Saturday, May 26, 2012
Sunday, May 20, 2012
-- BERBAKTI DEMI CINTA --
Tazkirah pada hari ini yang diberikan seorang akhi, benar-benar membuatkan diri terfikir panjang. Tajuk 'berbakti' menjadi pilihan tazkirah usai bermain futsal di kuliah tijarah sebentar tadi. Santapan jasmani yang diberikan kepada tubuh disusuli pula dengan santapan rohani untuk minda dan hati.
Katanya, seorang tentera yang sedang berjuang di medan perang. Berkorban segalanya termasuk nyawa dalam mempertahankan sebuah negara yang tercinta. Cinta kepada sebuah tempat mengajaknya untuk BERBAKTI dengan menyerahkan seluruh jiwa raganya.
Katanya lagi, cinta Qais kepada Laila membuatkan dia menjadi gila. Sanggup menyerahkan akal warasnya demi seseorang yang dicintai. Seseorang yang mabuk dengan cinta wanita sanggup menghabiskan masa, wang dan harta benda untuk diberikan kepada cintanya. Dengan ini dia BERBAKTI untuk seorang yang dicintai.
Mari pula kita lihat kasih seorang anak kepada kedua ibu bapanya. Cinta kepada orang tua membuatkan seorang anak sanggup menitiskan titik peluh dalam menjaga mereka. Dalam erti kata lain dia telah BERBAKTI kepada mereka pada hari tua. Si anak yang sayang akan kedua ibu bapanya akan membantu meringankan beban mereka, memikul tanggungjawab sebagai seorang anak yang soleh atau solehah.
Itu adalah contoh kepada perkara yang kita nampak di dunia.
Maka akhi tersebut mula menimbulkan persoalannya.
Bagaimana pula kita BERBAKTI kepada Tuhan yang Esa. Bagaimana kita mencurahkan BAKTI kepada Allah SWT?
Allah SWT yang telah menciptakan kita sebagai makluknya. Dikurniakan seribu satu nikmat ketika berada di dunia. Maka apakah yang telah kita berikan untuk membalas pemberianNya.
Cuba kita fikirkan selama hidup 20 tahun di dunia ini. Apa yang telah kita berikan dalam membalas segala kurnianNya?
Soalan ini ditanya pada diri ana, dan ana hanya mampu merenung jauh memikirkan masa-masa yang telah berlalu. Ana terfikir tentang perbuatan ana, sikap dan tindakan yang telah dilakukan selama ini. Tidak lain tidak bukan hanya membazir waktu di dalam kelalaian dari mengingatinya.
Berapa jam yang digunakan ketika berada di hadapan laptop dirumah. Berapa lama pula kita melayani FB yang tidak berkesudahan dengan 'scrolling'nya. Berapa banyak masa yang telah dibazirkan untuk perkara-perkara dunia.
Sedangkan Al-quran dihadapan mata menjadi perhiasan semata-mata. Qiamullail hilang entah kemana. Solat sunat pula sengaja ditinggalkan. Adakah ini cara kita BERBAKTI kepada Allah SWT?
Kadang-kadang kita terlalu asyik dengan dunia sehinggakan kita lupa untuk menambahkan kecintaan kepada yang Esa. Astaghfirullah.
Adakah perkara-perkara diatas dilakukan untuk membalas segala yang diberikanNya?
Muhasabah diri kita kembali. Adakah kita yang patut berbakti atau Allah pula yang berbakti kepada kita dengan limpah kurnia nikmatnya? Manifestasi cinta kepada Allah tidak kita timbulkan dan selalu pula dilupakakan. Ya Allah ampunkan dosaku ini. Banyak maksiat aku telah lakukan kepadaMu. Ampunkan aku ya Allah. Ampunkan Aku. :'(
Monday, May 14, 2012
-- UJIKAJI BOM ATOM USA DI LAUTAN PASIFIK-MUHASABAH BUAT MUSLIMIN SEMUA --
KISAH
Ada pada satu masa, apabila USA mengumumkan untuk menguji sebuah bom atom di sebuah kepulauan kecil di lautan Pasifik. Penduduk pulau yang terdiri dari nelayan telah diberi notis untuk berpindah ke sebuah tempat yang lebih baik hasil ikannya, mereka dijanjikan perumahan, bantuan kewangan dan lain-lain lagi.
