Saturday, January 25, 2020

PANIK AKHIRAT




Throwback.

Sesi riadah Badminton bersama ikhwah ISMA Dungun aku ambil peluang untuk menyampaikan sedikit pesanan semasa musim Influenza sedang merebak. 2 jam bermain di isi dengan slot peringatan dan kerohanian, hak jasmani dan rohani diberikan pada malam tersebut.

Aku mulakan pesanan dengan menerangkan tentang Influenza yang menjadi perbualan ramai, sehingga mencetuskan panik di seluruh Malaysia. Sehingga kehabisan stok vaksin di setiap klinik, manakala stok vaksin yang terhad di hospital disimpan untuk pesakit berisiko tinggi seperti kanak-kanak, ibu mengandung, orang tua dan lain-lain.

Sehinggakan ibu bapa yang risau akan kesihatan anak-anak terpaksa menempah awal dalam aturan nama yang panjang di klinik-klinik swasta untuk memvaksinkan anak. Begitulah kesan panik kepada manusia. Stok ubat tidak mampu dihasilkan dengan segera, maka terpaksa menunggu dengan lebih lama untuk mengelakkan terkena penyakit yang berbahaya.

Walhal, kempen pengambilan vaksin influenza sudah lama dijalankan KKM dan badan-badan kesihatan untuk menjadi booster kesihatan tetapi selama ini tidak di endahkan, apabila perkabaran maut berada di depan mata, maka berbondong manusia mencari penawarnya. Termasuk aku juga.

Malam itu ramai ikhwah adalah dari golongan ayah-ayah yang punya anak, maka tak dapat tidak mereka juga akan ada kerisauan. Tetapi aku mengambil kesempatan untuk meredakan rasa panik dan risau.

Influenza bermusim, sepertimana musim durian yang ada di Malaysia ini. Ia datang dan pergi, datang dan pergi, cuma kita manusia perlu bersedia menghadapinya. Pada waktu ini, ketika ia sedang merebak dikalangan anak-anak dan orang dewasa. Maka ada beberapa amalan yang perlu kita jaga. Secara ringkas:

1. Etika batuk
2. Etika kebersihan tangan
3. Memakai topeng ketika di luar rumah
4. Vaksinasi setiap tahun

Jika ada simptom influenza, maka kami akan rawat secara simptomatik. Yang mana jika anda demam, maka ubat demam diberikan, jika batuk, ubat batuk diperlukan. Jika keadaan memburuk, dan terpaksa dimasukkan ke hospital, maka sampel hingus akan diambil dan dihantar ke makmal, jika positif Influenza, maka diberikan rawatan anti-viral.

Di sebalik perkongsian panjang terhadap isu Influenza dan vaksinasi ini, aku selitkan beberapa ibrah yang boleh kita ambil.

1. Manusia telah lama diberi peringatan oleh Allah tentang hari kiamat yang pasti berlaku, melalui tanda-tandanya yang telah disebutkan dalam banyak hadis-hadis nabi SAW. Kadang-kadang sikap kita yang suka bertangguh atau melalaikan peringatan yang diberi menyebabkan akhirnya, kita tidak sempat untuk bertaubat mahupun melakukan amal kebaikan.

Adakah kita mahu tunggu sehingga kiamat berlaku, baru kita berusaha mencari hidayah Allah swt. Sepertimana bila berlakunya wabak influenza baru kita berusaha mencari vaksinasi.

Manusia selalu alpa dan lupa, atas sebab itu jika kita perhatikan, banyak kejadian dan peringatan  telah Allah swt tunjukkan kepada kita supaya kita ambil pelajaran. Peringatan pada malam itu adalah untuk kita semua, termasuk diri aku sendiri untuk sentiasa bersedia menghadapi hari kiamat, sepertimana perlunya kita bersedia menghadapi penyakit berjangkit.

Hari ini, pada hari aku menulis coretan ini, telah tular pula wabak baru yang dikenali sebagai Wuhan Virus ataupun 2019 nCoV. Penyakit yang di import dari Tanah Besar China, ke seluruh dunia kini menjadi igauan baru di tahun baru ini.

Di Malaysia sudah ada kes positif yang ditempatkan di Hospital Sungai Buloh.

Tetapi sekali lagi aku ingin tegaskan, angkuhnya China pada masyarakat Muslim Uighyur, menyebabkan mereka terkurung dan diseksa di Xinjiang. 1 juta Muslim Xinjiang tidak dibenarkan untuk mengamalkan praktis mereka.

Seperti seekor nyamuk yang dihantar untuk membunuh Namrud, kini Allah swt menghantar sejenis virus yang sangat kecil fizikalnya kepada rakyat China. Dan akhirnya menyebabkan berbelas juta rakyatnya terkurung.

Untuk kita, jangan rasa selesa, bala yang Allah swt turunkan tidak memilih siapa, samada baik atau jahat, beriman atau tidak, semua akan terkena. Maka jika ditakdirkan matinya kita kerana penyakit ini, pastikan mati kita dalam keadaan terbaik dalam bertemu dengan Sang Pencipta.

Kebetulan malam tu hari terakhir Hazim di Dungun.




No comments: