Aku tersedar dari pembaringanku. Penglihatanku masih kurang jelas, mamai mungkin disebabkan oleh ketiduran yang amat panjang. Aku tidak pasti sudah berapa lama aku tertidur disini. Masa yang wujud seakan-akan tidak dapat dirasai. Mungkin setahun, mungkin lebih dari itu. Lantas ku buka mataku luas-luas untuk melihat keadaan sekeliling. Kornea mataku membesar, akan tetapi sedikit sekali cahaya yang menembusinya. Keadaan di sekililingku gelap, legam, tidak ada yang boleh dilihat. Yang hanya mampu ku pandang, adalah kegelapan, kegelapan satu ruang yang tidak diketahui luasnya. Seakan-akan ruang ini tiada hujungnya, dimanakah penamatnya menjadi titik persoalanku. Dimanakah aku sekarang?
Kakiku melangkah berat, sepertinya ditimpa batu konkrit bertan-tan beratnya. Amat perlahan perjalananku, lalu kutunduk dan mengesot sedikit demi sedikit. Aku meraba-raba dalam kegelapan cuba mencari tempat untuk berpaut supaya aku boleh gagah berdiri, tetapi tidak ada sesuatu yang kutemui. Yang ada hanya jaringan kosong yang diisi kegelapan yang menakutkan. Aku cuba bersuara, memanggil nama-nama mereka yang kusayagi. Malangnya kerongkongku bagai disumbat sesuatu, aku tidak mampu untuk bersuara. Tekakku berasa sakit, ingin sekali ku menikamnya, bagi menghilangkan kepedihan itu. Ya Allah apakah seksaan ini. Apakah salahku sehingga diseksa begini. Dimanakah aku Ya Allah. Aku meraung tanpa suara, hanya suara hati yang kuat kedengaran. Meminta petunjuk dari tuhan supaya memberikanku jalan.
Lama-kelamaan aku dapat melihat cahaya putih terang benderang. Datangnya dari penjuru selatan, seakan-akan melambai kepadaku. aku tahu yang ia cuba untuk memanggilku. Lantas ku kuatkan azamku, kugagahi juga diriku untuk berjalan kearah cahaya itu. Semakin lama semakin dekat. Cahaya yang terang itu tidak membenarkan aku, untuk melihat sebuah wajah, yang terlindung disebaliknya.
"Wahai Hamba Allah, sudah sedarkah kamu", kelihatannya cahaya itu berkata-kata.
"Sedar akan apa? Apakah yang perlu disedarkan?" lantas aku bertanya
"Apa yang dapat kau lihat sebentar sahaja tadi?"
Aku terfikir sejenak lantas menjawab.
"Aku melihat keadaan sekelilingku gelap gelita, tidak ada tempat untukku berpaut, langkahku menjadi berat seakan-akan aku membawa beban yang tidak mampu untuk aku menanggungnya."aku menjawab.
"Apakah tidak kau sedar lagi, kau sedang berada dalam kegelapan hatimu sendiri"
"Inilah hati yang dipenuhi kemaksiatan, hati seorang munafik, yang sentiasa melawan dan menentang perintah Allah SWT."
"Engkau sendiri boleh melihat betapa hitamnya, kotornya hati ini. Hati yang tidak pernah dibuka untuk mendengar ayat-ayat suci. Hati yang sedah dicemari dengan titik maksiat."
Aku mendengar satu demi satu perkataan yang dikeluarkan cahaya itu. Perkataan yang turun bagaikan guruh, menyambar jantungku satu persatu lantas menjadikannya 'in the state of tachycardia'.
"Tapi telah aku melakukan sedaya upaya aku untuk berubah tetapi tidak boleh" aku cuba mempertahankan diriku.
"Adakah kau pasti kau telah melakukannya dengan sungguh-sungguh? Apakah kau pasti amalan yang kau lakukan telah sempurna? Bagaimana pula dengan solatmu. Adakah kau meletakkan dahi kau mencecah bumi dengan niat hanya untukNya? Cuba kau tanya diri kau semula, khusyukkah solatmu itu. Bagaimana solat yang tidak khusyuk akan menjamin kau terhindar dari maksiat?" balasnya semula.
Setiap kata-katanya ada benarnya. Selama ini solatku tidak pernah khusyuk, penuh dengan lopak-lopak kosong yang diisi dengan kelemahan diriku. Tidak pernah pula aku selama ini terfikir mengenai perkara ini. Selama ku bersujud selama itu fikiranku melayang, terbang tinggi ke angkasa yang tiada penghujungnya. Ada kebenaran dalm kata-katanya.
"Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubahnya dengan usaha mereka sendiri, maka kau sepatutnya berusaha mengubah diri kau. Untuk kau menjadi lebih baik maka kau perlu berusaha, banyakkan berdoa dan diakhiri dengan tawakkal kepadaNya? Pernah kau buat semua itu?" katanya lagi.
Secara tiba-tiba aku dapat merasakan gegaran yang Maha dasyat. Ibarata gempa bumi yang bila-bila masa bakal dilanda tsunami. Kegelapan yang berada disekelilingku retak menjadi seribu malahan lebih dari itu. Selang beberapa minit berkecai segalanya menjadi debu. Aku tergumam dan tidak terkata dengan kejadian itu. Mataku terasa memberat, aku mahu membukanya tetapi ia seakan-akan berdegil dan tidak mengikut arahan tuaannya. Pandanganku semakin kabur, semakin kelam, yang tinggal hanya suara cahaya tadi yang sayup-sayup kedengaran.....
"Tuhan telah memberimu peluang yang kedua. Jangan kau sia-siakannya. Isilah masa hidupmu dengan bertaubat kepadaNya. DIA masih sayangkan kamu. Bertaubatlah wahai hamba."
___________________________________________________________________________
"Doktor! dia sudah sedar"
Pabila aku mebuka mata aku dapat melihat diriku, terlantar diatas sebuah katil. Aku melihat keadaan sekeliling. dipenuhi dengan alat-alat yang tidak aku ketahui namanya. Amat janggal bagiku untuk melihatnya. Disisiku terdapat seorang doktor yang sedang sibuk memeriksaku dan seorang jururawat yang setia disampingnya. Rupa-rupanya aku berada dihospital. sudah berapa lama agaknya aku berada disini. Aku cuba menguatkan otot mulutku untuk bersuara.
"Doktor sudah berapa lama saya berada disini?"
"Oh encik sudah terlantar disini hampir 3 tahun, encik berada dalam keadaan koma yang amat lama dibantu dengan alat bantuan pernafasan. Alhamdulillah keadaan encik sekarang ini bertambah baik" balas doktor tersebut.
Dalam diam air mataku mengalir. Terasa hangat pabila air mata pantas melalui pipiku. Lantas ku mengucapkan syukur pada tuhan.
"Terima kasih Ya Allah. terima kasih, janganlah kau palingkan aku lagi setelah mendapat hidayah dariMu Ya Allah."
Ampunkan aku Ya Allah. |
No comments:
Post a Comment