Tuesday, April 3, 2012

--RAHSIA HIDAYAHMU--

RAHSIA 1




Dalam hati
Tersimpun seribu satu rahsia
Tidak diketahui manusia
Melainkan Yang Maha Esa.



...


2004, Kuala Lumpur.

   Matahari senja memancarkan cahaya merahnya, waktu siang bakal digantikan dengan malam. Azan magrib berkumandang di setiap pelusuk bandar metropolitan. Pada ketika ini syaitan lari bertempikan, takut dibakar dek suara panggilan hikmat.

'Allaaaaaaaahu Akbar, Allaaaaaaahuakbar.'

  Waktu inilah waktu kemuncak dijalanraya, pabila manusia berkejaran pulang kerumah setelah selesai seharian bersama urusan dunia. Jalanraya penuh dengan warna, lampu-lampu kereta dihidupkan bagi menerangi jalan yang suram. Alangkah baiknya jika cahaya hidayah mampu dihidupkan semudah itu, bagi menerangi hati-hati manusia yang gelap dalam kesesatan.

   Matahari menghilangkan diri, tiba masa bulan mengambang lagi, malam masih muda. Aktiviti manusia tidak terhenti setakat itu sahaja. kelihatan orang-orang tua mula memenuhkan masjid-masjid, manakala orang-orang muda pula mula memenuhkan shopping complex , keadaan yang biasa di bandar. Pasangan-pasangan kekasih berpegangan tangan, berjalan dengan tujuan memenuhkan tuntutan nafsu. Keadaan biasa zaman ini.

...

Telefon berdering.

   " Hello, siapa ni ? " Umar menghulurkan tangan dan menjawab panggilan tersebut. " Oh, Aishah, macam mana malam ni. Awak boleh keluar tak, ibu dengan ayah saya keluar, saya rasa takde masalah. " Umar duduk di atas kerusi bulat disebelah meja telefon sambil memintal-mintal tali telefon dengan jarinya. " Oh ok, kita jumpa di sana. Ok, sayang awak jugak ". Umar meletakkan ganggang telefon dengan senyuman bahagia terukir di wajahnya.

   Ganggang telefon diangkat semula, jari telunjuk Umar bergerak dari satu nombor ke nombor yang lainnya. Dia menunggu beberapa saat sebelum seseorang menjawab panggilannya. " Assalamualaikum. Ibu ada kat mana? " Suara Umar dibuat-buat selembut yang mungkin. " Ibu dengan ayah balik pukul berapa?, Oh tengah malam ke , ok Umar saja nak tanya. Jalan elok-elok ya bu, bye ". 

  Umar bergerak menuju kebiliknya, dibuka pula almari pakaiannya, dibelek-belek lipatan baju lalu mengambil sehelai baju kemeja bewarna merah dengan jalur-jalur kehitaman. Baju tersebut dibawa untuk di gosok dengan seterika. Usai melakukan pekerjaannya, lalu disarung baju tersebut dan dipakaikan pula minyak wangi berjenama BOSS. Rambut disikat kemas menambahkan lagi ketampanannya.

   Malam ini bakal menjadi seperti malam-malam sebelumnya. Umar bijak mengambil kesempatan atas kesibukan ibu bapanya bekerja untuk keluar bersama kekasih hatinya. Umar cukup bijak dalam memberi tipu helah kepada kedua orang tuanya. Setiap kali dia mempunyai peluang pasti akan digunakan sebaiknya untuk melepaskan rasa rindu pada Aishah.

...

   Pintu bilik dikuak perlahan, Aishah bertatih perlahan menuju ke pintu depan. Derapan kakinya dihentak perlahan agar tidak didengari ibunya. Anak-anak tangga dituruni dengan hati-hati. Sebaik sampai di pintu hadapan yang terletak di hujung ruang tamu, Aishah menghulurkan tangannya untuk membuka tombol pintu. Tiba-tiba satu suara didengarinya dan Aishah tahu suara itu bukan petanda yang baik baginya.

