Pagi subuh hari keempat minggu peperiksaan, aku menguatkan diri dari nafsu tidur yang cuba menguasai diri. Melihat ahli rumah yang syahid di atas katil. Mungkin bermimpikan perkara-perkara indah sedang melayani diri mereka. Perasaan cemburu untuk bersama-sama dengan mereka meninggi, namun kehendak nafsu ditahan demi peperiksaan yang bakal berlangsung beberapa hari lagi.
Aku terkejut dan tersedak apabila aku mendengar bunyi seakan guruh melintas di langit kelam di waktu pagi. Aku bergegas keluar ke beranda rumah apabila aku melihat beberapa buah pesawat pejuang melintasi ruang udara Iskandariah. Perasaan teruja hinggap dihati kerana jarang untuk melihat pesawat pejuang milik tentera Mesir melintasi langit lagi-lagi di waktu pagi. Aku kembali masuk kedalam rumah dan mengambil semula posisi untuk belajar. Kedengaran pintu bilik dikuak dan Ashkur yang nyenyak tidur dibangunkan dengan bunyi pesawat tadi. ' Bunyi apa tadi oh? ' Ashkur bertanya sambil menggeliat. ' Takde ape, pesawat pejuang lalu tadi, terbang tinggi di angkasa raya, haha ' aku menjawab dengan nada berlawak. ' Oh, ciss aku nak sambung tidur balikla, terkejut aku tadi, kuat betul bunyi die '. Ashkur masuk semula kedalam bilik.
'Ceh ingatkan nak bangun stadi terus, sambung balik rupanya' aku berkata padanya. Buku ophtal masih berada dihadapanku, menanti untuk ditelaah lagi. Aku hanya memandang, kemudian tergerak pula hati untuk update isu-isu semasa di FB. Laptop dihadapan dibuka, lantas aku menaip emel dan katakunci di laman sesawang tersebut. Mulalah tetikus beraksi untuk scroll apa yang ada pada dunia sekarang ini. Sedang sibuk menatap, mataku terhenti diserangkap status dalam sebuah group di FB
' Egyption Special Force - the Egyptian military is now engaging with Israel military forces, few MIRAGE are seen flying thru the sky, departed to engage Israel Royal Air Force.'
'Allah, bila benda ni, sekarang ke? yang pesawat baru lintas tadi?'.Peluh sejuk mengalir di wajah lalu aku berlari anak ke bilik mencari telefon bimbit. Satu nombor dicari dan dihubungi. ' Assalamualaikum wan, enta tengok tak status ESF kat FB? kalau belum gi tengok cepat. Mesir kena serang ke? ' aku bertanya kepada yang pakar. ' Lah enta baru tahu ke?, ana dengan housemate dah siap kemas dah ni, pegawai kedutaan dah minta semua berkumpul dekat Hostel MARA' balas Syazwan. Aku yang mendengar berita ini terus berdebar, jantung berdegup kencang, adrenalin terasa seperti mengalir dalam badan dengan kadar yang tinggi Tiba-tiba situasi tenang sebentar tadi menjadi cemas, aku cuba lihat jiran arab disekeliling, sudah ketinggalan rupanya, mereka juga sedang bersiap untuk keluar dari rumah. Masakan tidak, rumah di Mesir ini tiada yang single, kebanyakannya adalah rumah flat. Jika dibom alamatnya tidak berjumpalah esok hari.
Kawan-kawan serumah cuba untuk aku bangunkan dari mimpi mereka. Aku cuba menerangkan keadaan yang berlaku sekarang. Serabut kepalaku, dalam keadaan ini mula aku memikirkan keluargaku di tanah air. Mula memikirkan bagaimana untuk ke hostel dengan segera. Memikirkan apa yang patut aku lakukan sekarang ini. Barang-barang penting siap dikemas, tombol pintu rumah dipegang apabila mataku terasa silau disebelah kiri lalu ku menoleh ke arah luar berada. Sebuah cahaya silau datang dari luar rumah, aku berdiri kaku dan hanya memandangnya sahaja. Dalam fikiran, inilah akhirnya dan satu perkataan terpacul dari mulutku. 'Allah................' Lalu mataku pejam..........
......................................................
Drrr....
(Bunyi batu-batuan pecah jatuh ketanah)
Suasana sekitar sunyi dan kelam, batu-batuan yang saling menghimpit sedikit sebanyak menghalang sinar mentari. Terdengar juga titisan-titisan air mengalir dicelah batuan yang pecah itu. Aku memegang kepala yang kesakitan. Fikiran menjadi kabur dan kelam, sekabur pandangan mata memandang kegelapan yang berada dihadapan. 'Erghh, apa yang jadi ni' aku bermonolog sambil mengumpul kekuatan untuk duduk dari pembaringan. Cebisan-cebisan memori cuba aku kumpulkan dalam fikiran. 'Ya Allah!! aku ingat, cahaya itu!' Perkara terakhir yang aku ingat adalah cahaya putih yang menyinari suasana pada ketika itu, diiringi pula dengan dentuman ibarat guruh yang berkali ganda kuatnya. Kemudian aku tidak pasti apa yang berlaku dan aku berada disini setelah itu.
Aku memandang kesekeliling. 'Eh, mana Ashkur, mana Asad' pandangan kukalih kiri dan kanan. Tidak ada sesiapa disekeliling melainkan hanya batuan runtuh. 'Ya Allah, aku terselamat. Alhamdulillah ya Allah.'. Disebalik kesyukuranku itu terselit kerisauan, dimana ahli rumahku yang lain. Hidup lagikah mereka? Aku cuba merangkak perlahan. 'Argh, sakit' suara meninggi sambil memegang kaki kiri yang kelihatannya cedera. Cecair merah mengalir perlahan pada buku lali. Kesakitan ditahan sambil aku merangkak perlahan dibawah timbunan runtuhan. 'Ashkur!! Asad!! mana korang?' aku menjerit memanggil sahabat serumah. Berulang kali dipanggil namun hanya hampa yang mendatang. Tidak ada jawapan kepada panggilanku ini.
Aku duduk bersandar di tepi dinding yang nampaknya masih kukuh walau hampir 50 peratus darinya hancur berkecai. Pandanganku terarah ke batuan runtuh berlapisan yang berada dihadapan. Aku menanti sebuah harapan, agar dia hadir pada ketika ini. Harapan agar sahabat-sahabatku selamat, harapan agar aku sendiri diselamatkan. Aku beristigfar beberapa kali sambil memikirkan apa yang perlu dilakukan. Aku terperangkap di dalam runtuhan bangunan yang mustahil bagiku untuk keluar darinya bersendirian.
Nampaknya peperangan telah bermula, serangan demi serangan oleh Israel terhadap Palestin pada minggu lepas akhirnya mencetuskan perbalahan diantara Israel dan negara arab disekitarnya terutama Mesir. Aku tidak menyangka peperangan ini akan meletus pada saat ini. Nampaknya tindakan pihak Mesir dalam memberi bantuan kepada Palestin mencetuskan perbalahan diantara mereka. Satu hembusan nafas kekesalan dilepaskan. ' ahh, kenapa berlaku sekarang, aku tak habis belajar lagi kot'. Aku mengeluh. Bayangan ibu dan ayah pula menjelma difikiran, adik-adik yang berada di Malaysia. Bagaimana pula keadaan mereka.
Tiba-tiba aku rasakan gegaran dalam poket seluar yang menghasilkan kerlipan cahaya. 'eh handset masih hidup, ada orang telefon'. Tangan dimasukkan kedalam poket dan mencapainya. Tertera pada skrin handset nama yang aku kenal. ' Assalamualaikum, helo. Wan!!! ' aku memulakan perbualan. ' Mukhlis kau ok tak? kau ada kat mana sekarang?'. Air mataku mengalir, Ya Allah masih ada harapan.
Sekali lagi gegaran dirasa, tapi kali ini bukan gegaran biasa. Bumi bergetar, tanah yang dipijak terasa gegarannya. Aku dapat mendengar beberapa bunyi letupan tidak jauh dari tempat aku berada. ' Wan, ada bunyi bom wan, tolong ana wan.......' , ibarat jatuh ditimpa tangga, talian pula terputus. Bunyi letupan semakin mendekati, Ya Allah, dariMu aku datang dan kepadaMu aku kembali. Kalam terakhir sebelum letupan kedengaran hanya beberapa meter ditempat aku berada.
.......................................................................
20/11/2012-2.00 pm-Malaysia
Bangunan MARA di Kuala Lumpur penuh sesak. Tangisan dan rayuan si ibu kedengaran di seluruh pelusuk bangunan. Orang ramai berpusu-pusu masuk melalui pintu hadapan bangunan. Petugas-petugas MARA yang berada disitu terpaksa beralih tugas menjadi pengawal lalu lintas bagi membolehkan ibu bapa melihat senarai nama anak-anak mereka di Mesir yang terkorban dalam serangan Israel terhadap ibu dunia itu. Senarai nama yang ditampal di beberapa tempat dalam bangunan itu menunjukkan beberapa orang pelajar yang tersenarai nama mereka sebagai yang terkorban. Perasaan sedih dan pilu, diiringi dengan tangisan dan kerisauan ibubapa menyelubungi kawasan tersebut.
Di tempat meletak kenderaan di luar bangunan. Kelihatan seorang penunggang dan pembonceng motosikal Yamaha D100 bewarna merah sedang mencari ruang untuk meletakkan motorsikal. ' Bang cepat sikit bang, anak kita macam mana..' si isteri mencuit bahu suaminya. ' Awak ni sabarla, ingat saya tak risau ke..' si suami meninjau disekeliling kawasan bangunan, sekiranya ada. ' Tu bang, depan tu ada tempat kosong..' si isteri mengarahkan jari telunjuknya ke sebuah penjuru dihujung bangunan. Motor merah yang sudah melebihi 1 abad dibawanya kesana.
Pintu hadapan bangunan MARA masih lagi sesak, tangisan demi tangisan kedengaran membuatkan si isteri susah hati. Dua orang pegawai yang berada di pintu masuk setia menanti dan berdiri bagi memberi panduan kepada ibu bapa yang datang. Ada diantara mereka yang datang dari utara, malah tidak kurang ramainya yang meredah jalanraya jauh dari pantai timur Malaysia. ' Anna!!! sini!!! ' si isteri mencari punca suara yang memanggil namanya. Dia menoleh kearah meja pertanyaan yang berada beberapa meter dari tempat mereka suami isteri berdiri. ' Oh, Atun, macam mana Atun, anak aku, anak kau macam mana? ' Puan Anna bertanya dalam nada kerisauan yang mendalam. ' Aku dah cek, Alhadulillah anak aku selamat, baru je dapat mesej dari dia tadi. Kau baru sampai ke?' giliran Puan Atun pula bertanya. ' ha'ah aku baru sampai ni, anak aku macam mana Atun. Kau ada nampak nama anak aku? ' . Puan Atun hanya menggeleng. Jawapan yang mengecewakan Puan Anna. ' Sabarlah Mai, jom kita pergi tengok senarai disana tu' ajak suaminya.
Dalam kesibukan Puan Anna dan suami dalam mencari nama anak mereka, pegawai datang dan menampal senarai nama yang baru sahaja dikeluarkan. Pejabat MARA di Mesir melaporkan masih ramai lagi pelajar Malaysia di Iskandariah yang tidak ditemui. Senarai nama mangsa yang tidak ditemui ditampal. Puan Anna mencari. ' Mana nama Mukhlis ni bang '. Matanya mengekori jari telunjuknya diatas kertas putih yang penuh berisi nama-nama, dan jarinya terhenti ditengah-tengah helaian kertas itu. Merasakan suasana sekeliling menjadi dingin, badan terketar dan kadangkala kaku. Airmata mengisi kelopaknya, perasaan lembut seorang ibu mana mungkin dapat ditahan. Nama Mukhlis Shah terpahat sebagai mangsa kehilangan.
' Bang, kita tunggu disini ya bang, Anna taknak balik, Anna nak tunggu. ' suara Puan Anna sayu memujuk suaminya untuk bersama. Si suami memimpin isterinya ke tempat duduk yang disediakan. Ramai ibubapa yang setia menunggu. Menanti khabar gembira akan keadaan anak mereka disana. Jauh sekali mereka menunggu hanya untuk mengutip mayat tidak beryawa. Puan Anna dan suami menanti sehingga ada khabar sampai kepada mereka nanti.
...........................................................
' Uhuk...uhuk uhuk.....'
Debu berterbangan di ruang udara menyebabkan kesukaran untuk aku bernafas. Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan umurku di dunia ini. Letupan tadi benar-benar meletakkan aku dalam keadaan berserah kepada Allah. Samada Dia mahu mengambil nyawa ini, terserah padaNya. Mungkin ada sebab dan hikmah aku masih lagi bernafas diruang bumi ini. Kali ini aku cuba mengumpul seluruh kekuatan yang aku ada untuk berdiri. Kesan dari letupan tadi menyebabkan terbukanya sebuah jalan keluar untukku. Cahaya matahari bersinar menerangi tempat aku berada. Aku ternampak sinar harapan dihadapan. Langkah ku mula dengan perlahan menuju jalan keluar.
Sang mentari tegak berdiri di atas kepala, tengahari telahpun meyapa. Ku lihat kehadapan, tiada yang kulihat melainkan robohnya bangunan. Aku lihat anak kecil menangis, berjalan sambil mencari ibunya. ' Ummi, ummi, feen enti ya ummi ' katanya dalam tangisan. Wajah anak kecil itu diselaputi debu, lalu ke bergerak perlahan kearahnya dalam keadaan kesakitan. Kaki yang sakit belum terubat, tetapi aku yakin hati kanak-kanak ini lebih menderita dari kesakitan kakiku ini. ' Ta3ala yabni, la takhof, ana ashabuk ' wajahnya aku gilap dengan tangan. Aku bertanya apa yang dicarinya, lantas aku memujuknya untuk jalan bersama. Dia mengikutiku.
Disekeliling aku nampak cebisan-cebisan mayat bertaburan dibawah runtuhan. Rasa mual dan ingin sekali aku memuntahkan isi perut melihat keadaan ini. Aku berhenti dan berfikir, aku harus lakukan sesuatu. Lantas aku mengambil keputusan untuk mencari Ashkur dan Asad. Anak kecil tadi ku genggam erat tangannya. Tangisannya terhenti. ' Enta qawi ya akhi, Innallaha yuhibbu Insan qawi syaklak ' aku berkata kepada anak kecil tadi dalam usaha untuk memberinya semangat dan kekuatan di atas apa yang dilalui. Jujurnya aku juga memerlukan support, aku juga memerlukan seseorang untuk memberi semangat. Aku tidaklah sekuat yang disangka. Tapi aku harus tabah. Maka aku serahkan semua pada yang Esa.
' Ashkuuuuuuuuuur!!! Asaaaaaaaaaaad!!! ' berkali-kali aku berteriak memanggil nama mereka. Panggilan berterusan yang disertai kehampaan. Tidak ada jawapan, tidak kedengaran insan lain yang masih hidup
memberikan jawapan. Aku cuba mencari mereka ditempat aku berada, tidak ada kelibat mereka. Malah aku tidak menjumpai tubuh mereka. ' Ya Allah seandainya mereka masih hidup, bantulah mereka ya Allah. ' Aku berjalan perlahan disisi runtuhan. Setelah hampir satu jam mencari aku hampa. Nampaknya aku harus ke hostel MARA.
Dalam masa aku berfikir untuk kesana, terlintas pula dalam ingatan akan handphone yang tertinggal dalam bangunan runtuh tadi. Aku bergegas kesana dan mencarinya. Debu yang bertebaran telah menutup pandangan, ditambah pula dengan batuan kecil yang terhasil dari letupan tadi menyukarkan aku untuk mencari. Batuan itu aku ketepikan, Alhamdulillah, handphone kecil ini masih elok rupa parasnya. Lantas aku keluar dari kawasan runtuhan menuju ketanah yang lebih lapang. Kira-kira 50 meter dari tempat aku berada. Handphone tadi kupegang kemas, lalu aku cuba untuk dihidupkan. Alhamdulillah, masih berfungsi dengan baik. Aku mencari nombor akh Basyar, lalu aku cuba intuk menghubunginya, talian disambung dan aku menanti jawapan.
' Hello Assalamualaikum.....'
..................................................................
' Sekarang ni tak selamat kalau anta nak kesana, ana ada di Ibrahimeyya sekarang ni, bersama dengan ikhwan disini. ' kata-kata akh Basyar ketika aku mengubunginya sebentar tadi. Kini aku dalam perjalanan ke tempat yang diberitahu oleh akh Basyar. Jarak dari Cleopatra ke Ibrahimeyya tidak sampai 1km. Tapi dengan bangunan hancur dan jalan-jalan yang diliputi olehnya menambah perencah kesukaran untuk aku kesana. Lagi pula kaki yang cedera dan bersamaku seorang anak kecil menyebabkan jarak yang dekat menjadi jauh.
Aku cuba melintasi beberapa batuan besar, memanjat dan merangakak dibawahnya menuju ke arah tram yang berada dalam 50 meter dihadapan. Itu adalah tempat yang paling kurang kesannya diatas serangan bom yang bertalu pada awal hari tadi. Kiri dan kanan, cebisan mayat bertaburan, tidak kurang juga mayat yang sempurna bergelimpangan di sekitar kawasan. Penduduk disini ramai, dan jarak bangunan yang dibina amatlah dekat diantara satu sama lain. Maka tidak hairan, ramai mangsa yang terkorban. Cuma aku masih disini, berpeluang menatap dunia yang sudah hilang keindahan akibat dari kehancuran.
Anak kecil yang bersama denganku sejak dari tadi menarik lenganku berkali-kali, ' Fi eh ya akhi? 'aku bertanya kepadanya. ' Ummi... ' dia menunjukkan kearah satu jasad yang terbaring diatas tanah. Mayat yang masih sempurna tubuh badan. Lalu anak kecil itu berlari kearah mayat tersebut. Kelihatannya anak kecil itu gembira 'bertemu' dengan ibunya. Anak kecil itu mencium pipi ibunya berkali-kali. Aku tidak berganjak, hanya terdiam seribu bahasa. Airmataku mengalir tatkala si anak memanggil ibunya berkali-kali tanpa jawapan darinya. ' Ummi, qum ya ummi, ana Umar. ' anak kecil itu terus mengulang. Air matanya turut jatuh berjujuran. Aku melangkah perlahan kearahnya.
' Ummuka fil jannah al an, la tabki ' aku memandang anak kecil itu dengan wajah yang sayu. Kami berbalas pandangan, airmata masing-masing jatuh berguguran. ' Ana aiz ummi..' kata anak kecil itu sambil menangis. ' In Shaa Allah, ehna naruuah jannah ma3bad, mesyi?' aku bertanya kepadanya. Dia hanya mengangguk, aku tidak pasti adakah dia faham atau tidak akan situasi yang berlaku. Aku memeluknya erat, aku berjanji aku akan menjaga si anak ini sehingga dia berada ditempat yang selamat. Ya Allah bantulah kami.
Aku mengajaknya untuk terus bergerak. Umminya ditinggalkan dibelakang dengan perasaan berbelah bahagi, sedih dan sayu. Anak kecil ini cekal hatinya, aku yakin begitu. Perjalanan diteruskan, aku menambil jalan disebelah tram menuju ke Ibrahimeyya. Terlintas difikiranku kenapa tidak ada sebarang bantuan yang datang. Tidak ada bunyi siren ambulan dan sebagainya. Kerana setahu aku, dalam keadaan seperti ini pasti akan ada bantuan yang diberikan. Tetapi suasana sunyi sepi dari bunyian, malah tidak ada riuhan orang ramai meminta pertolongan. Aku membayangkan sepatutnya ada keadaan yang cemas dan kacau bilau yang berlaku. Tetapi tidak ada, perjalanan diteruskan menelusuri jalan-jalan yang kebanyakannya sudah rosak dan dimusnahkan.

Bangkai-bangkai kereta hangus terbakar, pohon-pohon yang sebelum ini berdiri gah tumbang ke bumi. Jalanraya yang lurus sudah tidak ada rupanya. Aku berhenti di satu tempat mencari sumber air yang boleh digunakan untuk menunaikan solat. Terdapat satu pili bomba ditepi kedai serbaneka yang sudah musnah dihancurkan, terdapat sedikit air mengalir darinya lantas aku memulakan wudhu dengan kalimat suci basmalah. Air yang sedikit kugunakan untuk membasuh anggota wajib ketika berwudhu'. Air sejuk yang mengalir dicelah wajah memberikan sedikit kesegaran. Ku ajak anak kecil tadi untuk berwudhu dan melakukan solat bersamanya. Sinaran matahari pada peralihan musim sejuk tidak menghalang untuk aku solat ditengah jalan. Hanya beralaskan tisu yang dijumpai sudah memadai untuk aku meletakkan dahi bersujud pada yang Esa. Sujud terakhir sengaja aku lamakan dan berdoa kepada Allah SWT supaya memberi jalan.
Usai menunaikan solat dan berdoa, aku bangkit untuk terus berjalan. 100 meter sahaja lagi aku akan sampai ketempat yang dimaksudkan akh Basyar. Aku mula nampak orang ramai berkumpul di satu tempat, Alhamdulillah akhirnya jumpa juga manusia. Berdiri di bawah sebatang pokok rendang, seorang lelaki berkacamata dan berjaket hitam seakan sedang menunggu seseorang. ' Abang Basyar!! ' aku menjerit memanggil namanya. Anak kecil tadi telah kuserahkan kepada orag arab yang mengenalinya. Mungkin beliau adalah ahli keluarganya. Akh Basyar mengangkat tangannya dan melambai kearahku. Aku bergerak pantas kearahnya.
' Enta camne abg Basyar? enta ok ' aku bertanya dalam nada kerisauan. Akh Basyar mengukirkan senyuman sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. ' Alhamdulillah ana ok je ' balasnya ringkas. Kami berborak mengenai isu yang meletus pada ketika ini. Sambil berborak mataku tidak henti memandang arab yang kehulu dan kehilir, sentiasa bergerak dalam memberi bantuan dan mengangkat mangsa yang cedera. ' Siapa mereka ni bang Basyar?' aku bertanya. Mereka yang bekerja memakai seutas reben bewarna hijau pada lengan mereka. Ada tulisan bewarna putih yang tertulis diatas reben itu, aku tidak dapat mengenal pasti apa yang tertera padanya. ' Mereka ni ikhwan ' jawab akh Basyar.
' Jom duduk disana ' akh Basyar mempelawa untuk duduk di atas tikar yang disediakan sukarelawan ikhwan. Kami berbual panjang. Nampaknya ujian yang menimpa akh Basyar lebih berat dariku. Zaujahnya tidak ditemui dan kemungkinan besar telah pergi menghadap Illahi. Dia baru sahaja melangsungkan pernikahan semasa cuti musim panas yang lepas. Dalam masa sekelip mata, insan tersayang pergi. Ujian apakah ini. Tapi aku pelik, akh Basyar mampu lagi tersenyum. Aku kagum. Selama ini pun dia merupakan seorang yang aku anggap hebat, ketabahan dan kesabaran yang dia ada tidak aku jumpa pada orang lain selama aku hidup di dunia ini. Aku juga mungkin tidak mempunyai kesabaran sehebatnya. Moga Allah memberkatinya.
' Ana baru kol ikhwah di kaherah, nampaknya keadaan disana pun lebih kurang disini.' kami meneruskan perbualan. dari apa yang diceritakan tentera Israel mula menggugat kedaulatan Mesir dengan menghantar tentera melalui jalan laut. Tindak balas segera telah dilancarkan atas arahan presiden Mesir. Beberapa ratus kilometer kearah barat dan di tebing sinai, pertempuran diantara Israel dan Mesir sedang berlaku. Manakala pertempuran udara juga turut berlaku di ruang udara Kaherah, Iskandariah dan beberapa tempat di Mesir.
Aku mendengar dengan perasaan teruja dan kerisauan. Bagaimana pula dengan nasib aku dan yang lain-lain. Kemana pula hendak aku larikan diri. Tidak ada tempat yang boleh dituju. Sekatan yang ada sudah terlalu banyak. Hostel MARA turut diserang menurut akh Basyar. Aku tidak tahu akan nasib rakan-rakanku yang lain. Kini hanya aku dan akh Basyar. ' Kamu termenung apa tu, banyak dikir nampaknya ' sapa akh Basyar. Mata bertentang mata, kami melihat wajah masing-masing yang sugul. ' Ana terfikir apa yang boleh dilakukan sekarang ini. ' akh Basyar mengangguk tanda faham. ' Sebenarnya ada benda yang boleh anta lakukan.Tapi sebelum tu ana nak tanya, anta dah mesej keluarga dekat Malaysia?' akh Basyar bertanya. Aku pula hampir terlupa, sedangkan handphone berada di tangan sejak dari tadi. Pasti ibu bapaku risau.
.....................................................
20/11/2012 - 6 PM - Malaysia
Trrrr...trrrrr.... ( bunyi handphone bergetar)
'Bang bang ada mesej masuk!! ni nombor Mesir Mukhlis' Puan Anna membuka peti mesej pada telefon bimbitnya. Masing-masing menatap skrin telefon yang berada di tangan Puan Anna. Perasaan masing-masing berdebar.
......................................................................
Akh basyar mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pen bewarna hitam. Dia menulis sesuatu. ' Anta ingat lagi ana pernah cakap pasal benda ni pada anta ' Akh Basyar menyerahkan tulisan itu kepadaku.
Aku merenung dan berfikir dengan dalam, apabila membaca kata-kata diatas ketas itu. ' Apa pendapat anta' tanya Akh Basyar. Ikhwan kini telah membuka peluang untuk mana-mana penduduk awam menyertai peperangan menentang Israel. Walaupun pada asalnya, mereka tidak membenarkan orang luar menyertai tetapi pengecualian diberi kepada kami. ' Pilihan ditangan anta, anta fikir masak-masak apa yang anta boleh lakukan.' Dalam keadaan sekarang, tidak ada apa-apa yang boleh aku lakukan selain dari bersama mereka atau hanya duduk berdiam diri. Untuk pulang ke Malaysia memang sangat mustahil. Tetapi peluang untuk mendapat syurga terbuka luas dihadapan mata. Tapi aku tidak bersedia. Mampukah aku menentang mereka, aku tidak punya kekuatan tubuh fizikal, tidak punya kekuatan mental.
' Tapi anta ada kekuatan iman, jadikan iman anta sebagai sumber kekuatan. Apa yang kita dah lalu dalam usrah, katibah dan daurah, mukhayyam dan sebagainya, semuanya persediaan untuk hari ini' akh Basyir menyapa. Aku tersentak. Apa yang diucapkan ada kebenarannya. Adakah selama ini aku melalui semua itu hanya untuk perkara yang sia-sia. Hanya sekadar pengisian yang tiada praktikalnya? Hari ini adlaah harinya. Tetapi bersediakah diriku. Lalu aku teringat.
" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri dan harta mereka denagn memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah dalam Taurat, Injil dan Al quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. " At-Taubah : 111
' Jika anta dah bersedia, anta beritahu ana, ana minta izin untuk kesana sebentar. ' Akh Basyar meminta kebenaran untuk beredar sambil meninggalkan aku dalam keadaan dilema.
Aku bangun dan berjalan disekitar kawasan yang riuh rendah dengan jeritan para penyelamat, jeritan para ikhwan yang semangat membantu mangsa-mangsa pengeboman. Aku melihat kecekalan mereka, ketabahan mereka, dan ketekunan mereka dalam menjalankan kerja. Sedikit sebanyak menambah keinginan untuk bersama mereka. Seorang arab berbadan agak sasa, berpakaian baju kemeja lusuh berseluar slack hitam menegurku. ' Assalamua3laikum, bita3mel eh ya akhi? la turid sai3iduna ma3bad? ' kata-katanya menusuk kalbu. Aku mengukir senyuman kepadanya. Aku rasakan kini, kepastian yang hadir dalam hati. Aku yakin akan jalan yang ku pilih ini. Aku beralih pandangan kebelakang.
' bang Basyar!!!' aku memandangnya dengan mengukir sebuah senyuman. Aku sudah bersedia. Wahai Israel, nantikan kedatangan seorang pejuang. Ya Allah berikan aku kekuatan. Keputusan drastik diambil, handphone dikeluarkan dari poket. Lantas Mukhlis menghubungi seseorang.

20/11/2012 - 8.00 PM - Malaysia - Panggilan Terakhir.
' Hello Assalamualaikumm'
' Waalaikumussalam, Mukhlis ke ni? ' Puan Anna bersuara.
