COVID-19 DAN OBESITI
Kini hampir setahun tujuh bulan kita masih lagi bergelut dalam melawan pandemik Covid-19 di Malaysia. Tanda-tanda sinar untuk kes menurun masih lagi kita harapkan. Kes dalam masa beberapa minggu ini masih lagi berada dalam sekitar 20 000 kes dan kadar kematian masih lagi mencatatkan angka ratusan.
Apapun, keadaan terkini terutama di kawasan Lembah Klang, penurunan kes yang memerlukan rawatan rapi dan kemasukan ke ICU nampaknya semakin berkurangan, dengan kebanyakan kes adalah dari gejala ringan seperti yang dikongsikan Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisyam Abdullah.
Kita mengharapkan dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan dengan kepatuhan seluruh rakyat Malaysia kepada prosedur operasi standard yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) mampu menurunkan lagi kes, kadar kematian dan morbiditi terhadap pesakit Covid-19.
Kesemua kita tahu, kesan wabak ini lebih teruk kepada mereka yang mempunyai penyakit sedia ada sepertimana kencing manis, darah tinggi, masalah jantung dan lain-lain. Pesakit yang datang dengan kategori 1 atau 2 mampu berubah sekelip mata kepada tahap 3 dan keatas yang mana mereka memerlukan kemasukan ke hospital untuk dipantau dengan lebih dekat. Hal ini termasuklah mereka yang mempunyai masalah obesiti.
Obesiti adalah salah satu komorbiditi yang tidak harus dipandang ringan. Kerana ramai orang muda yang bergejala teruk dan memerlukan bantuan pernafasan adalah dari mereka yang mempunyai masalah ini. Obesiti sangat kerap dikaitkan dengan masalah kesihatan lain termasuklah Covid-19. Jika di Amerika Syarikat, 900, 000 pesakit yang dimasukkan sejak permulaan pandemik sehingga November 2020, 30 peratus dari pesakit tersebut mempunyai masalah obesiti.
Rawatan dan pengurusan pesakit yang mempunyai masalah obesiti juga agak sukar seperti yang dikongsikan petugas-petugas ICU.
Anda dikatakan mempunyai masalah obesiti apabila BMI anda melebih 30kg/m2 dan mempunyai masalah berlebihan berat badan apabila BMI anda melebihi bacaan 25kg/m2.
Berdasarkan kajian yang dijalankan Obesity Review, mereka yang mempunyai masalah obesiti mempunyai peratusan sebanyak 113% untuk dimasukkan ke Hospital, 74% dimasukkan ke ICU dan 48% kadar kematian berbanding dengan mereka yang mempunyai BMI yang normal.
MENGAPA OBESITI BERISIKO TINGGI
Pesakit Covid-19 yang mempunyai masalah obesiti merupakan dari golongan yang berisiko tinggi kerana lemak dalam badan meyukarkan pergerakan otot pernafasan, lantas menyebabkan kemampuan untuk paru-paru mengembang sepenuhnya sukar dan mengurangkan proses penggantian oksigen dan karbon dioksida.
Tambahan lagi, mereka dengan masalah obesiti asalnya mempunyai kecenderungan untuk berlakunya pembekuan/penggumpalan darah dalam salurannya. Ditambah lagi dengan bendasing seperti virus ini menyebabkan dinding sel mudah cedera dan memudahan proses pembekuan darah tersebut.
Selain itu, sistem imuniti badan juga menjadi lemah dan kurang efektif disebabkan tisu lemak menyelaputi atau mengganti tisu limpa, tulang sum-sum, thymus yang mengeluarkan sel-sel imuniti badan.
Akhir sekali, mereka juga menghadapi masalah keradangan kronik disebabkan tisu lemak yang banyak dan bilamana mereka dijangkiti Covid-19, masalah ini bertambah serius dan menyebabkan kekacauan dalam sistem badan.
OBESITI DI MALAYSIA
Malaysia merupakan juara obesiti di Asia Tenggara. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh World Population Review 2019. Malaysia merupakan negara yang mempunyai prevalen tertinggi dengan 15.9 peratus dan di ikuti oleh Brunei dan Thailand.
Berdasarkan laporan dari Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, 30.4% populasi dewasa adalah berat berlebihan dan 19.7% adalah obese yang menunjukkan kadar kenaikan dari tahun-tahun sebelumnya.
Ditambah pula dengan musim Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejak awal pandemik, menyebabkan kadar pengambilan makanan yang tidak sihat, juga kurangnya pergerakan dan ativiti luar mungkin menjadi cabarannya tersendiri bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti. Yang mana bila mereka dijangkiti Covid-19, risiko untuk mendapat simptom yang teruk adalah tinggi.
BELUM BOLEH LEKA
Sekarang negara sedang berhadapan dengan Variant Of Concern(VOC) seperti Varian Delta yang mana kadar jangkitannya 2 kali ganda lebih pantas dan mampu merebak dalam masa 15 saat di ruang yang tertutup.
Mereka yang menghidap varian ini pula mempunyai gejala yang teruk terutama pada orang muda, lebih-lebih lagi mereka yang tidak sempat divaksin. Obesiti pula menjadi masalah utama apabila pesakit muda ini tidak mempunyai masalah kesihatan yang lain.
Pengalaman penulis sendiri sepanjang menjaga Pusat Kuarantin, sudah beberapa kali kami merujuk ke Hospital mereka yang mempunyai masalah obesiti, dari tahap 2 menjadi tahap 4 pada bila-bila masa, ia ibarat bom jangka.
Kita mengharapkan agar tiada kemasukan VOC lain seperti Delta Plus dan Lambda yang kini menjadi igauan di beberapa negara lain. Jadi belum masanya kita leka.
Ambil peluang dalam keterbatasan pergerakan untuk tetap menjaga kesihatan. Memilih makanan yang berkhasiat, mengamalkan diet suku-suku-separuh dan terus kekal aktif dirumah dengan melakukan senaman dan regangan untuk membakar kalori.
Negara sekarang sudah bertukar status kepada Pelan Pemulihan Negara yang mana semua fasa membenarkan untuk kita keluar beriadah dengan SOP yang tertentu, ambillah peluang ini untuk mendapatkan BMI yang ideal. Rancang penurunan berat badan dan berdisiplin dalam pengamalannya.
Amalan mencegah lebih baik dari mengubati sudah sebati dan lama diajarkan dalam Islam. Kisah Umar Al Khattab yang melarang sahabat dari mempunyai perut boroi dan juga saranan dari hadis Nabi Muhammad saw dalam menjadi mukmin yang sihat harus kita insafi.
Islam mengambil asbab dan musabab dalam setiap perkara termasuklah dalam penyakit Covid-19. Selain menjaga pemakanan dan senaman. Jangan lupa untuk mengambil vaksin sebagai langkah pencegahan, teruskan pengamalan SOP supaya kita tidak menjadi punca penyakit kepada orang lain.
Tanggungjawab mencegah penyakit berjangkit adalah tanggungjawab kita bersama. Semoga kita saling berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesihatan.
Dr Indra Putra Asrar
Ahli Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia
(I-Medik)
Pegawai Perubatan PKRC UNI Klinik
No comments:
Post a Comment