Jika ada nasihat yang perlu diberi kepada adik-adik, anak-anak yang bersekolah, bagi menghadapi cabaran dan realiti dunia luar sekolah atau alam pekerjaan, maka aku rasa nasihat Imam Syafiee ini antara yang boleh di ambil.
Bertugas di klinik, berjumpa ramai dengan anak-anak muda lingkungan usia awal 20-an, ada yang setiap bulan hadir dengan sebab sakitnya badan bekerja, ada yang kerja berat di kilang, boleh difahami, ada yang kerja hanya perlu berdiri lama di bawah penyaman udara tetapi mendatangkan sakit badan, tulang belakang dan kaki.
Ada yang menyebut, setiap orang badannya berbeza, ya benar, tetapi secara umum, masih muda, masih bertenaga, jika pakcik-pakcik yang berumur 40-an ke atas boleh difahami, tetapi kamu?
Kini kamu sedar dunia pekerjaan bukan mudah, kerjanya ada yang sukar, ada yang nampak mudah tapi memenatkan, tetapi itulah jalan yang telah kita pilih, maka hadapilah dengan tabah. Memang sukar, tapi bertabahlah sepertimana ayah-ayahmu dulu tabah membesarkan diri kamu dengan kudratnya.
...
Berbalik kepada nasihat Imam Syafie, pengalaman di atas menyebabkan aku terfikir, bagi mereka yang masih di sekolah, bersungguhlah dalam menuntut ilmu, capai kejayaan, berpenat dalam belajar supaya pilihan kita lebih luas.
Mungkin pekerjaan yang akan kita dapat adalah memenatkan, tapi sekurang-kurangnya pekerjaan itu mendatangkan hasil yang lebih baik disebabkan ilmu yang dituntut sebelum ini.
Kadang-kadang, mungkin ada yang berkata, Doktor bolehlah cakap, kerja duduk sahaja, rileks. Tetapi harus anda sadar, pengorbanan dalam perjalanan menggapai segulung ijazah kedoktoran.
Jika di sekolah, hampir pasti, mereka ini tidak pernah ponteng sekolah, tidak pernah skip kelas, sentiasa berusaha dan tidak bermalasan, dihantar ke kelas tambahan siang dan malam. Maka usaha tidak mengkhianati hasil, man jadda wa jadda.
Akhirnya adalah doa, kerana yang mengizinkan kejayaan tersebut adalah Allah swt jua.
Jadi jika ada nasihat kepada adik-adik, inilah yang akan saya berikan, biar berpenat menuntut ilmu, supaya kita tidak perit menanggung kebodohan.
No comments:
Post a Comment