' Ya bu, Mukhlis ni. Bu Mukhlis nak minta maaf banyak-banyak. Ampunkan dosa Mukhlis selama ini, halalkan makan minum Mukhlis. ' suaraku sebak, aku tidak menanti lama untuk memohon maaf. Aku kuatir talian diputuskan.
' Eh, kenapa ni Mukhlis, kenapa minta maaf tiba-tiba ni. ' Puan Anna menjadi cemas.
' Kemungkinan besar Mukhlis, tak akan balik ke Malaysia. Keadaan disini sangat memerlukan Mukhlis bersama mereka. Mukhlis ingin bersama dan membantu mereka. Redhakan pemergian Mukhlis bu. ' aku menerangkan.
' Ya Allah, Mukhlis nak buat apa disana, bersabar nak, mungkin ada yang akan datang memberi pertolongan' Puan Anna menunjukkan kerisauannya.
' Sudah tidak ada jalan keluar bu, ibu izinkanlah Mukhlis bersama mereka. Mukhlis minta maaf banyak-banyak bu..... tzztzttttt' talian menjadi kurang jelas.
' Redhaa .... kan..... Mukhli......bu.....' suaraku semakin tidak kedengaran.
Airmata Puan Anna jatuh berjujuran. ' Mukhlis... Mukhlis....' dia memanggil namun suara anaknya sudah tidak kedengaran. Talian pula terputus. Puan Anna terduduk, mengenang anaknya yang berada di perantaun.
Hati wanita itu lembut, lebih-lebih lagi seorang ibu yang sudah lama berjauhan dengan anaknya. Kini perpisahan mereka mungkin menjadi perpisahan yang tiada pertemuannya di dunia. Mungkin perpisahan ini menuntut untuk mereka bersama disyurga. Puan Anna tidak dapat berbuat apa-apa. Hatinya redha, kepada Allah dia memohon bantuan untuk anaknya. Dia yakin perpisahan ini hanya didunia, yang jangkanya tidak begitu lama.
' Ya Allah pertemukan kami di syurga, ibu redha anakku....ibu redha...'
Cuaca dalam dua tiga hari di bumi anbiya ini tidak menentu, hujan dan panas bersilih ganti. Air mandian mula menjadi sejuk. Tanda-tanda winter mula menyapa. Angin sejuk sepoi-sepoi bahasa menyapa wajah yang sedia ada kedinginan. Aku bangun untuk mencapai jaket yang disangkut di tepi dinding lalu memakainya. Aku kembali menghadap buku yang masih banyak untuk diselak muka suratnya.
Ternyata sukar untuk mengekalkan fokus ditahap tertinggi. Kelopak mata ibarat digantung dengan beban seberat 10 kg, kadang-kadang terkatup menandakan sudah sampai masanya untuk aku beradu dibawah saratoga yang menyediakan kehangatan yang cukup untuk melenakan diri dalam mimpi-mimpi indah. Secawan nescafe yang berada diatas meja kuhirup. Moga dengannya dapat aku bertahan dan dapat meringankan beban kelopak mata ini daripada tertutup.
Dalam ketika hirupan kedua.
"ZOoooommm......."

Salam, ibu ayah. Mukhlis ni,
ibu ayah mesti dah tahu
keadaan di Mesir. Alhamdulillah
Mukhlis selamat. Cuma ada
cedera sikit, jangan risau.
Air mata yang sudah banyak ditumpahkan akhirnya mengalir sekali lagi. Kali ini bukan air mata kerisauan tetap air mata kesyukuran yang mengalir. Puan Anna tidak berhenti mengucapkan kesyukuran kepada Allah. Lafaz tahmid diulang-ulang begitu juga si suami. 'Alhamdulillah bang anak kita selamat.' ucapan kesyukuran yang dilafazkan. Hati yang gundah menjadi tenang. Mengetahui anaknya masih hidup memberi kekuatan dan keyakinan. Cuma perkara mendatang tidak diketahui, hanya ada pada pengetahuan tuhan yang Esa. Puan Anna hanya mampu berdoa untuk anaknya.
......................................................................
Akh basyar mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pen bewarna hitam. Dia menulis sesuatu. ' Anta ingat lagi ana pernah cakap pasal benda ni pada anta ' Akh Basyar menyerahkan tulisan itu kepadaku.
'Kemenangan dan kejayaan itu sedang menanti dihadapan kita. Walaupun tekanan semakin dasyat menghimpit kita. Tetapi ingatlah bahawa fajar mentari pastikan terbit walaupun kegelapan masih berpanjangan.' -Imam Hassan Al Bannna -
Aku merenung dan berfikir dengan dalam, apabila membaca kata-kata diatas ketas itu. ' Apa pendapat anta' tanya Akh Basyar. Ikhwan kini telah membuka peluang untuk mana-mana penduduk awam menyertai peperangan menentang Israel. Walaupun pada asalnya, mereka tidak membenarkan orang luar menyertai tetapi pengecualian diberi kepada kami. ' Pilihan ditangan anta, anta fikir masak-masak apa yang anta boleh lakukan.' Dalam keadaan sekarang, tidak ada apa-apa yang boleh aku lakukan selain dari bersama mereka atau hanya duduk berdiam diri. Untuk pulang ke Malaysia memang sangat mustahil. Tetapi peluang untuk mendapat syurga terbuka luas dihadapan mata. Tapi aku tidak bersedia. Mampukah aku menentang mereka, aku tidak punya kekuatan tubuh fizikal, tidak punya kekuatan mental.
' Tapi anta ada kekuatan iman, jadikan iman anta sebagai sumber kekuatan. Apa yang kita dah lalu dalam usrah, katibah dan daurah, mukhayyam dan sebagainya, semuanya persediaan untuk hari ini' akh Basyir menyapa. Aku tersentak. Apa yang diucapkan ada kebenarannya. Adakah selama ini aku melalui semua itu hanya untuk perkara yang sia-sia. Hanya sekadar pengisian yang tiada praktikalnya? Hari ini adlaah harinya. Tetapi bersediakah diriku. Lalu aku teringat.
" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri dan harta mereka denagn memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah dalam Taurat, Injil dan Al quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. " At-Taubah : 111
' Jika anta dah bersedia, anta beritahu ana, ana minta izin untuk kesana sebentar. ' Akh Basyar meminta kebenaran untuk beredar sambil meninggalkan aku dalam keadaan dilema.
Aku bangun dan berjalan disekitar kawasan yang riuh rendah dengan jeritan para penyelamat, jeritan para ikhwan yang semangat membantu mangsa-mangsa pengeboman. Aku melihat kecekalan mereka, ketabahan mereka, dan ketekunan mereka dalam menjalankan kerja. Sedikit sebanyak menambah keinginan untuk bersama mereka. Seorang arab berbadan agak sasa, berpakaian baju kemeja lusuh berseluar slack hitam menegurku. ' Assalamua3laikum, bita3mel eh ya akhi? la turid sai3iduna ma3bad? ' kata-katanya menusuk kalbu. Aku mengukir senyuman kepadanya. Aku rasakan kini, kepastian yang hadir dalam hati. Aku yakin akan jalan yang ku pilih ini. Aku beralih pandangan kebelakang.
' bang Basyar!!!' aku memandangnya dengan mengukir sebuah senyuman. Aku sudah bersedia. Wahai Israel, nantikan kedatangan seorang pejuang. Ya Allah berikan aku kekuatan. Keputusan drastik diambil, handphone dikeluarkan dari poket. Lantas Mukhlis menghubungi seseorang.
......................................................
20/11/2012 - 8.00 PM - Malaysia - Panggilan Terakhir.
' Hello Assalamualaikumm'
' Waalaikumussalam, Mukhlis ke ni? ' Puan Anna bersuara.
' Ya bu, Mukhlis ni. Bu Mukhlis nak minta maaf banyak-banyak. Ampunkan dosa Mukhlis selama ini, halalkan makan minum Mukhlis. ' suaraku sebak, aku tidak menanti lama untuk memohon maaf. Aku kuatir talian diputuskan.
' Eh, kenapa ni Mukhlis, kenapa minta maaf tiba-tiba ni. ' Puan Anna menjadi cemas.
' Kemungkinan besar Mukhlis, tak akan balik ke Malaysia. Keadaan disini sangat memerlukan Mukhlis bersama mereka. Mukhlis ingin bersama dan membantu mereka. Redhakan pemergian Mukhlis bu. ' aku menerangkan.
' Ya Allah, Mukhlis nak buat apa disana, bersabar nak, mungkin ada yang akan datang memberi pertolongan' Puan Anna menunjukkan kerisauannya.
' Sudah tidak ada jalan keluar bu, ibu izinkanlah Mukhlis bersama mereka. Mukhlis minta maaf banyak-banyak bu..... tzztzttttt' talian menjadi kurang jelas.
' Redhaa .... kan..... Mukhli......bu.....' suaraku semakin tidak kedengaran.
Airmata Puan Anna jatuh berjujuran. ' Mukhlis... Mukhlis....' dia memanggil namun suara anaknya sudah tidak kedengaran. Talian pula terputus. Puan Anna terduduk, mengenang anaknya yang berada di perantaun.
Hati wanita itu lembut, lebih-lebih lagi seorang ibu yang sudah lama berjauhan dengan anaknya. Kini perpisahan mereka mungkin menjadi perpisahan yang tiada pertemuannya di dunia. Mungkin perpisahan ini menuntut untuk mereka bersama disyurga. Puan Anna tidak dapat berbuat apa-apa. Hatinya redha, kepada Allah dia memohon bantuan untuk anaknya. Dia yakin perpisahan ini hanya didunia, yang jangkanya tidak begitu lama.
' Ya Allah pertemukan kami di syurga, ibu redha anakku....ibu redha...'
No comments:
Post a Comment