Thursday, June 4, 2020

HENTIKAN NARATIF 'HAK BUKAN MUSLIM UNTUK MINUM ARAK'



Hangat di media sosial pada awal Jun disebabkan kes kematian seorang penunggang penghantar makanan yang dilanggar pemandu mabuk. Kejadian ini mengundang pelbagai reaksi masyarakat dalam negara. Pelbagai cadangan dan saranan diberikan bagi memberi keadilan kepada ahli keluarga mangsa.

Turutan peristiwa melibatkan pemandu mabuk telah membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia.

Saya bersetuju dengan pendapat yang dibawa oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia(ISMA) yang juga merupakan Pengerusi PEMBELA bahawa naratif songsang seperti 'meminum arak adalah hak kepada bukan Muslim' patut dihentikan.

Naratif yang selama ini dibawa sesetengah orang amat janggal. Bukankah naratif yang patut di laungkan adalah hak untuk semua manusia menjadi sihat dan selamat. Tidak ada mana-mana agama utama di dunia ini yang menggalakkan penganutnya untuk mengambil arak. Melainkan ia cuma tuntutan nafsu seseorang.

Sejarah Islam dalam pengharaman arak telah menjangkau lebih kurang 1400 tahun dahulu. Arak merupakan budaya kepada masyarakat  disitu sebelum dari Nabi Muhammad saw diangkat menjadi Rasul lagi. Ketika Baginda Nabi diutuskan, proses pengharaman arak diturunkan secara berperingkat dengan kemuncaknya berlaku selepas beberapa peristiwa.

1. Ketikamana Abdurrahman Bin Auf menjemput Ali dan dan kawan-kawannya ke satu majlis dan dihidangkan arak. Sehingga ketikamana tibanya waktu solat dan Ali diminta menjadi Imam, beliau membaca dalam keadaan terkeliru sehingga salah membaca ayat quran. Sehingga turunnya surah An Nisa ayat 43. Kesan arak pada akal.

2. Ketikamana ada 2 suku golongan Ansar yang hidup aman, tanpa dendam tetapi kedamaian itu dihancurkan arak, mereka saling mencela antara satu sama lain dan bergaduh sehingga mencederakan sesama sendiri. Sehingga Allah menurunkan ayat Quran dalam Surah Al Maidah Ayat 90-91 yang melarang umat Islam mengambil perkara yang memabukkan. Kesan arak pada sosial dan hubungan sesama masyarakat.

Keyakinan kita terhadap Islam adalah Rahmat kepada seluruh Alam sepatutnya membawa kita kepada tindakan berstrategi dalam mengharamkan terus industri arak di Malaysia ini. Jika kita yakin Islam adalah rahmat, tidak akan terkeluar dari mulut kita naratif 'minum arak adalah hak seorang bukan Muslim'. Rahmatnya Islam, ia memberi peringatan terhadap perkara yang memudaratkan bukan sahaja kepada Muslim, tetapi ia seruan kepada seluruh manusia.

Tindakan awal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam menghentikan pemberian lesen penjualan alkohol wajar dipuji. Dan kita mengharapkan tindakan susulan dijalankan oleh pihak DBKL.

Dari sudut perubatan moden sendiri sudah terlalu ramai memberi peringatan tentang keburukan alkohol terhadap tubuh badan, mental dan kesan-kesan sosial setelah pengambilan alkohol berlaku.

Kesan jangka panjang terhadap tubuh badan dapat kita lihat seperti masalah darah tinggi, serangan jantung dan angin ahmar, kerosakan fungsi hati dan sistem penghadaman. Selain daripada itu, kanser dan lemah sistem pertahanan badan juga dapat dilihat.

Kesan jangka pendek disebabkan hilang kewarasan mampu memudaratkan bukan sahaja mereka yang mengambil alkohol malahan orang di sekeliling.
1. Kes homisid
2. Kes kemalangan yang mengakibatkan kematian orang awam
3. Keganasan rumah tangga
4. Penderaan kanak-kanak
5. Kerosakan harta benda dan lain-lain.

Maka keburukan arak ini lebih banyak dari kebaikannya, dan jika kita telusuri kisah pengharaman arak dalam Islam. Kita dapati apa yang agama Islam ajar adalah yang terbaik untuk manusia sejagat.
Jadi bilamana ada orang meraikan dengan mengatakan ia adalah 'hak bukan Islam' ia sungguh janggal.

Kita mengharapkan usaha tegas dalam penggubalan undang-undang dan hukuman berkaitan arak dapat dijalankan dengan segera sebelum lebih ramai nyawa orang awam melayang sia-sia.

Saya menyokong sebarang usaha dalam pengharaman industri arak/alkohol di Malaysia. Kerana ia memudaratkan sesiapa sahaja yang mengambilnya tidak kira agama, bangsa atau warna kulit.

Saya juga mengajak orang ramai yang mempunyai kesedaran untuk juga bersama memberi sokongan kepada pihak-pihak yang cuba memperketatkan undang-undang berkaitan arak. 

Hak untuk semua orang untuk sihat dan selamat.



Dr Indra Putra Bin Asrar
Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia(I-Medik) Dungun.


No comments: