Sunday, May 19, 2013

- [KERANA CINTA II ROME AKU DATANG] -






     " Next station is Ottavia, stazione successiva è Ottavia. "
  
   Operator Metro bawah tanah memberi peringatan kepada para penumpang yang menuju ke stesen Ottavia. Aku sedang duduk di sebuah kerusi panjang berdekatan dengan pintu Metro tersebut. Teknologinya tidak jauh dan lebih kurang dengan LRT di Malaysia. Aku tidak membazir masa sepanjang berada dalam Metro tersebut, ditangan, sebuah Quran tafsir berwarna hijau aku baca. Surah Ar-Rum yang dibaca.

     Beberapa orang foreigner memerhatikan aku. Mungkin agak pelik kerana aku membaca Quran disini. Aku sedar akan seorang penumpang yang duduk di sebelah sejak tadi memerhatikan aku dengan penuh minat. Quran ditangan aku tutup lalu memandangnya sambil tersenyum. " Come va? Sono venuto da Malaysia. Muslim Stato " aku cuba berbicara dengannya dalam bahasa Itali.

    Kami tidak mengambil masa yang lama untuk berkenalan. Namanya Alessio. Berbadan tegap dan tinggi dengan berwajah putih caucasian. Dia juga mahir bertutur dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris. Maka tidak menjadi masalah untuk kami saling berbual. Aku mengambil kesempatan dengan bertanya beberapa perkara tentang Rome dan Vatican City. Banyak perkara yang ada disini menarik perhatian aku. Beberapa minit selepas itu kami tiba di stesen Ottavio yang merupakan antara stesen yang terdekat untuk ke Vatican City.

    Pintu terbuka, aku bersalaman dengan Alessio dan sempat mengambil nombor telefonnya sebelum bergerak keluar dari Metro. Pintu ditutup, aku berdiri sebentar sambil melambai tangan pada Alessio. Aku gembira kerana bertemu pemuda sepertinya. Aku memerhatikan jam tangan Casio pada pergelangan tangan. Senja kian tiba dan matahari bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Aku mengambil tangga di sebelah kanan untuk naik ke atas. Aku mengikut sahaja tanda arah yang membawa aku ke tempat yang ingin aku tuju. Vatican City.

     .....

     Aku terpesona dengan keindahan senibina hebat yang diilhamkan Maha Pencipta kepada manusia. Nikmat kurnianNya yang dikurniakan kepada semua yang beriman dan tidak beriman membuktikan kasihNya Dia pada hamba-hambaNya. Seni ukiran dan binaan yang halus dan teliti menghiasi perjalanan aku ke Vatican City. Sebuah bandar yang terkenal dengan Pope dan majlis-majlis agama bagi penganut kristian. 

     Penduduk disini sangat peramah. Sikap mesra mereka ditunjukkan dengan melayan para tetamu yang bertandang dari seluruh pelusuk dunia dengan baik. Sekuntum senyuman manis pasti dihadiahkan kepada pengunjung setiap kali berselisih dengan mereka. Rakyatnya juga mempunyai tahap disiplin yang tinggi. Aku memerhatikan sekitar kaki lima dan setiap pelusuk jalan raya disini, tidak ada sebutir sampah pun yang bertebaran di jalanan. Anak-anak kecil aku lihat diajar untuk menjaga kebersihan dan kekemasan.

   Sedang asyik memerhatikan suasana indah yang ada pada bumi Allah Rome aku terlupa akan tujuan asal aku kesini. Aku tercegat di hujung simpang Via Del Corso Strada. Aku memerhatikan kiri dan kanan mencari papan tanda ke arah St. Peter Church. Hampa dalam pencarian tersebut aku mengambil keputusan untuk bertanya fluorist yang berada dihujung simpang tersebut. Otak bergerak menyusun ayat yang sesuai untuk bertanya. Aku bukanlah pakar bahasa. Hanya sedikit sebanyak membaca.

    " Mi scusi signore, quale strada devo prendere per andare a San Pietro Chiesa? " aku mengharap agar apa yang aku katakan ini betul pada tatabahasanya. Susah juga sekiranya aku salah terjemah bahasa Itali. Sesatlah aku gamaknya. " Oh, basta prendere la strada a sinistra e poi vedrete un negozio di caffè e poi andare dritto. " Penjual bunga itu membalas. Aku menggaru kepala sambil dahi terkerut dalam cuba memahami apa yang dikatakannya. Dia memahami bahawa aku tidak memahami bahasanya. Akhirnya dia mengambil sebatang pen dan sehelai kertas lalu melukis sebuah peta kearah St. Peter Church. " Grazie! " ucapan terima kasih aku ucapkan lalu berlalu pergi.

     .....

         
     Tikamana aku sampai, matahari hampir membenamkan dirinya. Sinaran cahaya berwarna kuning keemasan menyinari bangunan gereja yang dibina berdasarkan lakaran beberapa arkitek hebat seperti Donato Bramante, Michelangelo, Gianlorenzo Bernini dan beberapa orang lagi tokoh arkitek ternama. Stail bangunan yang diilhamkan dari zaman Reinassance dan Baroque menjadi hiasan pada dinding-dinding dan setiap pelusuk gereja tersebut.

    Gereja yang terletak di sebelah barat sungai Tiber dan berdekatan dengan Bukit Janiculum dan Hadrian's Mausoleum menjadi mercu tanda Vatican City. Sepertimana penganut agama Islam mempunyai Kaabah sebagai pusat ibadah bagi umat seleuruh dunia, maka gereja St Peter ini tidak hanya tertumpu sebagai tempat tumpuan pelancong sahaja. Tetapi seribu satu rahsia bagi penganut kristian tertanam disini.

     " Alhamdulillah sampai juga aku ke sini " hati kecil aku berbicara. Sebelum ini beberapa orang ahli keluarga aku dan beberapa orang sahabat membantah akan pemergian aku ke sini. Daripada menghabiskan wang ringgit kesini adalah lebih baik sekiranya aku membelanjakannya untuk perkara-perkara lain. Ataupun mengunakannya untuk menunaikan umrah dan sebagainya. Tetapi aku hanya memekakkan telinga. Kerana aku punya alasan untuk kesini. Aku ingin menghirup udara di bumi ini. Aku ingin sendiri menjejakkan kaki di atas tanah ini. Kerana dapat aku rasakan ini adalah bumi yang dijanjikan.

    Aku mengambil kesempatan untuk merakamkan beberapa gambar sekitar suasana indah disini. Aku dapat merasakan ketenangan di bumi ini. Namun aku juga dapati beberapa perkara yang hilang dari bumi ini. Aku tidak dapat merasai hidupnya ruh-ruh umat sepertimana aku rasa ketika menziarahi bumi Izzah Palestin pada satu masa dahulu.

.....

    " Ana ajak ikhwah semua untuk menelusuri kisah agung Sultan Muhammad Al-Fateh.... " kata-kata pembuka oleh Ustaz Qamar semasa aku menziarahinya beberapa bulan yang lalu. 

     " Didikan Islami yang telah di berikan kepadanya oleh orang tua dan guru-gurunya telah melahirkan seorang pemuda sehebat dia. Bagaimana tarbiyah dzatiah yang telah diterapkan dalam dirinya sejak dari kecil menjadikan dia sebagai pembuka Kota Konstatinople pada usianya 20-an. Cuba ikhwah fikir apa yag telah kita lakukan pada masa umur kita begini. Apa sumbangan yang telah kita lakukan untuk agama ini? " Ustaz Qamar menjentik minda kami untuk berfikir.

    Aku terdiam tatkala soalan itu diajukan kepada aku dan beberapa orang rakan. Aku diam dan tertunduk. Memandang lantai dan memuhasabah diri. Soalan itu cukup untuk memberi getaran dalam jiwa seorang pemuda seperti aku. Aku terus berdiam diri lalu memandang wajah Ustaz Qamar. Seorang murabbi agung yang banyak memberi kesedaran dalam membela agama ini. 

    " Hakikatnya pemuda kita pada zaman ini lemah, terlalu mudah tewas dengan nafsu. Ditambah pula dengan serangan pemikiran yang melanda dengan hedonisme yang menggila. Siapa lagi yang akan memegang panji agama ini melainkan antum yang berada dihadapan ana sekarang ini. Mulakan dari diri antum. Ummat ini tidak akan berubah melainkan jika setiap individu dalam masyarakat itu menginginkannya. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka sendiri mengubah dengan diri mereka sendiri."

    Aku mengangguk kepala tanda setuju.

     " Kota Konstatinople pernah dibebaskan oleh sebaik-baik panglima dan sebaik-baik tentera. Dimana mereka tidak pernah meninggalkan solat fardhu paling kurang. Ditambah juga dengan amalan penguat jiwa seperti qiamullail dan membaca ayat suci al-quran yang menjadi panduan dan cahaya perjalanan mereka. Maka disini siapa yang akan membebaskan Al-quds? siapa yang akan membebaskan negara kita dari taghut? Siapa lagi jika bukan antumlah orangnya. " kalam-kalam akhir Ustaz Qamar sebelum kami berpisah.

   " Satu lagi, Rom Timur sudah dibebaskan, siapa pula akan membebaskan Rom Barat? " satu persoalan terakhir yang dilontarkan Ustaz Qamar.

.....

     Pertemuan aku dengan Ustaz Qamar beberapa bulan lepas menjadikan aku nekad untuk menjejakkan kaki disini. Pada fikiran aku, Kota Konstatinople pernah dibebaskan. Maka kota Vatican ini siapa pula yang menjadi pemegang kuncinya? Disini aku menanam azam dan semangat. Untuk membina diri keluarga dan masyarakat. Aku yakin sepertimana Hagia Sophia di turki  pernah bertukar wajah dari gereja ke masjid, maka tidak mustahil St Peter juga bakal menjadi tempat umat Islam meletakkan dahi sujud kepada yang Maha Esa.

     Keadaan dan suasana disini tidak jauh bezanya dengan Palestin. Rakyatnya peramah, adab-adab sebagai seorang manusia itu terjaga. Suasananya juga tenang dan mendamaikan. Tetapi manusia yang mendiami ini tidak punya ruh. Ruh yang sukar diungkap dan digambarkan sekiranya kita tidak pernah menjejakkan kaki ke Palestin. Ruh Islami yang sebenar. Ruh kasihnya seorang manusia dalam mencari cinta Allah. Aku tidak menjumpainya disini. Maka dengan itu aku berjanji pada diri bahawa, aku akan menjadi antara batuan yang mengisi kekosongan dalam projek pembinaan agama ini. Dalam projek membina umat ini. Moga dengannya bumi yang dijanjikan ini terbebas dari fasad dan kesesatan kepada petunjuk yang berterusan.

    Buat kali terakhir, aku menatap bangunan setinggi 400 kaki ini. Sebelum aku pulang, aku sematkan dalam dada ini, bahawa akan ada dari keturunan aku yang menjejakkan kaki kesini. Membebaskan manusia dari rantaian nafsu yang mengikat manusia disini, kepada hakikat kemerdekaan dalam menjadi hamba kepada Tuhan sekalian alam. Sungguh, 2 bumi sama tanahnya, tapi berbeza isinya. Nantikan Rome, aku datang!!!
     

     
- Abu Mukhlis-
     

 

   























     

2 comments:

andy said...

assalammualaikum. just blogwalking n fall in love with ur writing. tq.

ANITA BINTI ATAN said...

anitaatan@ymail.com