Maka ada sebuah kumpulan dari mereka yang mempersiapkan diri dan mengikut arahan kerajaan mereka dan menuju ketempat yang disediakan. Ada pula sekumpulan dari mereka yang mengambil notis secara sambil lewa sehingga tiba saat-saat akhir ujian tersebut. Disana pula terdapat kumpulan yang terakhir yang mengatakan ini semua hanya sekadar konspirasi kerajaan USA untuk mengaut keuntungan dari mereka lalu di biarkan sahaja notis itu dan meneruskan kehidupan mereka seperti biasa.
KIASAN
Kisah diatas hanya sekadar kiasan kepada keadaan ummah pada zaman ini. Mereka yang sedar akan tibanya waktu kehancuran dan adanya dunia atau tempat selain dunia ini akan sedar dan mempersiapkan diri mereka dengan amalan kebaikan dan bertaubat diatas dosa-dosa yang dilakukan. Masa yang ada di isi dengan amal ibadah sebagai persediaan mereka di hari akhirat nanti.
Akan tetapi kita juga dapat lihat adanya manusia yang melengah-lengahkan taubatnya, meneruskan kehidupan dunia seperti biasa. Tidak mengambil cakna akan amaran yang diberikan dan tidak pula melihat nikmat-nikmat yang disediakan Allah SWT pada hari akhirat. Ibadahnya hanya dilakukan sambil lewa kerana mereka memikirkan kehidupan di dunia masih lama. Maka mereka ini menunggu sehingga saat akhir ibarat kiasan diatas, mereka menunggu sehingga bom atom meletup dahulu baru ingin ambil tahu.
Dan golongan yang terakhir yang dapat kita lihat adalah mereka yang 'ignorance' , mereka mengatakan bahawa hidup ini hanya sekadar didunia. Tidak ada dunia lain selain di bumi ini. Mereka tidak percaya pada janji-janji Allah SWT sepertimana nelayan tadi yang tidak mempercayai janji kerajaannya. Bagi mereka, setelah mereka mati, maka mereka akan tidur selama-lamanya dan tidak akan dibangkitkan kembali.
MUHASABAH
Maka disana ana mengajak semua untuk muhasabah diri. Ana mengaku bahawa diri ana juga tidaklah begitu sempurna, ada dosa-dosa ana yang tidak diketahui antum dan juga dosa-dosa antum yang tidak diketahui oleh orang lain. Maka sudahkan kita kembali bertaubat kepada Allah SWT sebelum nyawa kita ditarik Si Malaikat Pengambil Nyawa?
Muhasabah juga untuk diri kita, cuba letakkan dimana diri kita berada dalam 3 golongan diatas ini. Pilihan ditangan kita, Allah SWT mengurniakan akal fikiran kepada kita untuk memilih mana jalan yang terbaik untuk diri kita. 2 jalan diberikan, syurga atau neraka. Maka buatlah pilihan untuk kebaikan diri kita. Hanya orang yang hilang kewarasan akal sahaja yang akan mengatakan aku mahu masuk neraka, jadi aku ingin melakukan dosa sentiasa.
Akhirnya, kembalilah kita untuk berdoa dan bertaubat kepada Allah SWT diatas dosa-dosa kita. Sesali perbuatan dan dosa kita yang lalu dan tinggalkan segala amalan buruk kita. Ingat, zaman kita adalah zaman di penghujung dunia, adakah kita masih fikir kita masih ada masa?
Wallahua3lam.
Saturday, May 5, 2012
Thursday, May 3, 2012
-- GAMBARAN KEHIDUPAN --
Gambaran kehidupan, apabila ditanya mas'ul dan dimintanya untuk dilukis dalam sehelai kertas putih. 'Lukiskan apa yang antum rasa tentang kehidupan' katanya.
Otak mula ligat berfikir, lalu terzahir sebuah lukisan picisan dari minda. Dari minda ke tangan menterjemah maksud kehidupan dari akal menjadi lukisan.
Wahai orang2 beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari azab api neraka...... At Tahrim 66:6 |
Dalam perjalanan kehidupan, bermula berseorangan lalu berdua mempunyai pasangan lalu membentuk masyarakat yang berusaha membawa syiar2 Islam ke tempatnya.
Perjalanan menuju kesyurga bukan untuk seorang. Tapi perlu untuk memimpin tangan mereka yang berada disekeliling kita. Meredah onak cabaran,menangkis madu dunia untuk peroleh madu akhirat yang selamanya.
Maka ini adalah perjalanan kehidupan, yang ku bentangkan. Ada betul dan ada kurang. Yang penting jangan lah kita jadi manusia biasa, yang hidupnya hanya pada dunia tidak bermatlamatkan akhirat.
Bina matlamat, bina agenda. Membawa umat kearah redhaNya.
Subscribe to:
Posts (Atom)