Perkongsian yang baik saya tularkan dari Ust Firdaus Zalani.
ISLAM MEMULIAKAN TUKANG MASAK
Di dalam syariat Islam, ulama menyebutkan terdapat tiga bentuk pensyariatan Islam yang berlaku ketika diturunkan pada Nabi SAW. Salah satunya ialah membetulkan salah faham konsep amalan yang dilakukan oleh arab jahiliyah ketika itu. Banyak contohnya seperti amalan perkahwinan, talak, jual beli, berdoa, tawaf dll.
Antara perkara tersebut juga ialah menjadi menyediakan makanan atau menjadi tukang masak. Zaman tersebut masyarakat jahiliyah memandangbahawa orang yang bekerja menyediakan makanan adalah satu kerja yang hina, sedangkan orang yang duduk di atas meja menunggu makanan ialah orang yg tinggi kedudukannya.
Oleh sebab itu banyak kerja memasak hanya diberikan pada hamba atau golongan wanita kerana kedua kelompok ini dipandang hina oleh masyarakat.
Namun apabila hadirnya Islam, fahaman ini telah diperbetulkan. Antara cara Islam mendidik untuk memandang tinggi perbuatan ini adalah dengan mengambarkan besarnya ganjaran pahala perbuatan memberi makan. Sehinggakan seolah-olah hampir tiada amalan lain yang setanding amalan menyediakan makanan ini. Sabda Nabi SAW:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
"Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahala tersebut"
Menarik jika kita menghayati hadis ini kerana Allah bukan sahaja meletakkan satu ganjaran yang amat besar, bahkan terdapat penegasan tidak akan berkurang pahalanya walaupun sedikit.
Disebut dalam kitab Riyadus Solihin bahawa antara sebab besarnya pahala memberi makan ini adalah dengan makanan itu ianya menjadi sumber tenaga utk orang lain melakukan ibadah pada malam harinya. Maka selayaknya dia diganjari dengan pahala yang besar.
Ketika Islam sudah memuliakan amalan ini sejak ribuan tahun, barat hanya dapat menyedari perkara ini pada kurun ke 19 dengan diperkenalkan istilah 'chef' sebagai satu kerjaya menyediakan makanan.
Oleh itu bersempena Ramadan ini, beruntung serta bergembiralah bagi ibu-ibu dan kakak-kakak yang bersungguh menyediakan makanan yang terbaik untuk keluarga, kawan-kawan atau masyarakat di sekeliling mereka. Alangkah ruginya pula mereka yang terus duduk menanti makanan kerana dia sudah terlepas antara 'diskaun besar' yang Allah janjikan bersempena pesta Ramadan ini.
Jadi tunggu apa lagi? bangun dan sediakanlah makanan untuk berbuka walaupun dengan sebiji tamar.
Ust Muhd Firdaus Zalani
Pegawai MUIS
Pegawai MUIS
No comments:
Post a Comment