Tidak aku hiraukan karenah-karenah manusia yang berada di bumi kinanah ini. Pelbagai ragam yang membuatkan aku terasa bosan melihatnya. Paling menyakitkan mata apabila terpandang bukan sepasang, tetapi berpasang-pasang merpati dua sejoli. Menghabiskan masa berjalan di tepi pantai, tanpa tujuan yang pasti. Berpegangan tangan dan berpelukan, tidak malukah mereka bergelar sebagai seorang yang beridentitikan Islam terutama di bumi bergelar "Ummu Dunia" ini. Yang pasti nafsu-nafsu mereka sudah terisi berbekalkan kejahilan diri sendiri dan hasutan syaitan yang memakan diri. Entah kemana pergi halal haramnya aku tidak pasti. Hanya mampu berdoa agar hidayah Allah datang mengetuk pintu-pintu hati manusia yang dikatakan Islami.
Tetapi bila difikirkan semula adakah diri aku sendiri sudah begitu sempurna. Berbekalkan iman yang tidak sebesar mana. Maka layakkah aku memanggil diriku ini seorang muslim sejati. Tidakkah aku sedar, diri ini hanya hamba Allah yang hina. Dibesarkan dari setitis air mani. Tidak. Bukan setitis malah aku telah dipilih dari berjuta yang datangnya dari setitis itu. Diberi peluang untuk membesar, terpilih untuk menjadi khalifahnya. Tetapi adakah aku ini, menjalankan tugas dan perintahNya. Persoalan yang aku sendiri tidak pasti. Bukan aku Abu Bakar As-Siddiq, bukan aku Umar Al-Khattab, bukan juga aku seperti sahabat lainnya. Maka layakkah bagiku syurgaNya?
Sampai aku ketempat yang dituju lalu ku menuruni tremco dan berjalan beberapa langkah sebelum panggilan Allah SWT untuk hambaNya dilaungkan. Ku lemparkan pandanganku ke laut, mencari Sang Mentari yang setia menemaniku selama di tremco tadi. Rupa-rupanya dia telah meninggalkan aku tanpa sempatku mengucapkan selamat tinggal padanya. Tidak mengapalah, aku lantas menapak untuk mencari masjid yang berdekatan. Aku berjalan melalui celah-celah manusia yang berjalan mencari sesuatu. Aku juga berjalan mencari sesuatu, mencari cinta hakiki kekal abadi. Tapi mampukah aku, InsyaAllah akanku cuba.
Aku meneruskan langkahku kedalam masjid. sungguh tenang, sungguh damai rasanya. Inilah bukti rahmat Allah SWT, apabila menjadi tetamu dirumahNya. Aku lantas menuju ke bilik wudhu, titisan-titisan air musim sejuk mengalir melalui wajahku. Semoga dosa-dosa yang dilakukan anggota badanku diampunkanNya. Terutama dosa yang datang dari mataku, samada sengaja atau tidak disengajakan. Usai berwudhu aku berdiri bersama-sama jemaah yang sudah membentuk satu barisan lurus. Semoga barisan-barisan seperti inilah yang akan terbentuk pada satu hari nanti. Barisan yang akan bersama-sama menentang musuh Allah yang satu. Barisan yang dapat melupakan segala persengketaan sesama sendiri. Barisan yang hanya ingin menegakkan Islam dimuka bumi.
Tatkala dahiku mencecah bumi, ku berdoa pada Illahi. Ya Allah sesungguhnya sujudku ini menunjukkan betapa hinanya hambaMu ini. Diriku ini begitu kerdil dalam pandanganMu. Jika dikumpulkan seluruh umat manusia untuk memberi rezeki padaku, nescaya tidakkan dapat melainkan dengan keizinanMu. Jika dikumpulkan seluruh umat manusia di bumi ini untu memberi mudharat padaku, nescaya tidak akan terjadi melainkan Kau mengizinkannya untuk berlaku. Sujudku ini hanya untukMu. Ku memohon keampunan dariMu Ya Allah. Ampunkanlah dosa diatas salah silapku...
No comments:
Post a Comment