   " Aishah nak pergi mana malam-malam ni? " Soal ibunya. Aishah lantas berpaling dengan muka yang masam. " Alah bu, nak keluar kejap jumpa kawan, kejap lagi Aishah balikla " rungut Aishah dihadapan ibunya. " Nak jumpa kawan buat apa? Ni mesti takde kerja lain ni, melepak dekat shopping complex lah ni " ibunya meniggikan suara. " Alah mak ni, Aishah bukan buat apa-apa pun, duduk rumah pun bosan, baik keluar. Sikit-sikit nak marah, dahla Aishah pergi dulu ".

   Pintu kayu di ruang tamu dihempas tanda tidak puas hati seorang remaja yang sedang bergelora jiwanya dalam dunianya sendiri. Ibunya hanya mampu mengalirkan air mata melihatkan perangai anak perempuannya itu. Ibunya terduduk di sofa hijau yang berada di sebuah ruangan disitu. Mengenangkan nasibnya sebagai seorang ibu tunggal, tidak ada tempat mengadu selain dari tuhan yang satu.

   Aishah berjalan berseorangan menuju ketempat yang dijanjikannya bersama Umar. Terdetik rasa bersalah dalam hatinya kerana meninggikan suaranya. Tapi apakan daya, egonya mengatasi perasaan yang terdetik pada ketika itu. " Ah, bukan salah pun nak keluar, ibu ni tak faham ke perasaan aku " monolognya sendirian.

   Umar tiba awal di pasaraya tersebut dan menunggu Aishah datang. Secawan kopi yang dibelinya tadi dihirup perlahan. Dari belakang Aishah mencuit bahu Umar dan tersenyum. " Aih, dah sampai rupanya, kenapa awak lambat ni, lama saya tunggu tau. " Umar berpaling kearah Aishah. " Maaflah awak, saya ada masalah sikit tadi dengan mak saya, dia tak benarkan saya keluar pula tadi, bad mood saya jadinya " Aishah mengeluarkan suara manjanya.

   "Aish awak ni, nasib baik suara lembut. Cair hati saya, jadi saya maafkan awak datang lewat, tapi awak kena belanja makan. " Umar berseloroh. " Ala, apa awak ni, sepatutnya lelaki la yang kena belanja makan, kenapa saya pula yang kena. " Aishah menarik mukanya. " Ok-ok saya gurau je, dah, jom jalan-jalan. " Umar memegang tangan Aishah ibarat suami isteri, memimpinnya menuju kedalam shopping complex tersebut.

   Sepasang mata memerhatikan mereka sejak dari tadi. Lirikan tersenut mengikitu mereka hingga hilang dari pandangan dalam lautan manusia.


Umar
  Saat dan detik bersamamu
Terasa indah dalam hidupku
Dikau pengubat hatiku
Yang kucar kerana masalahku

Aishah
Pimpinlah tanganku
Agar aku tidak lari darimu
Sesungguhnya kau yang satu
dalam jiwaku.



...





   Malam kian pekat, awan-awan dilangit bergerak melintasi bulan mengambang di pertengahan bulan ini. Aishah menaiki teksi untuk ke rumah memandangkan sudah lewat malam. Bahaya malam menanti jika dia hanya berjalan kaki, terutama di sebuah bandar yang mana siang dan malamnya hidup dengan manusia yang tidak kenal erti penat dalam menikmati kenikmatan dunia.

   Tambang dibayar lalu Aishah melangkah keluar dari teksi menuju ke pintu pagar rumahnya. Keadaannya sama sewaktu dia keluar tadi. Anak kunci dikeluarkan dari beg duit berjenama AVONSS yang dihadiahkan Umar semasa pertemuan mereka pada beberapa hari yang lepas. Pintu pagar dibuka dan dikunci semula. Kawasan kejiranan Kg Pasir senyap sunyi yang sekali sekala diiringi dengan bunyi unggas yang berteduh di pohon-pohon tinggi disitu.

    Pintu utama rumah dibuka perlahan, Aishah tidak mahu ibunya bangun dan membebel pada waktu-waktu sebegini. Matanya melihat sekeliling ruang tamu dalam rumahnya, di sebuah sofa yang terletak dihujung ruang tamu, ibunya kelihatan terbaring, mungkin ketiduran agaknya. Sekali lagi Aishah berjalan dengan penuh hati-hati. Dia mahu membiarkan ibunya tidur disitu tanpa perlu untuk menganggunya.

   Aishah menaiki anak tangga terus ke dalam bilik dan menghamparkan drinya diatas katil. Siling putih diatasnya dipandang kosong. Lalu terlelaplah mata seorang gadis bandar yang tenggelam dengan nikmat keduniaan. Moga harinya bertambah baik di masa hadapan.


...

   Di hadapannya tercegat 2 orang tuanya, Umar hanya mampu menundukkan pandangan dek takutkan kemarahan kedua ibu bapanya. " Kemana kamu pergi sampai tengah-tengah malam buta ni baru nak balik " tengking ibunya. Ayahnya hanya berdiam diri di atas kerusi sambil menyilangkan kedua tangannya antara satu sama lain. " Berapa kali dah kamu buat camni, o patutlah setiap kali ibu dengan ayah keluar lewat malam je kamu kol, ibu dah perasan dah mesti ada apa-apa ni " marah ibunya lagi.

   Umar memandang wajah ibunya yang merah kepanasan, lalu dia segera menundukkan kembali kepalanya. " Aish, macam mana boleh kantoi pula ni, biasa lepas je " gumam Umar sendirian. Terasa lama dirinya dimarahi Umar cuba mengumpul kekuatan dalam diri. Dia cuba untuk bersuara supaya dia dapat segera ke bilik tidurnya dan berehat sepuas-puasnya. Kepenatan berjalan bersama Aishah masih tidak hilang dan kini terpaksa mendengar leteran ibunya pula. " Ibu Umar minta maaf, Umar janji yang ini terakhir sekali, Umar tak buat dah lepas ni " Umar meminta maaf kepada ibunya, memek mukanya diubah untuk meraih simpati ibunya.

   " Ibu marah sebab ibu sayang pada kamu, tapi kamu tak hargai kasih sayang ibu malah sanggup menipu, ibu nak tengok yang ini adalah yang terakhir, jika macam-macam lagi yang kamu lakukan, siaplah " ibunya mula merendahkan suara. Disuruh Umar untuk kebilik dan berehat. Umar yang berdiri tegak sejak kepulangannya tadi melangkah dengan laju. Dalam hatinya lega kerana tamat sudah bebelan ibunya.

  " Tengoklah abang, anak kita tu, entah apa dosa yang kita dah lakukan sampai jadi macam tu, nasib baik Pak Samad nampak dia berjalan-jalan tadi. Kalau tak sampai ke kiamat pun kita tak tahu perkara ni " Ibu Umar meluahkan rasa kecewa kepada suaminya. Ayah Umar hanya mampu berdiam diri dan memandang kosong dihadapannya. Tapi yang pasti dalam hatinya tersimpan seribu satu kegusaran memikirkan anak tunggalnya itu.


 

Ketika jiwa ku bergelora cinta
Badai laut menghempas pula
Akan ku harung demi cinta
Tidak ku kisah ujian dunia


...

  
   Sinar mentari memancar di pagi hari. Cahaya halus memasuki kedalam ruangan kamar seorang puteri yang masih lena dibuai mimpi. Burung-burung mula keluar mencari rezeki. Tidak kurang juga manusia yang berpusu-pusu keluar mencari sesuap nasi. Jam loceng berbentuk epal merah berbunyi dari atas laci yang terletak di sebelah katil seorang puteri. Lalu bangunlah dia dalam keadaan bermalasan. Matanya dikesat menggunakan kedua belah tangannya. Mulutnya menguap ditutup dengan tangannya. Aishah bangun menuju ke bilik air yang terletak diluar biliknya.

