Sunday, April 27, 2014

- PENDAPAT I SUDAH TUTUPKAH PINTU PERSEPAKATAN? -

   Bagi pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir, bumi ini adalah bumi yang sungguh unik dan dilimpahi dengan lambakan ilmu samada  ilmu ketika di kuliah mahupun ilmu kehidupan. 

   Pelbagai coretan pengalaman dapat diukir bagi pelajar Malaysia di Mesir selama 6 ke 7 tahun menetap disini mahupun lebih. Dengan keadaan geopolitik dan sosial, termasuk corak pembelajaran yang memerlukan kegigihan seorang yang bergelar penuntut ilmu pasti diingati setelah tamat pembelajaran disini.

   Satu perkara yang unik juga untuk diketengahkan adalah dengan kepelbagaian persatuan yang wujud disini. Persatuan-persatuan ini menyediakan platform yang baik bagi seseorang pelajar itu untuk memantapkan skil kendiri, membina hubungan yang baik sesama manusia, mengajar mereka untuk berinteraksi dan mempelajari softskill yang diperlukan untuk masa akan datang.

 Selain itu, persatuan-persatuan yang wujud ini turut menyediakan ruang membina jatidiri mahasiswa yang berada di sini.

   Antara yang boleh ditonjolkan adalah persatuan seperti ISMA-Mesir, PERUBATAN, Kelab IKRAM-Mesir, HALUANSiswa-Mesir , Abim-Mesir, Kelab UMNO Mesir dan pelbagai lagi pertubuhan dan persatuan yang boleh disebut disini.

   Sebagai seorang mahasiswa yang telah menetap selama 5 tahun sebagai seorang pelajar perubatan di Mesir. Saya melihat ini adalah perkembangan positif dimana, ramai orang ataupun persatuan ini berdiri untuk memberi kebaikan kepada mahasiswa Malaysia di Mesir. 

   Masing-masing cuba memberi yang terbaik dalam membina jatidiri dan sikap mahasiswa disini.

   Akan tetapi, tidak dapat dinafikan terdapat kekurangan yang wujud apabila terdapat kepelbagaian seperti ini. Salah satu yang suka saya ketengahkan adalah kurangnya kesepakatan antara kita ataupun dikalangan persatuan di bumi Mesir ini.

  Saban tahun, irama seperti taadud jemaah, 'mencuri' pelajar menjadi siulan tahunan bagi sesetengah antara kita. Akhirnya perkara ini membawa kepada hasad dengki, sikap saling membenci yang jelas dilarang dalam agama kita.

 Islam mengajar kita untuk saling menyayangi diantara satu sama lain. Hal ini adalah kerana kita sesama umat Islam adalah bersaudara walaupun berbeza latar belakang, warna kulit mahupun persatuan. Allah SWT berfirman dalam surah Al Hujuurat ayat 10.


...انما المؤمنون اخوة فأصلحوا بين أخويكم
Yang bermaksud:

' Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu(yang berselisih)....

   Pilihan ada ditangan kita, samada  kita mahu terus berada dalam keadaan ini ataupun kita buka lembaran dan catatan baru dalam kehidupan berpersatuan di Mesir dan menjadi lebih terbuka terhadap persatuan-persatuan lain.

  ISMA-Mesir sendiri dalam usaha menuju kesepakatan dan keterbukaan dalam berpersatuan telah cuba mengadakan beberapa program yang melibatkan persatuan-persatuan lain. Begitu juga baru-baru ini, ISMA-Mesir telah memenuhi undangan HALUANSiswa-Mesir dalam program Open Talk 2.0 yang diadakan di Asrama Melayu Abbasiyah(ARMA) baru-baru ini. Bukankah ini sikap yang patut dicontohi?

   
Keterbukaan.
   Satu perkara yang perlu disedari oleh semua mahasiswa dan persatuan yang ada di Mesir ini. Generasi kita sedang menghadapi cabaran yang datang dalam bentuk pemikiran yang merosakkan anak bangsa kita. 

   Mahu atau tidak kita perlu menyediakan mahasiswa yang waie'(sedar) dan bersedia dalam menghadapi cabaran ini pabila pulang ke tanah air kelak. Kita patut menjadikan diri dan pemikiran kita sebagai mahasiswa yang mempunyai pemikiran kelas pertama. Mahasiswa intelektual yang faham tugasnya adalah memimpin masyarakat di masa hadapan.

   Saya berpandangan bahawa, persepakatan kecil disini mampu membawa kesan positif yang sangat besar di masa akan datang. Saya suka untuk mengambil contoh baru-baru ini apabila PERUBATAN mengadakan satu program yang membawa tema RISE. Dimana program ini membawa mahasiswa untuk sedar ancaman pemikiran seperti liberalisme yang sedang melanda anak muda kita.

   Saya nampak ini adalah satu titik yang boleh membawa persepakatan antara kita. Bukankah begitu? ISMA juga sedang giat melancarkan 'perang' terhadap pembawa ideologi-ideologi ini dalam siri-siri ceramah mereka.

  Maka adakah susah untuk kita join venture bersama dalam memberi pemahaman kepada mahasiswa Malaysia di Mesir ini. Ini adalah salah satu contohnya dan saya kira banyak lagi yang boleh dilakukan sebenarnya. Allah SWT berfirman dalam surah Al Maidah ayat 2.


...و تعا و نوا على البر والتقوى
Yang bermaksud:
' Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan taqwa....

   Akhir sekali, seperti yang saya tegaskan di awal tulisan. Pilihan itu ditangan kita sendiri. Pemimpin persatuan perlu berpandangan jauh, generasi kita adalah generasi yang bakal menggantikan pemimpin-pemimpin negara pada masa akan datang.

  Sekiranya kita terus memilih untuk ber'musuhan' maka tiada kata yang mampu diungkap. Mungkin antara langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk pecahkan tembok ais setinggi gunung ini adalah:

1. Mengadakan ziarah mahabbah rasmi diantara pimpinan persatuan.
2. Mengadakan sidang meja bulat diantara pimpinan persatuan.
3. Join Venture dalam isu-isu yang boleh kita sepakati.
4. Dan yang paling penting sekali adalah bersihkan hati.

Rasulullah SAW bersabda:

Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati. (HR Bukhari dan Muslim)

Wallahua'lam.



Indra Putra Asrar,
Setiausaha Cawangan
ISMA-Mesir Cawangan Iskandariah.

' Membangun Mahasiswa Beragenda'
'Melayu Sepakat Islam Berdaulat'



   

No comments: