KISAH
Ada pada satu masa, apabila USA mengumumkan untuk menguji sebuah bom atom di sebuah kepulauan kecil di lautan Pasifik. Penduduk pulau yang terdiri dari nelayan telah diberi notis untuk berpindah ke sebuah tempat yang lebih baik hasil ikannya, mereka dijanjikan perumahan, bantuan kewangan dan lain-lain lagi.
Maka ada sebuah kumpulan dari mereka yang mempersiapkan diri dan mengikut arahan kerajaan mereka dan menuju ketempat yang disediakan. Ada pula sekumpulan dari mereka yang mengambil notis secara sambil lewa sehingga tiba saat-saat akhir ujian tersebut. Disana pula terdapat kumpulan yang terakhir yang mengatakan ini semua hanya sekadar konspirasi kerajaan USA untuk mengaut keuntungan dari mereka lalu di biarkan sahaja notis itu dan meneruskan kehidupan mereka seperti biasa.
KIASAN
Kisah diatas hanya sekadar kiasan kepada keadaan ummah pada zaman ini. Mereka yang sedar akan tibanya waktu kehancuran dan adanya dunia atau tempat selain dunia ini akan sedar dan mempersiapkan diri mereka dengan amalan kebaikan dan bertaubat diatas dosa-dosa yang dilakukan. Masa yang ada di isi dengan amal ibadah sebagai persediaan mereka di hari akhirat nanti.
Akan tetapi kita juga dapat lihat adanya manusia yang melengah-lengahkan taubatnya, meneruskan kehidupan dunia seperti biasa. Tidak mengambil cakna akan amaran yang diberikan dan tidak pula melihat nikmat-nikmat yang disediakan Allah SWT pada hari akhirat. Ibadahnya hanya dilakukan sambil lewa kerana mereka memikirkan kehidupan di dunia masih lama. Maka mereka ini menunggu sehingga saat akhir ibarat kiasan diatas, mereka menunggu sehingga bom atom meletup dahulu baru ingin ambil tahu.
Dan golongan yang terakhir yang dapat kita lihat adalah mereka yang 'ignorance' , mereka mengatakan bahawa hidup ini hanya sekadar didunia. Tidak ada dunia lain selain di bumi ini. Mereka tidak percaya pada janji-janji Allah SWT sepertimana nelayan tadi yang tidak mempercayai janji kerajaannya. Bagi mereka, setelah mereka mati, maka mereka akan tidur selama-lamanya dan tidak akan dibangkitkan kembali.
MUHASABAH
Maka disana ana mengajak semua untuk muhasabah diri. Ana mengaku bahawa diri ana juga tidaklah begitu sempurna, ada dosa-dosa ana yang tidak diketahui antum dan juga dosa-dosa antum yang tidak diketahui oleh orang lain. Maka sudahkan kita kembali bertaubat kepada Allah SWT sebelum nyawa kita ditarik Si Malaikat Pengambil Nyawa?
Muhasabah juga untuk diri kita, cuba letakkan dimana diri kita berada dalam 3 golongan diatas ini. Pilihan ditangan kita, Allah SWT mengurniakan akal fikiran kepada kita untuk memilih mana jalan yang terbaik untuk diri kita. 2 jalan diberikan, syurga atau neraka. Maka buatlah pilihan untuk kebaikan diri kita. Hanya orang yang hilang kewarasan akal sahaja yang akan mengatakan aku mahu masuk neraka, jadi aku ingin melakukan dosa sentiasa.
Akhirnya, kembalilah kita untuk berdoa dan bertaubat kepada Allah SWT diatas dosa-dosa kita. Sesali perbuatan dan dosa kita yang lalu dan tinggalkan segala amalan buruk kita. Ingat, zaman kita adalah zaman di penghujung dunia, adakah kita masih fikir kita masih ada masa?
Wallahua3lam.
No comments:
Post a Comment