   Tuala yang disangkut pada dinding berpaku digapainya. Kepalanya menoleh kearah ruang tamu. " Eh kenapa mak tak pergi kerja lagi, bukan selalunya awal-awal pagi lagi dah keluar ke " Aishah melangkah ke ruang tamu. Hatinya bergedup laju, tatkala dia melihat wajah ibunya membiru, dipanggil ibunya, digegar tubuhnya tetapi tiada sahutan yang kedengaran. Air mata jernih mula mengalir dari matanya, mengalir perlahan menuruni wajah gebunya. " Ibu! ibu, bangun bu, Aishah minta maaf bu, Aishah minta maaf  " rasa bersalah mula menyelinap kedalam hati. Imbasan-imbasan memori hari semalam mula menyelinap dalam ingatannya. Tidak sempat seorang anak untuk meminta maaf kepada ibunya. Kerana dia telah pergi buat selamanya.

   Aishah kaku tidak tahu apa yang patut dilakukan, dia hanya mampu mengalirkan air mata sambil memangku ibunya di sisi. ' Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna '. "Akulah anak yang paling tidak guna, akulah anak yang paling tidak berguna " Aishah mengulang-ulang kata-katanya apabila dia dikejutkan dengan deringan telefon. Aishah melepaskan pegangannya dan berjalan perlahan kearah telefon rumah. " Hello, Cik Habsah ke ni? saya ni Encik Lan " suara di hujung panggilan kedengaran. Aishah dengan suara yang tersekat-sekat menjawab " maaf encik, ibu saya dah meninggal dunia, " telefon diletakkan sejurus dia menjawab.

   Encik Lan yang berada di pejabat terkejut apabila mendengar berita tersebut lalu dia bergegas ke rumah Aishah, dibawanya bersama pembantu pejabat yang bertugas pada ketika itu. Sesampai sahaja dirumah Encik Lan memanggil Aishah untuk membuka pintu. Aishah kenal Encik Lan, mereka pernah berjumpa sekali pada satu waktu dahulu. " Kamu tidak kol  ambulan ke? dah jom bawa mak kamu ke hospital segera " Aishah yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan hanya mendengar kata-katanya. Dia mengekori Encik Lan dengan perlahan dari belakang.



Wahai kekasih
Ku tidak tahu kepada siapa patut ku mengadu
Ku dambakan seseorang
Supaya hilang segala kegusaran





...

 
   " Umar! bangun Umar, dah pagi dah ni, datang kedepan cepat, ada benda ibu dengan ayah nak bincang ni " pintu bilik Umar diketuk dengan agak kuat, cukup-cukup untuk membuatkannya terbangun. Umar tersentak lalu mengesat matanya. Badannya menggeliat menimbulkan perasaan senang dan berlalu dari katil menuju ke tandas untuk membersihkan diri. Dihadapan cermin didalam tandas dia memandang wajahnya dan tertanya-tanya apa yang dimahukan ibunya.

   Pintu bilik dibuka, kaki kanannya melangkah keluar terlebih dahulu menuju ke ruang tamu rumahnya. Keadaan rumah bersih dan kemas, ibunya sendiri rajin mengemas walaupun dibebani kerja-kerja seharian bersama suaminya. Sofa lembut bewarna hijau daun disusun teratur mengelilingi sebuah meja kecil berbentuk empat segi. Sebuah pasu bunga hiasan diletakkan diatas meja tersebut. Ibu dan ayahnya sedang duduk dan membincangkan sesuatu. Umar bergerak kearah mereka.

   " Ibu dengan ayah tak keluar lagi ke, ada apa nak bincang dengan Umar? " Umar memulakan perbualan sambil mengambil tempatnya di salah satu sofa yang berada disitu. Tangannya dihulur untuk mengambil secawan kopi yang telah sedia ada diatas meja kecil dihadapannya. Disisip kopi yang panas itu bagi mengembalikan kesegaran setelah puas tidur semalaman. Dipandang pula kedua orang tuanya selepas itu.

   " Umar, ibu dengan ayah dah buat keputusan, ibu dengan ayah akan hantar Umar ke sekolah berasrama penuh. "  " Dulu masa awal tahun Umar berkeras untuk kesana, rupa-rupanya bukan nak buat apa, nak dating je " Ibunya menambah. Umar terkejut dengan suruhan ibunya " Alah bu, janganlah. Umar tak suka sekolah asrama. Umar nak duduk  rumah je " balas Umar. " Ibu tak kisah jika Umar berperangai baik, jaga tingkah laku, tapi sejak peristiwa semalam, susah dah ibu nak percaya, lagipun ibu dah bincang dengan seorang kawan ibu di Kementerian Pelajaran, Umar masih boleh menggunakan result PMR haritu. Sekarang ni baru pertengahan tahun, jadi pelajaran tak jauh ketinggalan lagi. " kata-kata ibunya menusuk kedalam hatinya. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia memberontak, tapi dia masih waras dan menghormati kedua orang tuanya.

   Mahu atau tidak Umar terpaksa mendengar suruhan ibunya. Dia tidak diberi pilihan yang lain. Hanya satu pilihan dan hanya satu jalan sahaja yang diberikan oleh orang tuanya. Berat hatinya. Umar belalu setelah diminta ibunya untuk dia bersedia ke sekolah baru dalam 2 atau 3 hari lagi. Kakinya melangkah berat menuju kamar tidurnya. Satu keluhan berat dilepaskan apabila dia membuangkan dirinya keatas katil. Matanya dipejam dan akalnya terus berfikir perkara yang sama. " Aku taknak pergi !!! "


Duhai kekasih hati
Tatkala aku menerima tamparan
Kau tiada disisi
Bagaimana ingin ku buat keputusan?






...

 
   Umar bermalasan di dalam bilik, badannya dialih kanan dan kiri di atas katil kayu berukiran tumbuh-tumbuhan yang menjalar. Perasaannya tidak tenang sejak kejadian di pagi hari. Pelbagai perkara yang timbul dalam fikiran terutama mengenai hubungannya dengan Aishah. Bagaimana mereka mahu berhubung selepas ini. Pasti hati akan terseksa, tidur tidak akan lena, mandi tidak akan basah.

   Lamunannya dimatikan apabila telefon rumahnya berdering. Tidak ada sesiapa yang bergerak untuk menjawabnya. Telefon berdering untuk jangka masa yang lama. Akhirnya Umar mengalah, dia bergerak kearah telefon tersebut dan menjawabnya. Kedengaran suara halus di hujung talian. " Aishah ni " bisiknya.

   "Hello, Umar ke ni " suara yang muncul untuk mendapatkan kepastian. Kedengaran sebak dihujung talian, Umar hanya mendengar tidak berkata. " Umar saya berharap sangat agar awak ada disisi saya sekarang ini, untuk memadamkan kesedihan saya pada ketika ini. Saya harap boleh berjumpa awak malam ini. " permintaan seorang gadis kepada sang teruna, mendamba kasih seorang jejaka.

   Umar serba salah, dia takut jika perkara ini diketahui ibu dan ayahnya jika dia keluar bersama Aishah. Otaknya ligat berfikir, pening kepalanya memikirkan helah untuk keluar pada malam ini. Jawapan apa yang patut diberikan kepada Aishah. " Ok, malam ni kita jumpa tapi kita jumpa di tempat lain. Kita jumpa disini disini dan disini. Boleh? " Umar bertanya. Aishah hanya bersetuju tanpa berfikir apa-apa. Dalam fikirannya hanya mahu menemui Umar kekasih hatinya.

   Umar mengeluh panjang setelah ganggang telefon diletak. Bagaimana untuk dia melepaskan diri dari diketahui kedua orang tuanya? Seperti biasa juga ibu bapanya keluar pada waktu malam dan akan pulang di waktu pagi. Umar merancang untuk berjumpa dan balik dengan segera setelah urusannya dengan Aishah selesai. Dia berlalu dari ruang tamu dan menuju ke dalam biliknya. Badannya disandar pada kepala katil, bantal peluk dipegang kemas dan fikirannya menerawang entah kemana. Keletihannya menyebabkan kelopak matanya berat, lalu dia tertidur dengan bantal yang dipegang tidak dilepaskan.


Kupejam mata
Mengharapkan adanya cahaya
Lalu kubuka
Tidak ku temui apa-apa



...

 
   Aishah menanti dengan penuh sabar, walaupun seminit dirasakan ibarat sehari tetapi dia tetap setia menanti. Dia sudah tidak ada sesiapa didunia ini melainkan Umar yang dikasihi. Secawan cappucino  yang di pesannya hanay dipandang tanpa perasaan. Tidak diminum walau sedikitpun, menjadi sejuk mengikuti masa yang berlalu. Di satu sudut, Umar datang dengan langkah perlahan menuju kearah Aishah. Senyuman terukir dibibirnya menggambarkan kegembiraan dihatinya. Umar menarik kerusi dan duduk dihadapan Aishah dan hanya tersenyum kelat.

   " Awak nak minum apa-apa? saya boleh tolong pesankan. " Aishah membuka bicara. Umar menolak dengan baik. " Takpela, saya nak jumpa awak pun sekejap sahaja, saya tak boleh lama disini, awak kata ada sesuatu nak ceritakan pada saya, ceritalah. Saya datang pun ingin memberitahu awak sesuatu. " ujar Umar. Dia tidak sabar untuk menghabiskan perbualannya. Di khuatiri ada jiran-jirannya yang memberitahu kedua orang tuanya tentang perkara ini.

   " Awak, saya dah tidak ada sesiapa didunia ni, tinggal awak sahaja untuk saya. Ibu saya baru sahaja meninggal dunia. " air mata yang menitis dilap menggunakan kain ditangannya. Umar tersentak dengan berita tersebut. Tiba-tiba dia menjadi serba salah kerana apa yang bakal dikatakannya hanya akan menjadi pemberat kepada ujian yang dihadapi Aishah. Tidak ada kalam yang keluar dari mulut Umar, dia hanya sekadar memerhatikan air mata jernih yang tumpah dari sepasang mata seorang gadis yang kesedihan.

   " Aishah, saya minta maaf banyak-banyak, saya ucapkan takziah terhadap kematian ibu awak dan saya mahu awak tahu bahawa saya akan berpindah ke asrama selepas ini." Umar mengesat tangisan Aishah dengan tangannya. " Maafkan jika perkara ini menyakitkan, tetapi saya rasa kita patut putuskan hubungan kita. Cukuplah setakat ini sahaja buat kita. Jika takdir telah ditetapkan tuhan, maka kita akan berjumpa, jika tidak, saya tidak mampu berbuat apa-apa " Umar menambah.

   Aishah bagaikan tidak percaya, air matanya mengalir lebih laju. Dipandangnya wajah sang kekasih yang menundukkan pandangan darinya. Aishah bangun lalu pergi meninggalkan Umar keseorangan di meja itu. Langsung tidak ditolehnya kebelakang, perjalanan hanya idteruskan kedepan, dengan tangisan yang tidak henti bagaikan hujan. Aishah kini pasrah dalam kehidupan.


Untuk apa tuhan turunkan ujian
Jika hanya sekadar permainan
Tidak sia-sia takdir yang ditentukan
Di tangan sendiri membuat pilihan

Masih adakah harapan
Dalam membuat perubahan
Oh tuhan
berikan aku jalan.






bersambung...


*adaptasi dari kisah rekaan dan campur aduk dengan kisah benaran, nantikan sekuelnya(bajet macam ada orang baca) ^__^


   

2 comments:

hisyam said...

sob333...awat sedih ngat neh

Abu Mukhlis said...

senyap r hise ^_^