam' (HR Bukhari)
Dalam ertikata lain, kalau komen kita rasanya tidak membawa manfaat atau akan mengeruhkan keadaan, adalah lebih baik kita senyap.
Sukar, pada saya juga sukar, tapi inilah yang Nabi ajar. Tidak mungkin kita akan berkasar dengan orang yang sama tua dengan ibu ayah kita jika kita tahu kan.
Kelemahan di FB, kita tidak tahu dengan siapa kita berbicara. Maka ambillah nasihat Nabi ini.
5. Jika perlu komen, adab Islam mengatasi segala isi jiwa, bara di hati. Tulislah dengan berhemah dan berhikmah dengan perkataan yang baik.
6. Jika komen anda dibalas dengan buruk, tinggalkanlah, serahkan urusan tersebut kepada Allah swt.
7. Akhirnya kita tahu bahawa tulisan/komen di media sosial adalah satu bentuk perhubungan tidak berperasaan walaupun ada emoji disediakan. Lebih baik kita keluar ke dunia realiti, log out sebentar dan bergaullah dengan jiran dan masyarakat sekeliling. Ia lebih baik.
Saya bukanlah orang yang terbaik dalam memberi nasihat tetapi jiwa saya berasa pilu melihatkan tandusnya akhlak dan adab dalam pergaulan kita di media sosial.
Tiada erti hormat-menghormati, sayang menyayangi apabila sesuatu isu atau perbalahan berlaku.
Jauh lari dari apa yang Allah swt dan Nabi ajar.
...berpegang teguhlah dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah...( Ali Imran : 103)
Wallahualam.