Saturday, November 28, 2020

COVID-19 UJIAN DAN PENGHARAPAN

Sayu apabila membaca derita dan kesusahan rakyat Malaysia berdepan dengan wabak Covid-19. 

Kita dapat lihat ramai yang terkesan terutama dari golongan B40 juga tidak ketinggalan dari mereka dalam golongan M40.

Kesan kepada mereka lebih jelas terutama B40 kerana kebanyakan mereka bekerja hanya untuk kelangsungan hidup dan melengkapi keperluan asas. 

Setakat 28 Oktober, 90 470 orang kehilangan pekerjaan dan dalam tempoh yang sama seramai 33 341 orang telah kembali mendapatkan pekerjaan. 

Ini berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan(SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial(PERKESO).

Ini adalah apa yang kita dapat lihat berdasarkan data yang ada. Kemungkinan mereka yang terkesan adalah lebih besar jumlahnya.

Disebabkan ini ia menyumbang kepada masalah kekeluargaan dan juga masyarakat.

Antara lain isu kesihatan mental seperti stres, risau, putus harapan merupakan peratusan terbesar seperti yang disebut Menteri Kesihatan. Daripada 11 791 panggilan talian bantuan, 50 peratus adalah kes yang disebut diatas. 

Lebih 400 kes yang diterima merupakan kes cubaan bunuh diri. 

Sebagai Muslim, kita menginsafi bahawa segala yang berlaku ini adalah ujian dari Allah swt. 

Setiap orang mempunyai kadar ujian tersendiri di musim pandemik ini. Kehilangan pekerjaan, kehilangan punca pendapatan mendorong kepada masalah keganasan rumah tangga dan sebagainya.

Kita tidak dapat lari bahawa ujian ini mungkin berlanjutan hingga ke beberapa bulan dan mungkin beberapa tahun. 

Secara individu, Islam mengajar kita bahwa ujian yang turun ini adalah sesuai dengan apa yang mampu kita pikul. Perlunya kita bersabar dengan ujian kerana sabar itu indah, dan ganjaran yang besar menanti mereka yang bersabar. 

Kita juga disarankan untuk muhasabah akan salah silap yang mungkin telah kita lakukan atas kelalaian dan kecuaian kita dalam menegakkan hak Allah. 

Sesungguhnya Allah sukakan orang yang bertaubat sepertimana yang disebut dalam hadis pengembara yang kehilangan untanya.

Tapi kita tak nafikan ada yang tidak mampu mendepani ujian ini kerana kelihatan begitu berat.

Disinilah peranan masyarakat. Peranan kita sebagai rakyat Malaysia.

Kita bersyukur dengan usaha-usaha kerajaan dalam membantu golongan yang terkesan.

Tetapi sebagai satu masyarakat pasti ada sesuatu yang mampu kita sumbangkan dari sudut sokongan sosial dan psikologi.

Sokongan dan dokongan dari sudut keperluan harian dalam membantu ekonomi keluarga yang terkesan. 

Inilah masa untuk kita buang sifat pentingkan diri dan saling cakna sesama masyarakat dalam membantu mereka yang kesusahan. 

Talian sokongan psikososial telah dipromosikan kerajaan. Mereka dari golongan profesional bersedia membantu mendengar rintihan dan keluhan anda. Ini membantu meringankan beban mental yang dihadapi.

Dari sudut lain, satu perkara positif adalah ramai juga yang berkemampuan untuk menyumbang wang ringgit dan bantuan asas keperluan hidup.

Antara yang boleh dilihat usaha yang dijalankan Pemuda ISMA dengan kerjasama Yayasan Maghfirah secara konsisten memberi bantuan bulanan kepada keluarga terjejas.

Bantuan ini tidak akan sampai melainkan dengan pemberian dari orang ramai yang pemurah dan cakna dengan keadaan masyarakat sekeliling.

Inilah yang harus kita lakukan. Kita sama-sama menanggung beban dan kesusahan di musim pandemik ini.

Mereka yang diberikan kelebihan rezeki, saya mengajak  untuk kita terus menyumbang. 

Moga dengan asbab sumbangan kita itu, Allah swt memudahkan kita ke syurgaNya di akhirat kelak.

Akhir sekali, disebalik hujan lebat, pasti akan ada pelangi di akhirnya. Sama-sama kita berdoa wabak ini segera diangkat Allah swt dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa semula. 

Wallahualam.

Dr Indra Putra Asrar
Pengerusi I-Medik Dungun

No comments: