Saturday, August 31, 2019

RENCAH RAKYAT MALAYSIA

Merdeka Walk anjuran Jabatan Kecemasan Dan Trauma HKL

Baru sahaja kita menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia ke-62. Tarikh keramat 31 Ogos 1957 sentiasa dirai saban tahun oleh seluruh rakyat Malaysia yang mensyukuri nikmat kebebasan dari penjajahan selama beratus tahun oleh kuasa luar. Era penjajahan tamat setelah turunnya bendera Union Jack dan naiknya  bendera Malaysia yang kini bergelar Jalur Gemiilang.

Laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman di stadium Merdeka telah disahut oleh rakyat Malaysia pelbagai bangsa pada tarikh ini. Kita imbas semula detik bersejarah yang telah dirakam pada masa tersebut, languan 'Merdeka', 'Merdeka', 'Merdeka' dilontarkan oleh Tunku dan gema suara rakyat Malaysia menyahut seruan kemerdekaan yang dilaungkan.

Nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini bukanlah mudah, penuh dengan liku dan darah. Jiwa raga dan harta rakyat Malaysia yang cintakan kemerdekaan pada masa itu telah diberikan sepenuhnya bagi membayar sebuah harga bernama kemerdekaan. Nenek moyang kita telah mengorbankan apa yang mereka ada untuk menggapai kejayaan ini.

Jika kita ingat, Malaysia adalah antara negara yang berjaya melepaskan diri dari cengkaman penjajahan fizikal British melalui kebijaksanaan beberapa pemimpin kita. Antara nama yang boleh disebut, Tunku Abdul Rahman sendiri, Tun V.T Sambathan, Encik Ong Yoke Lin dan beberapa wakil delegasi ke London. Kita tidak mengangkat senjata, tetapi mereka bijak menggunakan kata-kata diplomasi dalam mencapai kejayaan ini.

Dalam tempoh masa 6 dasawarsa ini, Malaysia telah menggapai pelbagai kejayaan yang membanggakan. Rakyat kita telah menaikkan nama Malaysia dalam pelbagai bidang di peringkat antarabangsa. Siri-siri kejayaan di persada dunia telah dipamerkan satu persatu  oleh anak watan kita.
Sebagai contoh terdekat dan hangat baru-baru ini pabila beberapa buah syarikat animasi tempatan berjaya menghasilkan filem animasi tempatan yang sama hebat atau jauh lebih hebat dari syarikat animasi luar negara.

Lagenda badminton negara seperti Dato' Lee Chong Wei, pelumba basikal seperti Azizulhasni Awang yang digelar Pocket Rocket Man, telah membuktikan, susuk tubuh kecil ini mempunyai jiwa dan  azam yang besar, dan cita-cita yang tinggi. Mereka adalah contoh hidup yang harus kita ambil pedoman dalam aspek memajukan diri, bangsa dan negara.

Malaysia selama ini merupakan sebuah negara yang aman dan unik. Walaupun adakala badai melanda, kita sama-sama berpegangan tangan memegang tanggungjawab masing-masing dalam memastikan Malaysia terus berada dalam keadaan aman.

Negara kita dicemburui negara luar kerana keunikannya selama ini. Malaysia yang kita sedia tahu, terdiri daripada pelbagai bangsa, etnik dan warna kulit. Di dalamnya pula terdapat pelbagai bahasa dan dialek. Pelbagai jenis seni dan budaya yang indah dapat kita lihat di negara kita. Warna-warni Malaysia yang indah ini hendaklah dipelihara oleh kita sendiri, rakyat Malaysia.

Dalam kepelbagaian di Malaysia ini, orang luar sering tertanya apakah resipi dan rencah yang diamalkan rakyat negara ini dalam menangani perbezaan adat, budaya, bahasa dan bangsa. Kita dapat lihat contoh-contoh di negara barat dalam isu melibatkan rasisme  melampau seperti ugut, tindakan fizikal dan mental sehingga sanggup membunuh. Tidak dinafikan, ada beberapa isu yang kini berlaku di Malaysia, tetapi hendaklah kita tangani dengan berhemah dan bijaksana.

Kadang-kadang kita terfikir, apakah kriteria sesuai untuk mengatakan kita adalah rakyat Malaysia. Jika di ibaratkan seperti bekas, maka apakah isi yang mewarnai bekas tersebut sehingga ia layak ditampal dengan jenama bernama "MALAYSIA'. Saya kira jawapan kepada ini merupakan satu formula yang sebenarnya mampu menjadikan rakyat Malaysia satu hati dan bersatu padu walaupun dari berlainan latar belakang.

Adakah dengan hanya mempunyai kad pengenalan bewarna biru dan tertulis di atasnya warganegara  maka ia sudah menjadikan kita seorang rakyat Malaysia? Ataupun adakah  mereka yang telah berpuluh tahun menjejakkan kaki ke tanah ini, maka di kira sebagai seorang rakyat Malaysia?  Adakah dengan anda mengibarkan Jalur Gemilang sudah membuatkan anda di kira sebagai rakyat Malaysia? Apakah isi rupa seorang yang mengaku dia adalah rakyat Malaysia? Anda pernah terfikir?

Sudut pandang saya adalah, dalam kepelbagaian dan perbezaan ini mesti ada satu persamaan yang dikongsi bersama. Maka persoalan seterusnya untuk kita fikirkan adalah, apakah ciri-ciri persamaan yang patut kita kongsi.

Pada artikel ini saya ingin berkongi tentang identiti. Dan pada hari kemerdekaan ini, ingin saya ketengahkan satu sudut pandang yang sekiranya diperkasakan, dapat membuka lembaran baru kearah Malaysia yang bersatu padu. Apakah identiti tersbut?

Identiti seorang rakyat Malaysia bukan sahaja terletak pada kad pengenalan anda. Tetapi pertututran harian, adat ketimuran, mengetahui dan mencintai sejarah dan budaya Malaysia, dan mensyukuri segala keamanan dan nikmat yang kita kecapi selama ini. Bahasa bagi saya adalah medium penting dalam menyampaikan, menerima dan memahami maklumat seharian. Bahasa adalah medium perpaduan.

Saya kira logik untuk kita kuasai bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu yang kini digelar bahasa Malaysia. Pelik, sebagai contoh, jika seorang rakyat Jepun, Rusia, Korea, mahupun Jerman tidak mampu menuturkan bahasa asal di negara terbabit dalam perbualan seharian. Memandangkan bahasa adalah alat penghubung sesama manusia, saya kira bahasa Malaysia adalah saalah satu ciri yang wajib ada pada seseorang yang menggelarkan dirinya rakyat Malaysia.

Kesukaran dalam berkomunikasi menyebabkan mudah berlaku salah faham sesama kita. Saya tidak pasti apa yang menghalang dari seorang rakyat Malaysia dari berbahasa kebangsaan dengan baik. Saya berpandangan bahawa pihak berwajib harus mengutamakan kebolehan rakyat mereka dalam menguasai bahasa Malaysia terlebih dahulu berbanding memperkenalkan tulisan jawi. Ataupun peratus dalam memperbaiki kebolehan berbahasa Malaysia lebih patut diutamakan.

Ada banyak sudut lain mengenai identiti seorang rakyat Malaysia yang boleh kita utarakan, antara lain. hendaklah kita memahami sejarah terbentuknya negara Malaysia, dan mengakui identiti negara ini, Islam merupakan agama rasmi Persekutuan, hendaklah kita menghormati hak-hak bumiputera dan kontrak sosial yang telah dibina. Harga sebuah kerakyatan di sebuah negara yang aman amatlah mahal. Disebabkan beberapa kelompok masyarakat yang tidak mahu memahami dan menerima sejarah Malaysia menyebabkan regangnya hubungan sesama kita rakyat Malaysia.

Seorang ibu yang menyayangi anaknya pasti sanggup berbuat apa sahaja untuk anaknya. Jika demam anaknya, ibulah yang menjadi penjaga malam yang setia melayan permintaan si anak yang sedang sakit. Begitulah rakyat kepada sebuah negara merdeka. Tindakan dan pengorbanannya terhadap negara adalah ikhlas. Sanggup mengorbankan jiwa dan raganya untuk negara. Persoalan yang ingin saya lontarkan kepada semua rakyat Malaysia adalah, adakah anda sanggup berikan segalanya dan tidak lari apabila negara menghadapi musibah.

Persoalan ini harus dijawab dalam hati masing-masing dengan penuh ikhlas. Secara peribadi saya sering membayangkan jika peristwa Lahad Datu yang berlaku sebelum ini berulang kembali di tempat saya sendiri. Adakah saya akan menjalankan tanggungjawab bersesuaian sebagai seorang rakyat Malaysia? Adakah kita bersedia mengorbankan apa yang kita ada untuk negara? Jika anda menjawab ya dengan penuh ikhlas, saya pasti anda rakyat Malaysia sejati.

Tetapi contoh yang saya berikan di atas adalah contoh ekstrem yang jarang berlaku. Contoh yang dekat dengan kita sepertimana nama-nama tokoh yang telah saya sebut diatas, yang memberikan segalanya dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Maka bersungguhlah dalam apa jua bidang yang kita ceburi supaya usaha kita memberi manfaat kepada masyarakat dan negara. Sepertimana kesungguhan yang ditunjukkan mereka.

Kesimpulannya, menjadi susuk tubuh bergelar rakyat Malaysia  bukan hanya pada kad pengenalan sahaja. Untuk mencapai kesepakatan dan perpaduan yang utuh, rakyat Malaysia tidak kira bangsa perlu menonjolkan persamaan yang ada pada setiap wajah kita. Bahasa, sejarah, budaya, patriotisme dan pelbagai lagi rencah yang perlu disebatikan dalam jiwa. Jika tidak ada persamaan dan persefahaman sebegini, maka akan kekallah kita dalam kelompok bangsa masing-masing, tanpa memperdulikan orang lain. Tidak layak rasanya bergelar rakyat Malaysia jika aspirasi dan asas identiti negara gagal untuk kita kuasai.

Dengan sambutan kemerdekaan ke-62 ini, saya menyeru semua rakyat Malaysia. Merdekakan diri kita dari ego yang membelenggu jiwa selama ini. Cari titik persamaan, dan hormati perbezaan. Semoga tahun-tahun mendatang adalah tahun yang lebih baik untuk Malaysia. Saya sayang semua bangsa di Malaysia, saya sayang akan keamanan yang dikecapi selama ini. Akhir kata, Sayangi Malaysiaku.






No comments: