Sunday, March 6, 2011

KELUH KESAH SIFAT SEMULAJADI NAFSU MANUSIA

Keluh kesah, kesusahan, kepenatan dan kepayahan adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia kerana ia sifat-sifat kehidupan yang sebenarnya. Kehidupan tanpa keluh kesah, tanpa rintangan, tanpa kesusahan, tanpa kepenatan adalah hambar, kematian. Ia adalah sunnah kehidupan yang telah ditentukan oleh Allah swt.

Banyak ayat-ayat Allah swt yang menunjukkan bahawa manusia itu diciptakan dalam keadaan keluh kesah, kepenatan dan kesusahan.

Maksudnya, “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)
(al-Balad 90:4)

Maksudnya, “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut)”.
(al-Ma’rij 70:19)

Maksudnya, “Wahai manusia! Sesungguhnya Engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) Dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian Engkau tetap menemui balasan apa Yang Engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).”

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana kita mahu keluar daripada belenggu kesusahan, kepenatan dan keluh kesah ini. Adakah ini ketentuan Tuhan kepada kita sehingga kita tidak berhak untuk berusaha mengelak daripada mengalaminya?

Allah swt secara jelas dan terang mengingatkan kepada kita tentang kesusahan dan kesukaran ini hanya di alami oleh manusia yang jauh daripada hidayah Allah swt.

Dalam ayat yang sama (al-Balad 90:5-9, al-Ma’arij 70: 22-35) menegaskan pengecualian kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada terkena penyakit keluh kesah dan kesusahan jiwa dan rohani.

Dalam surah al-Ma’arij (70:22-35), Allah swt telah menamakan tujuh golongan yang terkecuali daripada mengalami penyakit keluh kesah dan kesusahan jiwa. 

Tujuh golongan yang terkecuali daripada mengalami keluh kesah ialah mereka yang mengerjakan solat, bersedekah, meyakini hari pembalasan, menjaga faraj dan kehormatan diri, menjaga amanah dan janji, menjadi saksi yang adil dan jujur serta memelihara solat.

Antara punca utama kenapa seseorang itu mengalami keluh kesah ialah kerana memiliki hati yang kotor dan rosak. 

Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah saw yang mafhumnya ialah hati itu adalah umpama raja yang memerintah segala anggota badan manusia. Apabila hati itu bersih dan suci maka eloklah budi dan perangai anggota badan manusia, namun begitu, sekiranya hati itu buruk dan rosak, maka rosaklah perangai dan hati budi manusia itu.

Sebab itulah para ulama dan cendekiawan Islam banyak menyentuh soal hati dan jiwa ketika membicarakan tentang rawatan penyakit rohani dan pengawalan tingkah laku manusia.
Stres atau tekanan perasaan atau keluh kesah ini biasanya akan dialami oleh orang-orang yang dalam dirinya ada sifat dengki, iri hati, cemburu, benci, berperasangka buruk pada orang lain, suka menjaga tepi kain orang, tidak pernah merasa puas dengan apa yang ada dan lain-lain sifat buruk lagi.

Ajaran Islam telah memandu dan membimbing umatnya agar mengurus sifat keluh kesah atau stress ini dengan bijak dan berkesan. Sunah Rasulullah saw dan cara hidup baginda banyak menceritakan bagaimana yang harus kita lakukan apabila mengalami perasaan yang tertekan atau stres.

Antara cara yang di ajar oleh Rasulullah saw dan para sahabat menangani stres dan tekanan perasaan ialah seperti berikut;

1- Berehat – bertenang seketika, ambil nafas.. hembus…

Kisah Rasulullah saw yang sedang kepenatan kerana melaksanakan tugas-tugas harian atau tertekan dengan sesuatu perkara, Baginda akan menunaikan solat dengan segera. Baginda biasanya akan memanggil Bilal yang mengajak Bilal mengerjakan solat. “Marilah kita berehat dengan mengerjakan solat wahai Bilal” 

Bagi Rasulullah saw, solat adalah kerehatan, keamanan, rasa selamat, rasa tenang dan terlindung, kerana solat itu menghubungkan kita terus dengan Allah swt. Kita boleh berbicara dan mengadu masalah kita kepada Allah secara langsung dan terus tanpa orang tengah…

Maksudnya, “dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang Yang khusyuk. 
(al-Baqarah 2:45)


2- Mencari kawan yang boleh memberi nasihat atau orang yang terdekat seperti ibu, ayah, suami, isteri atau anak-anak dan lain-lain…ceritakan apa perasaan anda…

Kisah Abu Bakar dengan Rasulullah dalam Gua Thur.. Abu Bakar sudah sangat cemas dan ketakutan, bimbang orang Kafir Quraisy nampak beliau dan Rasulullah dalam gua Thur tersebut… Rasulullah saw memberi kata semangat dan menenangkan Abu Bakar dengan berkata,, “ jangan engkau takut dan jangan engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”.

3- Berzikir menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya…beristighfar banyak-banyak Ingatlah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang (al-Ra’d 13:28). Percayalah anda akan merasai kenikmatannya, sekiranya anda betul-betul ikhlas mengingati Allah dan berzikir padaNya.

Imam al-Bukhari ada membuat perumpamaan antara orang yang berzikir mengingati Allah dengan orang yang tidak mengingati Allah swt.. seperti orang yang hidup dengan orang yang mati….

Maksudnya, “(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.”
(al-Imran 3:191)

Percayalah, inilah ubatnya. Inilah penawarnya dari segala penawar, hanya Allah swt sahaja yang boleh memberikan anda rasa gembira, rasa bahagia dalam hati, sebagaimana Dialah juga yang boleh mencampakkan rasa duka, rasa sedih dan tertekan dalam jiwa.

Maksudnya, “dan Bahawa sesungguhnya, Dia lah Yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis, dan bahawa sesungguhnya, Dia lah Yang mematikan dan menghidupkan”.
(al-Najm 43-44)

4- Bersedia untuk memberi kemaafan

Memang sangat susah untuk kita memaafkan kesalahan orang pada kita, tetapi itulah hakikatnya. Sekiranya mahu jiwa rasa tenang, rasa aman, rasa tenteram ... maafkanlah. Sesungguhnya Allah sangat suka kepada orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain (al-Imran 3:134).

Kisah Rasulullah saw dengan perempuan Yahudi yang suka menyakiti baginda dengan meletakkan najis dan berbagai-bagai-bagai halangan di laluan Rasulullah saw... suatu hari jalan yang biasa dilalui Rasulullah tidak mempunyai apa-apa rintangan... Apabila baginda bertanya sahabat... rupa-rupanya perempuan Yahudi tu jatuh sakit... Rasulullah saw pergi melawat perempuan tersebut, memaafkan kesalahannya dan membawa buah tangan sewaktu melawatnya...akhirnya perempuan itu memeluk agama Islam..

Kisah Rasulullah dengan Arab Badwi yang kencing di dalam masjid... Para sahabat sudah mula memarahi Arab Badwi tersebut sebab biadab di hadapan Rasulullah dan pengotor... Rasulullah saw melarang sahabat daripada memukul Arab Badwi tersebut... Rasulullah mengambil air dan mencurahkan sahaja di tempat kencing tersebut.

Begitulah sebenarnya hakikat stres yang dialami oleh ramai orang pada hari ini. Islam telah menunjukkan kita jalan yang sebenar dan penyelesaian yang hakiki bagi jiwa-jiwa yang belum merdeka kepada Tuhannya.

Hanya kembali kepada Tuhan, menyerah diri kepadaNya, bertawakal, bersabar dan bersyukur dengan pemberian dan nikmatNya sahaja yang dapat mengubat segala gundah gulana dalam hati manusia.

Hati manusia adalah milik Allah swt. Mohonlah kepada pemilik hati itu kebahagian, ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan.


____________________________________________________________________


*copied from here

No comments: